Friday, November 12, 2010

Seloka dan Pantun di Majlis Persaraan (10.11.2010)

Seloka dan pantun ini dititipkan buat Ustazah Zabedah bt Hassan dan Puan Rosmah bt Jamil (Sekolah Kebangsaan Semenyih) yang bersara wajib dari arena pendidikan di kala usia mencecah 58 tahun.

Pn. Maimun bt. Ali (GPK HEM)  menyampaikan hadiah kepada Ustazah Zabedah bt Hassan 

   
En. Mohamad Yusuf b. Hj. Puteh (GPK KoKurikulum) menyampaikan hadiah kepada Pn. Rosmah bt. Jamil 
Kek 'Selamat Bersara' buat Ustazah Zabedah dan Puan Rosmah


Ustazah Zabedah dan Puan Rosmah sedang menikmati juadah bersama-sama warga SK Semenyih
   SELOKA

Assalamualaikum kalam bermadah,
Berbicara tentang masa sudah,
Suasana hiba mendatang telah,
Memori bersama Kak Rosmah dan Ustazah Zabedah.

Angka 58 menjelang tiba,
Tidak diundur biar seketika,
Sampai seru meletak pena,
Tiga dekad begitu lama.

Cahaya liput serata alam,
Anak didik membawa salam,
Ilmu disebar dengan kalam,
Kini menjadi sejarah silam.

Kenangan bersama mengusik rindu,
Kini menjadi medan pilu,
Biarpun tiada ratap sendu,
Hati di dalam Allah jua tahu.

Hidup ibarat putaran roda,
Putaran berlegar mengikut masa,
Hari ini kanda berdua,
Lain ketika kami menyusul pula.

Maaf dipinta silap bicara,
Dalam masa gurau senda,
Hati terobek dek kaca,
Tutur bicara yang menikam sukma.

PANTUN

Terbang bebas si rama-rama,
Indah panorama menghias alam;
Di kala ini wajahmu purnama,
Esok lusa tampak berbalam.

Indah panorama menghias alam,
Tampak dari Tanjung Agas;
Esok lusa tampak berbalam,
Rinduan kami tetap berbekas.

Tampak dari Tanjung Agas,
Menggamit rindu datang ke mari;
Rinduan kami tetap berbekas,
Kenangan bersama memahat memori.

Menggamit rindu datang ke mari,
Teman sepermainan di tengah laman;
Kenangan bersama memahat memori,
Tautan kasih sepanjang zaman.
  
Teman sepermainan di tengah laman,
Pakat bersama menunggang kuda;
Tautan kasih sepanjang zaman,
Sisihkan sengketa kiranya ada.

Pakat bersama menunggang kuda,
Biarpun seketika masa cuma;
Sisihkan sengketa kiranya ada,
Bertemu berpisah perencanaan-Nya.


2 comments:

  1. Boleh tak ambil pantun dan seloka ni? Nak bagi kawan-kawan.

    ReplyDelete
  2. Boleh,tak ada masalah tetapi jangan lupa letak nama pengarangnya.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...