Saturday, December 4, 2010

SIMPULAN BAHASA


Simpulan bahasa ialah ungkapan yang biasanya terdiri daripada dua atau tiga perkataan. Maknanya berlainan sekali daripada makna asal perkataan tersebut.
Berikut disenaraikan beberapa simpulan bahasa yang digandingkan dengan haiwan.

Aksi kucing :Berpura-pura.
Batuk-batuk kambing : Batuk untuk menarik perhatian orang.      

Darah ikan : Merah tua.
Demam puyuh : Pura-pura demam.

Duri landak : Kecil lagi runcing.
Ekor cicak : Rambut antara telinga dan pipi.

Gagak di rimba : Orang kecil.
Gajah berpaling : Orang gemuk sukar menoleh ke belakang.

Harimau dua sekandang : Dua pesaing yang pasti akan bertanding.
Jari lipan : Sejenis anyaman daun kelapa.                                       

Ketam batu : Sangat kedekut.
Kucing belanda : Arnab.

Lalat hijau : Hina dan buruk perangai.
Lembu kenyang : Degil, pemalas dan tidak peduli.

Mahkamah kanggaru : Perbicaraan yang sudah dirancangkan    
                                       keputusannya.
Mati seladang : Mempunyai seorang isteri sampai mati. 

Otak unta : Bodoh.                                                
Paha belalang : Paha kecil   dan lurus.                                            

Payung rama-rama : Payung kuning yang berumbai-umbai.   
Raja cacing : Sangat kurus.
Tulang itik : Sangat lemah.


Friday, December 3, 2010

MAHA 2010

Deretan kenderaan bergerak perlahan,
Usahlah sesekali memotong barisan.

Hujan panas bukan halangan,
MAHA matlamat arah tujuan.

Meletak kenderaan ruang disediakan,
RM3.00 tunai nilai bayaran.

Usah meletak kenderaan di bahu jalan,
RM50.00 denda barulah padan.


Traktor menanti para pengunjung, 
Khidmat RELA amat disanjung.

Rapid KL disediakan sama,
Berbarislah jika nak tuju ke mana-mana.

Manusia berkunjung bagai lautan,
Jalan berdedai penuh sopan.

Pelbagai juadah pengunjung disajikan,
Sediakan saja RM, pilihlah yang berkenan.

Banyak maklumat di sudut pameran,
Brosur diberi percuma bacalah, kawan. 

5hb. Disember hari terakhir,
Usah lepaskan peluang, ayuh mampir.

MAHA adalah acara dwitahunan,
Penjana ekonomi industri tempatan.





Ragam Bahasa

Terdapat pelbagai ragam bahasa dalam bahasa Melayu.
Antaranya:
1.   Sindiran    : Tidak disebut dengan tepat dan disigung 
                        dengan berkias kepada perkara lain.
2.   Menggiat  : Seakan sindiran tetapi tiada kiasan. 
                        Mengusik bersenda atau bersungguh-sungguh
                        sehingga lawan cakap menjadi malu
3.   Mengejek : Mengata dengan perkataan yang tepat, 
                        gaya mengajukkan keburukan 
                        serta mempermainkan supaya nampak 
                        kebodohan dan ditertawakan orang.
4.   Terbalik   : Maksud yang berlawanan daripada yang
                        disebut atau diperkatakan.
5.   Tempelak : Mengatakan sesuatu secara tepat dan langsung
                        tanpa tedeng aling-aling.
6.   Herdik      : Bahasa tempelak yang lebih keras dan bernada
                        mengejek.
7.   Melampau : Membesar-besarkan dan melebih-lebihkan 
                        daripada yang sebenarnya.
8.   Merendah : Kebalikan atau berlawanan daripada bahasa
                        melampau.
9.   Naik         : Menyebut sesuatu daripada paling rendah, 
                        perlahan-lahan naik hingga ke puncaknya.
10. Turun       : Lawan kepada bahasa naik.
11. Merajuk    : Kecewa dan berkecil hati.
12. Seruan/Mengeluh : Mengeluarkan perasaan kecewa tetapi 
                        tidak dilepaskan kesemua perasaan tersebut. 
13. Berulang   :  Diulang-ulang untuk menguatkan maksud 
                        atau tujuan.
14. Bertimbal : Mempertentangkan dua keadaan yang 
                        seolah-olah berlawanan.
15. Nafi/Bukan: Kata bukan mendahului perkataan yang 
                        dituturkan.
16. Jenaka     :  Menggunakan satu perkataan atau rangkaikata
                        ayat dengan dua makna.

Mari saksikan rakaman video lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan kenal pasti ragam bahasa yang terdapat dalam dialog. Selamat menonton.





Thursday, December 2, 2010

Kebesaran Illahi

Kesayupan langit di ufuk 
tiada tangan-tangan
yang tampak menampung
tegapteguhnya berdiri.

Mentari bersinar garang
menyuluh alam. Siapakah
pemetik suisnya?

Bulan, bintang di langit
pembalik sinar mentari
sorotan dapatan saintis
di alam maya ini.

Gumpalan awan-gemawan
berarak di angkasa. Siapakah
penggeraknya?

Ombak di lautan
kejap tenang
kejap ganas
kejap pasang
kejap surut
manusiakah pelakunya?

Betapa kerdilnya aku
menyaksi kebesaran-Mu
Subhanallah Maha Suci-Mu
Ya Rabbi.

Izinkan lidahku lancar
memuji kebesaran-Mu
tiap detik dan tika
Wahai Maha Pencipta.

Foto-foto yang menunjukkan kebesaran Illahi buat tatapan kita bersama.
Gua Kristal di bawah Pergunungan Naica yang terletak di Padang Pasir Chihuahua, Mexico.




     

Wednesday, December 1, 2010

Pelbagai Karenah

Bak sloth yang kosong minda
lambatlewat mengatur langkah
ke mulut dewan yang mulia
melabuh punggung santai bersahaja.

Umpama jampuk bertenggek ampuh
sesekali mencelahsampuk bicara
masih bersopan duduk bertimpuh               
pinta simpul persoalan ikatan terlerai. 

Seperti gonggok tidak bermaya
menelan bicara penuh sinis
tunduk tersipu tidak menepis
kendati secangkir madu 
dihurung tuba
ah, sadisnya.

Gaya hering mencengkam mangsa
menanti saat memuntah lahar
mikrofon pegun direnggutsambar
Scud, Tomahawk segera dilancar
tuan pengerusi tak betah bersandar.

Bagai bebiri tak henti mengunyah
rerumput yang masih tak hadam
membuka laman web sesama jiran
satu-persatu sesawang dilayari
ngomelan dan suara-suara halus
pengganggu kondisi
ah, persetankan
tuan pengerusi tak diacuhkan.

Umpama beluncas diam membatu
bungkam seribu bahasa
masuk tak menambah keluar tak mengurang
tuan pengerusi segeralah menamatkan
agenda mesyuarat ini
kerna pelbagai agenda lain
yang telah diaturrencana sendiri.









Tuesday, November 30, 2010

SELOKA USIK-MENGUSIK

Zainal dia kaki rambu,
Perangai macam ulat bulu,
Kacau anak dara lalu,
Nyaris kena baling pasu.

Zaiton dia gadis malas,
Kerja lambat tidak deras,
Berangan dapat laki lekas,
                                                          Pesan mak bapak tak berbekas.

Zainal kerja makan tidur,
Asyik kena marah mandur,
Duit sikit berangan nak labur,
                   Nah ambil ni, makan pasembur.                     

Zaiton mulut dia pot pet,
Mata dia pula sepet,
Rambut banyaknya penyepit,
Jalan dengan mak asyik berkepit.

Zainal dia kaki sibuk,
Jalan macam orang mabuk,
Suka ajak orang bertumbuk,
Bila kalah jatuh terduduk.

Zaiton perangai tiga suku,
Malas pula baca buku,
Diwarna merah hijau kuku,
Mak marah, kepala kena luku.







Katak Oh Katak

Katak oh katak, kenapa badan kau menggerutu?
Aku pun tak tahu kawan, terimalah seadanya aku.

Katak oh katak, kenapa kau asyik melompat?
Itu kira okey aku melompat, nasib baik aku tak bersilat.

Katak oh katak, kenapa kau menyanyi pabila hujan?
Itu bukan nyanyi kawan, tapi tasbih pada Tuhan.

Katak oh katak, kenapa kau gembira pabila hujan?
Pelbagai serangga lari dari rumah tangga, rezeki akulah jawabnya.

Katak oh katak, kenapa kau sering jadi bahan eksperimen?
Senang aje jawabnya kawan, sebab kami tak boleh claim insurans.

Katak oh katak, kenapa kau digeruni manusia?
'Mati katak', itulah namaku kawan kedapatan dalam simpulan bahasa. 


P/s: Jangan jadi Mat Rempit macam katak dalam video



Monday, November 29, 2010

AKRONIM

Tahukah anda apa itu akronim dan bagaimana membentuknya?
Akronim merupakan kata singkatan atau kata nama tunggal yang boleh dibentuk melalui empat cara, iaitu:
1.Hasil gabungan huruf awal perkataan seperti:
   JKR (Jabatan Kerja Raya)
   IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia)
2.Hasil gabungan suku kata awal perkataan seperti:
   cerpen (cerita pendek)
   kugiran (kumpulan gitar rancak)
3.Hasil gabungan huruf dan suku kata perkataan
   seperti:
   Intan (Institut Tadbiran Awam Negara)
   Mara (Majlis Amanah Rakyat)
4.Hasil gabungan bahagian awal perkataan pertama 
   dengan bahagian lain yang mengikutinya seperti:
   debunga (debu bunga
   jenama (jenis nama)

Sila kenal pasti hasil gabungan yang mana satukah di antara keempat-empat kriteria yang dinyatakan bagi perkataan yang disenaraikan di bawah ini.

     Perhilitan
     ADUN
     jentolak
     purata
     Perkeso
     UPM
    
 Selamat mencuba mencipta akronim dengan kreativiti 
 anda  sendiri.

 Kelebihan akronim:
  Mudah hafal.
   Mudah ingat.
     Mudah sebut.
        Senang ditulis..... Cakap lainnya, ringkas.

 Kekurangan akronim:
  Jika penciptanya tidak uar-uarkan maksud akronim
  yang dicipta kepada orang lain, HANYA penciptanya
  sahaja yang tahu maksud akronim tersebut.
     Oh, indahnya bahasaku!
      Oh, indahnya bahasaku!
        Oh, indahnya bahasaku!
          Oh, indahnya bahasaku!
     
 * Bahasa-bahasa lain juga ada akronim perkataannya 
   sendiri.*


Sunday, November 28, 2010

Nazam "Tiba Masa"

(Mengenang kembalinya kerahmatullah En. Roslan bin Abdullah, Guru Besar SK Semenyih  pada 27 November 2010)

Buat muhasabah diri:

Ayam berkokok bertalu-talu,
Tanda Subuh menjelang lalu.

Tabuh di pelantar dibeduk kayu,
Gemersik azan mendayu-dayu.

Perintah Tuhan turuti selalu,
Biar mata berat terasa luyu.

Pembentuk kerohanian itu buatmu,
Usahlah  jelak usahlah jemu.

Panggilan Illahi tidak ketahu,
Perbanyakkan amal semahu-mahu.

Tinggallah emas tinggallah intan,
Barang dah tentu tidak berkekalan.

Mata melirik menyorot sayu,
Ratap tangis itu yang termampu.

Kafan membalut di senjakala,
Selamatlah tinggal isi segala.

Ilmu bermanfaat dan amal jariah,
Doa mustajab anak soleh solehah.

Penyuluh diri di alam barzakh,
Selamatlah diri alhamdulillah.




Sumber daripada Google






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...