Thursday, December 22, 2011

Pisang

Pisang paling mahal = Pisang emas
Pisang kelat = Pisang meda
Pisang termenung = Pisang berangan
Pisang bentuk bulat = Pisang kaki     
Pisang paling kecil = Pisang monyet
Pisang kulit merah = Pisang udang merah
Pisang masak hijau = Pisang boyan
Pisang kerepek = Pisang helang
Pisang salai = Pisang susu
Pisang waktu pagi = Pisang embun

Pisang pembasuh mulut = Pisang rastali
Pisang dibuat sayur = Pisang kapas
Pisang saiz comel = Pisang montel
Pisang dibuat apam = Pisang padang
Pisang banyak lemak = Pisang lemak manis
Pisang kerap digoreng = Pisang nipah
Pisang spesis cempedak = Pisang nangka
Pisang dibuat rojak = Pisang batu
Pisang dibuat gulai = Pisang abu
Pisang berasa masam = Pisang asam
Pisang dibuat lempeng = Pisang raja
Pisang rendang = Pisang serendah
Pisang bentuk gading = Pisang tanduk
Pisang jantung ke atas = Pisang derhaka
Pisang bukan milik saya = Pisang awak

Wednesday, December 14, 2011

Gelandangan

14 Disember TV 3 menyiarkan,
Kisah hidup manusia gelandangan.

Pihak berkuasa berusaha membasmi,
Tiada gelandangan membiak bersemi.

Warga tua juga kedapatan,
Hidup merempat mencari makan.

375 orang menumpang di Anjung Singgah,
Tempat gelandangan mengadu masalah.

Ada kalangan warga yang prihatin,
Nasib gelandangan dipaparkan di buletin.

Para sukarelawan memberi khidmat,
Gelandangan sebahagian daripada masyarakat.

Mengesan gelandangan dari berpenyakit,
Dikesani tekanan darah rendah dan berpenyakit kulit.

Rawatan diberi secara percuma,
Kos rawatan tidak dikena.

Moga tiada yang hidup merempat,
Makan tidur biarlah rumah bertempat.

Ikatan keluarga memainkan peranan,
Ibu bapa tua disisih jangan.






Saturday, December 10, 2011

Buku

Menjelang penghujung bulan Disember, pasti ibu bapa sibuk melayan karenah anak-anak.
Apa tidaknya, pelbagai kelengkapan untuk sesi persekolahan 2012 perlu disediakan. Antaranya ialah buku sama ada buku tulis mahupun buku kerja.
Menyentuh tentang buku, pelbagai subjek yang perlu dipelajari oleh anak-anak sama ada di peringkat sekolah rendah hinggalah sekolah menengah sebagaimana dalam silibus. Antaranya:
Bahasa Melayu
Kesusasteraan Melayu
Bahasa Inggeris
Kesusasteraan Inggeris
Bahasa Cina
Kesusasteraan Cina
Bahasa Tamil
Kesusasteraan Tamil
Bahasa Perancis
Bahasa Arab
Bahasa Iban
Matematik
Matematik Moden
Matematik Tambahan
Sains
Rampaian Sains
Sains Pertanian
Sejarah
Geografi
Biologi
Fizik
Kimia
Perdagangan
Prinsip Akaun
Ekonomi Asas
Ekonomi Rumah Tangga
Pengetahuan Agama Islam
Tasawwur Islam
Pendidikan Moral
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan
Kajian Tempatan
Kemahiran Hidup
Pendidikan Seni
Pendidikan Muzik
Pendidikan Jasmani

Banyaknya buku yang dibacai,

Banyaknya guru yang ditemui,

Banyaknya ilmu yang dipelajari,
Banyaknya pengetahuan yang dimiliki,
Banyaknya perkara perlu dihafali,
Banyaknya sumber perlu dikuasai,
Banyaknya bidang perlu diingati,
Banyaknya perpustakaan yang diselusuri,
Banyaknya kedai yang disinggahi,
Banyaknya buku yang dibeli,
Banyaknya coretan yang ditulisi,
Banyaknya soalan yang hendak dijawabi,
Banyaknya 'A' yang diidam-idami.



Tuesday, December 6, 2011

Audit Diri

Ayuh, koreksi diri! 
Kini kita telah masuk pintu gerbang 1433Hijrah.
Acapkali kita audit kewangan TETAPI bagaimana dengan audit diri?

Marilah kita selusuri diri dari aspek berikut, iaitu:
1.Fizikal (dalam poket atau tas tangan ada sebarang
   ubat atau pil vitamin?) = umur sudah meningkat
2.Mental (banyak menonton televisyen/ wayang
   atau membaca surat khabar/ majalah/ komik/ buku/
   kitab/ Al-Quran?) 
3.Kerohanian (buat sesuatu untuk dapatkan
   penghargaan manusia/ bagaimana solat?)
4.Hubungan dengan manusia (ibu bapa, isteri,
   anak-anak, saudara-mara, jiran tetangga,
   rakan sepejabat, sahabat handai)
5.Kewangan (membeli barangan perhiasan/ makan
   mewah/ bersedekah/ berzakat/ melancong/ umrah/ haji)

Berpesan kepada diri sendiri untuk bermuhasabah. 



Wednesday, November 30, 2011

Ayam Taji

Wah, tampak bergaya menayang diri!
Mempamer rupa muncung bersegi,
Pabila berdiri tampak gagah sekali,
Semua spesis menepi diri,
Menikus tak berbunyi,
Banyak bicara dipangkah seligi,
Habis ditaji tak berkutik lagi,
Minta ampun berperi-peri.

Balung berbungkal merah,
Merah pekat merah darah,
Taji diasah runcing bak panah,
Siap siaga di medan juang,
Tak kenal erti kalah tapi menang.

Kepak dikirai siang malam,
Kokok melangsing lantang,
Sabung nyawa sabung kekuatan,
Manusia keliling bertepuk tangan,
Melihat Pak Balung beradu,
Dalam gelanggang satu bulatan.


Thursday, November 24, 2011

Gurindam Sayang

Sayang kita kepada ibu,
Usah sesekali membuat hatinya pilu.

Sayang kita kepada ayah,
Usah sesekali dimarah diceramah.

Sayang kita kepada kakak,
Usah sesekali kelahi bertekak.

Sayang kita kepada abang,
Usah sesekali bersepak terajang.

Sayang kita kepada adik,
Usah sesekali menengking herdik.

Sayang kita kepada adik-beradik,
Usah sesekali dilupai guna minda yang cerdik.

Sayang kita kepada rumah,
Usah sesekali dibuat sepah.

Sayang kita kepada sekolah,
Usah sesekali membuat masalah.

Sayang kita kepada negara,
Usah sesekali kebobrokan dijaja.

Sayang kita kepada masa,
Usah sesekali solat dilewatkan sahaja.

Sayang kita kepada Rasul,
Usah sesekali laku silap, tersasul.

Sayang kita kepada Allah,
Usah sesekali dibuat mungkar, Masya-Allah.




Sunday, November 20, 2011

Bahasa Istana

Umum telah mengetahui bahawa Istana Negara telah berpindah dari tepi Jalan Petaling ke Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 11.11.2011. Istana baharu ini digunakan sepenuhnya pada 15.11.2011 dan Tuanku Mizan Zainal Abidin adalah Yang di-Pertuan Agong  pertama bersemayam.
Berikut adalah di antara kosa kata yang berkaitan dengan laras bahasa istana:

Bersemayam = Tinggal 
Makan = Santap / ayap
Tidur = Beradu
Sakit = Gering
Mengunjungi = Mencemar duli
Setuju = Berkenan
Terima kasih = Junjung kasih
Bangun = Bangkit
Beri = Kurnia / anugerah
Sampai = Berangkat tiba
Berucap = Bertitah
Uzur / sakit = Gering
Gembira = Sukacita
Sedih = Dukacita
Marah = Murka
Hari jadi = Hari keputeraan
Peterana = Tempat khas untuk orang berpangkat
Beranak / Bersalin = Berputera
Mandi = Bersiram
Hulu = Kepala
Payung = Iram-iram
Kasut = Kaus
Kubur = Makam
Meninggal dunia = Mangkat
Kerusi = Singgahsana


Thursday, November 17, 2011

Kisah Benar (2)

Anak saudaraku sakit perut akibat gastrik. Ayahnya bergegas bawa ke hospital lalu menuju ke wad kecemasan. Sesampai di sana, doktor yang bertugas meleteri kedua-dua beranak tersebut.
"Kenapa tak diberi makan ubat awal-awal? Ini sudah serius baru nak dibawa ke hospital."
Terkedu kedua-duanya dengan kata-kata doktor berkenaan.
Pada tanda nama tertera nama Dr. Kumar a/l Nathan (bukan nama sebenar) tetapi raut wajahnya seperti orang Melayu. Sambil mulutnya menceceh, tangannya segera menulis nama ubat yang perlu diambil pada preskripsi ubat.
'Kita sedang menahan sakit, doktor ni pula marah-marah kat abah. Kesian abah', getus hati anak saudaraku.
"Terima kasih doktor. Semoga Allah memberkati tugas-tugas yang tuan doktor lakukan, bukan sahaja kepada anak saya tetapi juga pesakit-pesakit lain."
"Hummm!"
Itu sahaja jawapan yang terpacul dari mulut doktor muda itu.

(Beberapa bulan kemudian)
"Abang muazin, bolehkah ajar saya sembahyang, puasa dan apa orang Islam mesti buat?"
"Dengan senang hati, tak ada masalah. Ikut saya mengucap dua kalimah syahadah iaitu tuan doktor mengakui:
Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah."
"Baiklah abang muazin."
(Urusan pendaftaran di pejabat agama diuruskan dan setelah itu doktor muda ini semakin rapat dengan abang muazin. Bimbingan agama diajar di masjid).
"Doktor, apa kata datang ke rumah saya hari ini. Bolehlah doktor tolong lihat-lihatkan keadaan ibu saya yang ada penyakit kencing manis."
"Boleh juga. Kebetulan hari ini saya cuti."
Hubungan yang terjalin semakin intim dan ibu abang muazin dianggap seperti ibu sendiri. Anak-anaknya pula dilayan seperti adik-beradik. Hal ini disebabkan doktor muda ini disisihkan oleh kedua ibu bapanya setelah beliau memeluk agama Islam. 

Tidak lama kemudian, doktor muda ini bertemu jodoh dengan seorang jururawat Melayu dan kini telah dikurniakan seorang zuriat. Isteri dan anaknya kerap dibawa berjumpa keluarga angkat yang juga merupakan ibu mertua penulis.

Sekarang ibu mertua penulis ada dua orang anak angkat lelaki iaitu seorang Cina dan seorang lagi India Muslim.
Menjelang hariraya, kedua-dua anak angkat ini pasti akan menjejakkan kaki untuk turut bersama-sama berhariraya dengan ibu mertua penulis.




Friday, November 11, 2011

Sukarnya

Aku memerhati teliti
mekanik yang membedah motokarku
"Begini susah membuka skrew
dari sekecil hinggalah sebesar-besarnya.
Memasang kembali perlu amatiteliti
kelak semput nafas motokarku."


Aku memerhati amat
tukang yang memasang tiles lantai rumahku
"Begini sukar memotong tiles
membentuk saiz dengan mesin berlagu.
Debu menerawang  pandangan kelabu
kelak tak keruan pernafasan dirimu."

Aku memerhati sangat
pekerja yang menyabit tandan sawit ibuku
"Begini seksa menurunkan buah
membentur galah dengan segenap kudrat.
Kecekalan semangat perlu jitu
kelak habuan semakin menghampirimu."






Monday, November 7, 2011

Ayat Raya (2)

Umat Islam seluruh dunia telah menyambut
Hariraya Aidil Adha 1432 Hijrah/ 2011 Masihi.
Ada sahabat yang mengirimkan SMS sempena
Hariraya Aidil Adha, berbunyi:

Tika menempuh jalan berliku,
moga ALLAH luruskan langkahmu.

Tika langit dunia runtuh,
moga ALLAH teguhkan akidahmu.

Tika kesusahan mendatang,
moga ALLAH kuatkan hatimu.

Tika hati dilanda gelisah,
moga ALLAH curahkan ketenangan dalam dirimu.

Tika kerinduan berkunjung,
Moga kasih-Nya sentiasa bersamamu.

Salam Aidil Adha.

  

Wednesday, November 2, 2011

Salah Siapa

Media massa sering melaporkan berita, iaitu :
               Umur setahun jagung                 


Sudah mula:
1.   Cintan-cintun
2.   Jadi bohsia
3.   Melepak @ ponteng sekolah
4.   Mengandung @ termengandung
5.   Merempit
6.   Mencuri
7.   Menyamun
8.   Merompak
9.   Membuli
10. Bergaduh
11. Merokok
12. Menghidu gam
13. Menghisap dadah @ telan pil khayal
14. Menculik
15. Merogol
16. Membunuh
17. Derhaka kepada ibu bapa @ guru



Tuesday, November 1, 2011

Pantun Semangat

Pejam celik mengunyah betik,
Hati jelik kerap berdetik.

Kiri kanan jalan lekas,
Kena penangan tampak berbekas.

Masam terlalu asam kecut,
Menghindar selalu sikap pengecut.

Daun turi dibuat hiasan,
Hindari diri dari kemurungan.

Burung merpati terbang berkawan,
Cekal hati menempuh dugaan.

Monday, October 24, 2011

Intipatisari Madu

Masih terkapai-kapai
penggeledahan carigali info
bagi memenuhi tahap kesarjanaan
dengan hasrat yang masih berkumal
mengarah gelombang minda merayau
menyusuri tiap jurnal, ensiklopedia, bahan ilmiah
dan naskhah majalah.

Cakerawala minda mengomel sendirian
dengan longgokan info yang ketemu
disaringtapis
mengemam intipatisari madu
buat sorotan literatur
pandangan sarjana terdahulu.



Tuesday, October 18, 2011

Ah, sibuknya!

Bulan Oktober ni ibu bapa memang sibuk. Maklumlah, bulan peperiksaan. Peperiksaan akhir tahun bagi semua peringkat persekolahan. Berdedai ibu bapa mengunjungi kedai alat tulis. Membeli barangan keperluan anak-anak untuk menempuh peperiksaan.
            Pemadam,
            pen,
            pensel,
            pembaris,
            pensel warna,
            alat lukisan,
            liquid paper dan sebagainya adalah di antara barangan yang dibeli.
            Bahang peperiksaanlah, katakan.
Itu bagi ibu bapa yang prihatin dengan anak-anak dan tidak memandang enteng bab peperiksaan.
Apapun, selamat menempuh peperiksaan bagi semua warga pelajar. Pelajar IPT juga tidak terkecuali menduduki peperiksaan dalam bulan Oktober ini.
Selamat berjaya dan selamat atas segalanya.

Tuesday, October 11, 2011

Pantun Sikap

Siamang, beruk, monyet dan kera,
Perangai buruk pasti dicerca.

Harimau kumbang, akar dan bintang,
Perbuatan buruk pasti ditentang.

Penyu, kura-kura dan labi-labi,
Sikap berpura pasti diketahui.

Merpati, merak dan layang-layang,
Asyik memekak tentu diganyang.

Badak sumbu, gajah dan panda,
Asyik cemburu siapa yang suka.

Burung bangau dan layang-layang,
Asyik angau fikiran melayang.

Tuesday, October 4, 2011

Seruan-Mu

Marilah ke rumah-Ku!
Marilah ke rumah-Ku!
Marilah ke rumah-Ku!

Nah, berbondong umat Muhammad
nun dari segenap ceruk
nun dari segenap pelosok
nun dari segenap rantau
menyahut seruan-Mu!

Laut, darat dan udara
dengan pelbagai medan pengangkutan
dengan pelbagai nusabangsa
tak mengenal batasusia
tak mengenal darjatpangkat
cuma satu matlamat
tujusampai ke rumah-Mu
mengharapbelas Rahman Rahim-Mu
amal ibadat diterima.

Dalam kalbu sering berbicara
andai ada ruangwaktumasa
andai ada kudratdayaupaya
andai ada wangbelanjasegala
dan telah pernah mengukir sejarah di bumi Anbiya'
dan telah pernah mengucup Hajarul Aswad
kan kembali ke rumah-Mu
melepas rindudendam
menemui-Mu buat ke sekian kalinya.

Thursday, September 29, 2011

Nilai Kemanusiaan

Dahulu pernah dengar kerat 18
ada juga kedengaran bakar jadi abu
terdengar pula kerat 16
didengari juga tikam dan campak.

Telinga ini asyik mendengar
berita yang tragis
mata ini asyik menatap
foto yang menghibakan.

Telah hilang manusia dengan kemanusiaan
dan telah meresap haiwan dengan kebinatangan.

Akal fikiran celaru-biru 
geraklaku di luar batasan
mengikis dan merobek nilai kemanusiaan.


Saturday, September 24, 2011

Penghujung Syawal

Minggu lepas terima kad undangan.
Kelmarin terima SMS.
Hari ini terima jemputan. Tuan rumah  datang ke muka pintu.
Hari ini terima panggilan dan dipelawa bersama-sama dalam majlis.
Hari ini terpapar notis makluman di simpang jalan.
Hari ini dalam peti surat ada memo.

    Dato'/Datuk/Datin/Tuan/Puan  
    sekeluarga
    dipersilakan hadir ke .......
    (a) Majlis Jamuan Hariraya
    (b) Majlis perkahwinan
    (c) Majlis doa selamat
    (d) Majlis kesyukuran
    (e) Rumah Terbuka
    di rumah kami yang bernombor: ................
    pada : .................................

     Semoga dengan kehadiran tuan/puan
     akan memeriahkan lagi majlis kami.
    
    Turut mengundang : Seisi keluarga  
                         Tel  :  010-1010101
                               
                                                             


Ah, banyaknya makanan!
Pilih dan jamah ala kadar kerana banyak rumah dan lokasi yang perlu dikunjungi.

Wednesday, September 21, 2011

Kalut

Dalam kekaburan aku mencari
Dalam kekalutan aku melayari
Dalam kekusutan aku memikiri
Dalam kebekuan aku menggagahi
Dalam kepayahan aku mencekali
Dalam kesukaran aku mendepani
Dalam kebuntuan aku menunjangi
Dalam kebingungan aku mengekori 

Dalam kelam-kelibut aku mengusahakan
Dalam huru-hara aku membicarakan
Dalam sedih-pilu aku meluahkan 
Dalam senyap-sunyi aku menyiapkan
Dalam senyum-tawa aku menghulurkan
Dalam bilik kuliah
Profesor menyambutterima seadanya.

Sunday, September 18, 2011

Pantun Nasihat (2)

Tapak kaki tapak tangan,
Besar hati banyak berangan.

Tapak jari tapak itik,
Silap hari kena jentik.

Tapak tangan tapak sulaiman,
Depa tangan perbanyak senaman.

Tapak harimau tapak gajah,
Asyik mahu kerja berbalah.

Tapak kuda tapak zirafah,
Banyak mengada kena sesah.

Tapak kura-kura tapak kancil,
Jangan berpura wahai adik kecil.

Tapak burung hantu tapak siamang,
Tonton cerita hantu takut meremang.

Wednesday, September 14, 2011

Tak Sabar MERDEKA!!!

Kata Murid A:
13 dan 14 September dah berlalu. Kini menjelang 15 September. Satu hari saja lagi

Kata Murid B:
16 September akan muncul dan merupakan tarikh Sambutan Hari Malaysia dan merayakan Hari Kemerdekaan kali ke-54. Akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Kata Murid C:
Kita pun sambut juga merdeka.Tapi di sekolah. Aku nak laungkan: Merdeka! Merdeka!Merdeka! Tamatlah sudah UPSR dan mengadap buku yang menimbun. Kini release tension dan kita hanya mengadap mata pelajaran elektif saja selepas ini.

Kata Murid D:
Apa yang penting, kita main. Ya, kita lawan bola sepak antara kelas-kelas, bola jaring, ping pong, sepak takraw dan macam-macam lagi permainan dalam. Dam haji, dam ular, catur, sahibba, monopoly dan banyak lagilah.

Kata Murid E:
Jangan lupa kawan, mata pelajaran elektif juga ada peperiksaan.






Monday, September 12, 2011

Tiba Jua Harinya

Telah letih, jenuh dan jemu
kalian mendengar tarikh
yang kerap dan acapkali
dilaung-laung, uar-uarkan.

Sengaja dipapar tulis
di dinding yang membisu
biar melingas mata kalian menacap
biar berkuping telinga kalian mendengar
biar berbuih mulut pendidik menyebut 
biar, biar, biar.....

Kini, tarikh itu menjongol diri
tanpa diundang
tanpa diseru
mendatang ia penuh syahdu.

Dalam diam dalam sendu
13 September UPSR kini meluru
jawablah kalian persoalan yang dikemuka. 

Mogakan tersungging senyum tawa
pabila menatap sekajang kertas cuma
yang tertera A sebanyak 5
yang dijangka dapat dilihat
pada bulan November


Wednesday, September 7, 2011

Hantu Raya Dengan Mercun

Masih demam raya, justeru cerita kali ini menyentuh tentang gelagat kanak-kanak yang dapat disorot ketika mereka menyambut hari raya.

1. Kumpul sebanyak mungkin duit raya.
    Cara kumpul dengan mengunjungi rumah:
    a)  pakcik, makcik sebelah ibu dan bapa
    b) rumah jiran
    c) pergi masjid hari raya pertama (ada dermawan
        yang beri duit raya)
    d) ikut ibu bapa berhari raya rumah rakan sepejabat 
    e) rumah terbuka individu atau ahli korporat

2. Simpan di dalam tabung atau di bank.

3. Membelanjakan sesuka hati membeli makanan ringan
    dan minuman sebab duit sendiri. Pergi siber cafe main
    games.

4. Bakar duit raya dengan membeli mercun dan bunga
    api. Terbakar dan meletup bunga api dan mercun
    bermakna terbakarlah duit raya. 

5. Jadi hantu raya dengan membaling mercun ke arah 
    kereta dan rumah jiran-jiran. Biar tuan rumah
    terperanjat atau terkejut beruk seketika.
    Yang dilihat hanya kepulan asap di udara dan
    serpihan mercun bola di tanah.
    Setelah dibaling mercun, motosikal dipecut
    selaju-lajunya sambil ketawa mengekek-ngekek.
   

                  

Monday, September 5, 2011

Kuih Raya

Pelbagai kuih yang dihidangkan oleh tuan rumah untuk menjamu tetamu yang berkunjung ke rumah sempena Hariraya Aidil Fitri. Antaranya:

Bahulu, kuih ros (kuih goyang), kuih bangkit, tumpi kacang hijau, bebola bijan, sarang semut, kuih bepang, biskut samperit, benderam (penderam/cincin).

Kuih rotan, kuih rengginang (inang), putu kacang (koyer), pisang salai,
kuih sepit (gapit), kuih karas, kuih siput. 

Kek lapis, dodol, wajik, popia simpulan hati, tempe goreng.

Kerepek udang geragau, ubi kayu goreng (kerepek ubi), kerepek sukun,
kerepek keladi, tempeyek (rempeyek),
kerepek pisang.

Tart nanas, tart bluberry, tart kurma, kuih bangkit, biskut cindai, batang buruk.

Biskut cornflakes, cornflakes gajus, biskut makmur (puteri balqis), golden oat,
coklat oreo fillings, nestum delight,
suji (puteri salju).

biskut alamanda, coco badam,  biskut almond london, double chocolate,
nestum delight, mushroom cookies, sandwish choc kisses, biskut mazola,  dan lain-lain lagi.   

Monday, August 29, 2011

Ayat-Ayat Raya : Pojam Tak Colik-Colik

Berikut diperturunkan ayat-ayat raya dari SMS yang diterima
untuk perkongsian kita bersama.
1. Jambangan indah lagi berseri,
    Menjadi hiasan di Aidil Fitri;
    SMS dihantar pengganti diri,
    Tanda ingatan tak layu di hati.

2.Senyap tak bererti hilang,
   Diam tak bererti lupa,
   Jauh tak bererti putus,
   Kerana antara kita ada satu ikatan,
   Yang sentiasa kekal selamanya,
   Ikatan Silaturrahim,
   Selamat Hari Lebaran.

3.Syawal tidak mengajar kita leka di Aidil Fitri,
   Tetapi mengajar kita untuk mengenali kelemahan kita sewaktu diuji,
   Dan memerdekakan diri kita dari dijajah nafsu serakah.
   Selamat Hariraya Aidil Fitri dan Maaf Zahir Batin serta Salam Merdeka.

4.Tiada kata-kata yang indah.
   CuMa ingin ucapkan SeLaMaT HaRiRaYa AiDiL FiTrI,
   MaAf ZaHiR BaTiN.

5.Saat berkata mungkin pernah berdusta,
   Saat berjanji mungkin pernah mengingkari,
   Saat bercanda mungkin pernah menyakiti,
   Kesempurnaan hanya milik Allah,
   Kekhilafan milik manusia.
   Walau mata tak bisa bertatap,
   Tangan tak bisa berjabat,
   Ramadan akan selesai berlalu,
   Aidil Fitrikan menjelma,
   Maaf Zahir Batin.

6.Di antara bait dan kata,
   Antara canda dan ketawa,
   Terselit khilaf dalam bercanda,
   Tergores luka dalam tawa,
   Tersinggung rasa dalam bicara,
   Tersilap dalam langkah,
   Saya mohon seuntai maaf penyejuk jiwa,
   Selamat Hariraya Aidil Fitri.

7.Pojam colik pojam colik,
   Dah nak abis puasa,
   Pojam colik pojam colik,
   Dah nak rayo,
   Pojam colik pojam colik,
   Dah banyak doso.
   Sebolum pojam tak colik-colik,
   Ampun maaf dipinta.

8.Mohon maaf atas lisan yang tak terjaga,
   Janji yang terabaikan,
   Hati yang berprasangka,
   Dan sikap yang menyakitkan.

9.Indahnya malam Aidil Fitri,
   Syahdunya takbir di pagi raya,
   Jutaan kemaafan dipinta,
   Agar hening segala dosa lalu.

10.Minum kopi kurang gula,
     Duduk berehat atas tangga;
     Lepas Ramadan bersyawal pula,
     Makan ketupat jangan lupa saya.

11.Selamat menyambut Aidil Fitri,
     Semoga dikurniakan rahmat,
     Keredaan dan barakah dari Allah,
     Dalam kita menjalani kehidupan seharian.

12.Jika semua harta adalah racun,
     Maka zakatlah penawarnya,
     Jika seluruh umur adalah dosa,
     Maka takwa dan taubatlah ubatnya.
     Jika seluruh bulan adalah noda,
     Maka ramadanlah pemutihnya.

13.Anak katak dalam paya,
     Selamat Hariraya.
     Anak berudu dalam perigi,
     Panjang umur jumpa lagi.  

14.Dalam bergurau mungkin terlanjur senda,
     Dalam berjanji mungkin ada yang belum dikota,
     Dalam berbicara mungkin ada yang menyinggung rasa.
     Jika ada, ribuan kemaafan yang kupinta.

15.Kok dilipek sebosar kuku,
     Kok dibentang sebosar alam,
     Kok hilang dicaghi,
     Kok hanyut dipinteh,
     Kok tonggolam disolam.
     Datang biarlah nampak muka,
     Kok poei biarlah nampak belakang,
     Jauh diimbau, dokek digamit,
     Seuntai salam, sejambak kato.
     Degup bicharo, menghisik raso,
     Salam Aidil Fitri,
     Maaf Zahir dan Batin.   
    

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...