Friday, November 26, 2010

Sekelumit

Pabila mendatang sekelumit rindu,
Hati tenang penuh khudu.

Pabila mendatang sekelumit suka,
Hati girang tiada nestapa.

Pabila mendatang sekelumit sayang,
Hati melonjak biarpun kepayang.

Pabila mendatang sekelumit cinta,
Hati tak keruan biar dikata 'buta'.

Pabila mendatang sekelumit kasih,
Hati ikhlas jiwa bersih.

Pabila mendatang sekelumit benci,
Hati wasangka penuh mencaci.

Pabila mendatang sekelumit marah,
Hati tak terkawal nafsu amarah.

Pabila mendatang sekelumit sedih,
Hati dirundung rasa pedih.

Pabila mendatang sekelumit cemburu,
Hati bergolak mulut membisu.

Pabila mendatang sekelumit dendam,
Hati dibalut kesumat sukar dipadam.

Pabila mendatang sekelumit taubat,
Hati mengarah ke alam makrifat.



Thursday, November 25, 2010

Kantung

Berbondong-bondong kelibat 
manusia melewati di sini
mencari penganan buat mengisi
kantung yang menyanyi.

Pelbagai citarasa warna-warni
menyilau kalbu meruntun diri
nafsu merajalela jika tanpa
benteng ketahanan diri
rambang mata meruntun emosi.

Ah, sekujur tubuh
penghadang lintasan selera
mengunjuk kantung kusamnya pula
pinta simpati.

Apakah nanti kantungnya terisi
 atau lintah darah yang
kenyang menghirup pati dan sari madunya.




Tuesday, November 23, 2010

Bicara Seorang Ibu Dengan Menantunya (Episod 2)

"Hei, semua ingat tak cerita P.Ramlee 'Ibu Mertuaku'? Tulah yang jadi mak mertua P.Ramlee, ala sapa tu namanya ......Mak! Makkk! Mak Daraaa. Ha, ingat pun namanya! Tu, dia punya songel mak datuk, besornya! Kalau dia nak marah, lagi lajulah tangannya gerak songel kiri kanan, kiri kanan," kata menantu keempat.
"Apa ke hal pulak kau ni? Sampai cerita P.Ramlee kau melalut, ni? Orang nak dengar cerita mak, dia balik-balik cerita songel," menantu kedua bersuara.
"Bukannya apa. Teringat songel Mak Daraaa, ha, sama macam songel nenek tu. Satu hari semasa aku tengah sapu sampah kat rumah nenek, aku lihat benda bulat-bulat warna hitam kat tepi dinding. Ingatkan guli. Aku pegang-pegang, gentel-gentel dengan jari. Lembut-lembut dan berair pulak, coklat-coklat warna airnya. Puas juga belek-belek, ingatkan apalah bendanya tu,"  menantu keempat berhikayat.
"Ha! Ha! Ha! Ha! Ha!
(Semua ketawa berderai)
"Tulah songel nenek kau. Nenek kalau dah lepas menyongel, letak kat mana-mana dia suka. Mak dah puas cakap kat nenek kau. Tapi ..... tulah nenek, ikut suka dia mana nak letak."
"Ni mak, cerita mak pasal Andak tak habis lagi! Apa kisahnya lepas tu, mak?" gesa menantu kedua.
"Kalau korang semua nak tahu, satu estet mak pegi. Mana ada rumah orang, semua mak pegi tanya. Macam orang sasau mak masa tu. Sambil berjalan, sambil menangis. 'Andak, mana kau Andak? Long, Ngah, Uda korang berjalan tak pedulikan adik kau. Ha, nilah jadiknya. Adik korang dah hilang Cepat tolong mak cari adik kau."
"Habis tu tak de sorang pun tahu mana Andak pegi, mak?" tanya menantu ketiga.
"Tak. Mak terus je jalan sambil teriak, 'Andak! Andak! Mana kau?' Orang naik motor, mak tahan. Orang naik kereta, mak tahan. Orang naik kereta lembu pun mak tahan. Semua cakap tak tahu, tak nampak."
"Abis tu mak, macam mana mak jumpa Andak?" tanya menantu kedua pula.
"Dah puas mak jalan... jalan.... jalan.... sampailah kat jalan besor."
"Jalan besor tu jalan apa, mak?" soal menantu keempat.
"Jalan besor tu jalan raya. Masa tu lalulah Cina, Cha Kui orang panggil namanya. Mak tanya Cha Kui ada ke nampak saya punya anak. Dia ada bawa itu botol susu dekat dia punya mulut. Dia pakai baju tidur belang-belang."
"Habis tu, apa katanya mak?" menantu Sulung bertanya.
"Itu pun tak tahu. Habis two, three. He! He! He!" sakat menantu kedua.
"Ha, gini Cina tu cakap. Mak ajuk cakapnya."
"Haiya, Asenah ooo. Itu punya budak lu punya anakkah? Saya silalu bawak ini motor nampak itu lu punya anak itu tiga olang yang musat-musat saja ooo. Itu budak kicik saya talak pirinah nampak lu punya anak loo."
"Cha Kui. Itu kecik saya punya anak jugak. Saya tak bukak pintu takut dia keluar main, jalan-jalan luar."
"Haiya, Asenah! Lu tunggu sini lo. Saya piligi angkat itu budak. Itu saya punya bini sudah syok main sama itu budak. Wa punya anak pun sudah  suka itu main lo sama itu budak."
"Isyh. Sapa Cha.... Ca Koi, tu mak?" tanya menantu Sulung.
"Apalah pelat Kak Long ni. Cakoi tu kuihlah. Kuih cakoi. Tadi mak cakap Cha Kuilah. Lain kali dengar betul-betul. Mak bukan aje pandai cakap Cina tapi mak belum tunjuk skil lagi cakap India, baru kita semua menganga," kata menantu kedua.
"Yalah, Yalah. Cha Kui! Cha Kuilah. Ha, mak sapa Cha Kui tu, mak?"
"Tekak mak ni dah rasa kembang. Rasa nak muntah pulak ni."
"Apasal pulak mak? Mak sakit ke?" tanya menantu ketiga pantas.
"Takkk. Masa mak tunggu Cha Kui kat tepi jalan tu macam setahun rasanya. Yalah tunggu dia nak sampai, entah betul ke budak tu Andak, entah-entah budak lain. Sambil tunggu tu mak nangis je. Semua orang tanya apasal Asenah? Apasal Asenah? Mak cakaplah pasal Andak dah hilang."
"Cha Kui sampai ke mak lepas tu?" menantu keempat bertanya.
"Dia sampai, dekat setengah jam. Dia bawak budak berdiri dalam bakul motor dia. Dari jauh mak nampak susu penuh dalam botol. Baju dia pulak cantik, baju baru. Baju merah, seluar warna biru.
"Jadinya bukan Andaklah, si Cha Kui tu bawa, mak?" menantu ketiga berbunyi.
"Bila sampai je kat mak, apa lagi meraunglah mak kat situ. Mak peluk, mak cium dia. Memang sah Andak. Dia diam je. Dalam poket baju Andak penuh dengan biskut."
"Asenah ooo, ini lu punya anak woo. Sikalang wa mau pulang."
"Manyak terima kasih Cha Kui. Saya punya hati manyak senang sekarang. Saya punya anak sudah dapat. Nanti dia punya bapak banyak bising, ini dia punya anak sudah hilang."
"Ok loo. Wa balik woo."
"Yalah Cha Kui. Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih, Cha Kui."
"Lepas tu mak balik rumah, le?" tanya menantu kedua.
"Tekak mak kembang lagi. Apa taknya tengok Andak dengan botol susu konteng, kontengnya. Habis dia hisap susu. Ni mak nak beritau. Si Cha Kui tu kalau korang semua nak tahu, bila dia bercakap semua orang tekup mulut. Jarang gosok gigi. Dari jauh lagi dah berbau. Bukak je mulutnya, semacam je bau ......"
"Uwek! Uwek! Uwek! Uwek!" (Dua, tiga orang menantu emak termuntah).
"Ha, bau muntah! Lepas ni tiap-tiap orang ambil kain kat dapur, lap muntah masing-masing. Habis permaidani baru yang Andak beli dah kena muntah korang semua." 


                                         
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...