Saturday, August 19, 2023

 CARI GALI ILMU RAWATAN DARUSSYIFA' DENGAN KAEDAH SALAK


Alhamdulillah, dengan izin-Nya dapat dicari gali khazanah ilmu perubatan Darussyifa' dengan Kaedah SALAK. 

Sumber rujukan dari buku Rawatan Penyakit Jasmani (1) oleh Almarhum Tuan Guru Dato' Dr. Haron bin Din (Pengasas dan Penasihat Darussyifa').

Semoga dengan perkongsian melalui Kaedah SALAK ini memudahkan pemahaman dan boleh dijadikan rujukan untuk merawat pelbagai penyakit jasmani dengan rawatan Islam.

Adalah dianjurkan pesakit untuk mendapatkan rawatan daripada perawat bertauliah Darussyifa' tanpa mengabaikan rawatan daripada doktor perubatan. 

Semoga usaha kecil ini menambah berterusan mengalirnya pahala kepada Almarhum Tuan Guru Dato' Dr. Haron bin Din dan ahli yang terlibat dengan penerbitan dan perubatan Darussyifa'.

Insya-Allah.



Sumber dari Youtube

Saturday, March 4, 2023

 AYAT UNTUK KELUAR GROUP WHATSAPP


Assalamualaikum w.b.t dan Salam Mawaddah


Ketua Jabatan, Penolong Ketua Jabatan, kakanda dan adinda teman Jabatan Pengajian Melayu


Izinkan daku mencoretkan bicara di ruang maya ini.


Terima kasih teman suka duka delapan tahun daku bersama-sama kalian di Jabatan Pengajian Melayu.


Pertama-tamanya, kupohonkan halal makan minum apa jua penganan juadah yang kucicipkan ke mulut dan melalui rongga kerongkongku menjadi aliran darah di segenap urat nadiku.


Begitu jua barangan yang kuguna pakai atau kuambil tanpa sedari atau disengajai, izinkan penggunaannya.


Pasti ada yang terguris dengan lancang bicara dan lakuanku yang menjengkelkan dalam diskusi atau bual bicara. Maafilah daku yang tak lekang dari salah silap.


Teman, tiada sengketa antara kita yang kutancapkan di sudut hati mahupun sanubari ini. Bagiku ibarat seri perlawanan 0 - 0.


Izinku undur diri dari group ini bagi memberi laluan meraikan rancak bual bicara teman-teman di ruang maya ini.


Moga Jabatan Pengajian Melayu terus mekar di puncak jaya di bawah kepimpinan Ketua Jabatan yang dikasihi.


Doaku sentiasa mengiringi kerja buat kalian agar tugasan yang dilaksana menjadi ibadah dan amal jariah. Insya-Allah.


Mohon left group ya, teman-teman Jabatan Pengajian Melayu.


Salam ukhwah dari hamba.









Sunday, January 8, 2023

 AYAT TERIMA KASIH dan KELUAR GROUP WHATSAPP


Assalamualaikum dan Salam Mawaddah


Rakaman terima kasih buat Timbalan dan Tuan Pengarah,

Memberi kepercayaan menggalas tugasan penuh amanah.


Buat Puan Norainin dan Tuan Hj. Saipo selamat kembali,

Kepangkuan MPPP memang selayaknya kalian di sini.


Buat Ketua Jabatan dan Ketua Unit yang berdedikasi,

Sepanjang berurusan, terpamerlah kredibiliti dan identiti.


Semoga MPPP IPGKPI berdiri megah,

Dibarisi kepimpinan berhemah dan mawaddah.


Buat rakan sejawat Setiausaha MPPP bertiga,

Terima kasih dengan komitmen kerja tidak berkira masa.


Empat tahun bersama-sama MPPP kenangan terindah,

Akan terpahat di memori yang pasti tak sudah.


Salah silap sepanjang berurusan pasti kedapatan,

Sepuluh jari disusun pohon kemaafan.


Izinkan bermohon mengundur diri,

Minta laluan left group dan permisi.


Sumber: Youtube



Monday, April 20, 2020

Majlis e-Persaraan Dr. Mohamad Hussin bin Mohamad Yusof (Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam)



Alhamdulillah, tanggal 6 April 2020 terpateri dalam lipatan sejarah berlangsungnya Majlis Persaraan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Dr. Mohamad Hussin bin Mohamad Yusof  secara elektronik.


Terima kasih Tuan Timbalan Pengarah, Dr. Abdul Rahman bin Abdullah atas inisiatif beliau menggerakkan Jawatankuasa Majlis Profesional, Pengurusan dan Pentadbiran (MPPP) IPG KPI serta Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) untuk mengadakan Majlis e-Persaraan Tuan Pengarah.



Sampai seru meletak pena,
Jasa ditabur terngiang sentiasa.

Jasa ditabur terngiang sentiasa,
Bait kata takkan dilupa.

Bait kata takkan dilupa,
Nasihat diunjuk dalam bual bicara.

Nasihat diunjuk dalam bual bicara,
Senyum terukir pabila bersua.

Senyum terukir pabila bersua,
Jabat salam kuntuman mesra.

Jabat salam kuntuman mesra,
Kini medan memori kenangan jua.

Kini medan memori kenangan jua,
Salah lakuan bicara maafilah hamba.



Sumber dari Youtube


Sunday, April 5, 2020

Strategi Pengajaran dan Pembelajaran dengan Kaedah SALAK



Perkongsian Ilmu:
Kepelbagaian Strategi Pengajaran dan Pembelajaran dengan Kaedah SALAK.

Kaedah ini boleh diguna pakai oleh pelbagai pihak, khususnya pelajar dan tenaga pendidik. 
Kaedah yang fleksibel kegunaannya mengikut disiplin ilmu.
Sesuai digunakan oleh pelbagai lapisan umur.

Antara kegunaannya, iaitu:
1. Dapat membina ayat dengan mudah dan dalam jangka masa yang cepat.
2. Terdapat 12 pilihan (variasi) ayat yang boleh dibina.
3. Mudah membina ayat dari ayat yang mudah kepada ayat yang lebih kompleks.
4. Mudah untuk menjana idea bagi mendapatkan isi karangan.
5. Dapat mempelajari umrah dengan cara yang mudah.
6. Dapat mempelajari sejarah dengan cara yang mudah.
7. Dapat mempelajari Kesusasteraan Melayu dengan cara yang mudah.

Selamat mengaplikasi Kaedah SALAK untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) sama ada di dalam bilik darjah atau bilik kuliah.





Sumber dari YouTube



Saturday, January 12, 2019

UMRAH KAEDAH SALAK DI HOTEL PUTRA, KUALA LUMPUR

Tanggal 24 November 2018 terlakar sejarah
Perkongsian ilmu SALAK untuk UMRAH.

Usaha AMTC amat dihargai
Majlis yang dirancang Allah restui.

Kehadiran peserta dari serata negeri
Hanya Sarawak sahaja yang belum kemari.

Peserta kursus Konsultant Bertauliah
Pelbagai perkongsian ilmu lain turut dicurah.

Sijil Usahawan Mutawif Profesional
Serba-serbi maklumat umrah yang diperkenal.

Teruja peserta kaedah SALAK
Penyebaran ilmu buat abang kakak.

Semoga ilmu terus bertebaran
Mengerjakan umrah tanpa sebarang debaran.

Jika majlis dimulai dengan bismillah
Akhiri kalam bicara dengan alhamdulillah.










Sunday, October 14, 2018

HANYA KERANA TULISAN

Hanya kerana tulisan
Rezeki melimpah ruah hidup aman.

Hanya kerana tulisan
Nama gah disanjung insan.

Hanya kerana tulisan
Menjana wang kiri dan kanan.

Hanya kerana tulisan
Khazanah cerita dapat dirungkaikan.

Hanya kerana tulisan
Tika menulis adakan batu sempadan.

Hanya kerana tulisan
Wang mencair tanpa dapat dikesan.

Hanya kerana tulisan
Kata nista dijaja bertebaran.

Hanya kerana tulisan
Adu domba bahan mainan.

Hanya kerana tulisan
Ada yang saman menyaman.

Hanya kerana tulisan
Tidak kesampaian tesis turut disaman.

Hanya kerana tulisan
Bercerai-berai keluarga yang aman.

Hanya kerana tulisan
Impian berjela belum tentu kesampaian.

Hanya kerana tulisan
Halal haram dikesampingkan.

Hanya kerana tulisan
Lakuan buruk kan dapat dikesan.

Hanya kerana tulisan
Ah Long mencari hingga ke batu nesan.

Hanya kerana tulisan
Tulisan buruk ibarat cakar ayam.



Imej dari Google







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...