Saturday, December 11, 2010

Sampah

Di kejauhan itu
aku menyorot sayu
lelaki tua dan anaknya
dengan seguni harapan
mencari dan mengurai
longgokan sampah
jiran tetanggaku
yang bakal
memberi sebuntil sinar
buat pengubat rindu dendam
sepiring nasi bergolekan 
ikan masin bulu ayam cuma.


Di kejauhan itu         
aku menyorot lirik
bait-bait lagu hiba
lelaki tua dan anaknya
syahdu memandang
gunian sampah bagai ditatang
ditukar ganti RM3.00 cuma.


Di kejauhan itu
aku menyorot seloka
dendangan peraih
yang mengaut segunung laba
dari sebukit sampah cuma.

Thursday, December 9, 2010

KONTRADIK

Amir      : Wah, cantiknya! 
Badrul   : Yalah cantik warnanya. Tengok tu ada 
                 macam-macam warna.
(Pekedai menghampiri Amir dan Badrul lalu menyapa 
mereka)
Pekedai : Ya abang, boleh lihat-lihat. Tak apa, lihat tak 
                 kena bayar.
Amir      : Saya tengok-tengok dulu, tauke.
Pekedai : Ok, nanti panggil saya kalau sudah ada yang 
                 berkenan.
Amir      : Baiklah tauke.
(Pekedai berlalu menuju ke arah pelanggan yang lain)
Badrul   : Fasih cakap Melayu tauke tu, kan Amir. 
                 Eh, tengok tu, bila dia kembang nampak
                 warna-warnilah!  Cantiklah. Ada warna 
                 biru, merah, hijau dan macam pelangi pun 
                 ada.
Amir      : Ni mesti betina. Sebab tu cantik.
(Pekedai menghampiri Amir dan Badrul)
Pekedai : Ini jantan. Bukannya betina. Itu betina 
                dalam sebuah lagi akuarium.
Badrul   : Ha, ini ikan jantan! Bukannya ikan betina. 
Pekedai : Ya, ikan guppy jantan lebih cantik daripada
                 ikan guppy betina. Ikan guppy betina tak ada 
                 warna-warni, biasa  saja warnanya.
Amir     : Eh, terbalik pulak! Selalunya yang betina lebih 
                cantik daripada yang jantan. Ikan guppy pula
                yang jantan lebih cantik daripada yang betina.
Pekedai : Harga sama. Tujuh ekor, RM5.00. Abang 
                pilihlah mana-mana suka.
Amir     : Bagi saya tangguk dan baldi. Saya mahu pilih 
                yang ekornya cantik dan kembang.  Itu
                jantankan?
Pekedai : Ya, itu jantan!
(Setelah memilih beberapa ekor ikan guppy jantan dan 
ikan guppy betina, Amir membayar harganya di kaunter. Mereka beredar dari kedai tersebut dan mengucapkan
terima kasih kepada pekedai tersebut)
Badrul  : Kau tengok Amir. Ikan guppy jantan begitu
                cantik. Baru aku tahu lepas tauke  tu beritahu.
Amir    : Aku pun sama. Jadi jangan ingat kita ni dah 
               pandai. Banyak benda lagi kita kena belajar. 
               Kena ringan mulut bertanya dengan orang.
Badrul : Memanglah tanya dengan orang. Takkan kau 
                nak tanya dengan ikan pulak?
Amir    : Aku sumbat juga mulut celupar kau dengan 
               ikan guppy ni macam Mr.Bean makan anak 
               ikan hidup-hidup.  
Badrul : Sorrylah kawan. Gurau pun tak boleh. Eh, 
               Amir cuba kau tengok tu lima orang yang 
               berdiri kat depan kedai cermin mata tu!
Amir    : Ya, kenapa Badrul? Adik kau ke?
Badrul : Hish, ada ke gitu gaya adik aku.
Amir    : Dressing maut. Dengan gincu merah menyala 
               dan jalan lenggang-lenggok. MasyaAllah, 
               mengalahkan pompuan.
Badrul : Inilah kumpulan ikan guppy jantan. Tapi ikan
               guppy  jantan memikat ikan betina.  Yang ni 
               kontradik  dengan kita dan juga ikan guppy
               sebab mereka memikat orang lelaki. Mereka
               tak pikat orang pompuan. Macam kisah umat
               zaman Nabi Lut.

                     
         

Wednesday, December 8, 2010

Sifat Tercela

Usah sesekali tinggalkan solat,
Raut wajah tampak kelat.

Usah sesekali malas timba ilmu,
Banyak maklumat boleh ketemu.

Usah sesekali berkata bohong,
Kesalahan diri mudah diteropong.

Usah sesekali bersikap dengki,
Kawan menyingkir habis lari.

Usah sesekali mencari gaduh,
Kalau ditumbuk sakit mengaduh.

Usah sesekali lewat ke pejabat,
Nanti majikan akan perhambat.

Usah sesekali berlaku curang,
Itu gambaran menconteng arang.

Usah sesekali mencuri masa,
Ingat pahala ingat dosa.

Usah sesekali mengata mengumpat,
Balasan neraka itulah tempat.

Usah sesekali menerima rasuah,
Mendarah daging seperti berkuah.

Usah sesekali berlaku khianat,
Segera bertaubat sebelum tenat.

Tuesday, December 7, 2010

Tanggung

"Kau ingat aku ni cetak duit. Duit! Duit! Duit! Itu yang dia tahu," rungut Mak Milah.
"Ala, mak ni! Ciput aje mintak. Bukannya banyak. RM20.00 je," rayu Amirul.
"Hari ni RM20.00. Esok RM20.00. Lusa RM20.00. Tulat RM20.00. Cuba kau darab dengan sebulan. Berapa duit yang kau dapat? Ni, mak yang tak sekolah tinggi-tinggi pun tahu kalau dah 10 hari, RM200.00. 20 hari dah RM400.00. Kalau sebulan dah RM600.00," Mak Milah mula bersyarah.
"Mak ni, itu pun berkira. Nak bagi tu bagi jelah. Ini bercalculator pulak," Amirul bersuara.
(Daun pintu berdentum dihempas dengan kuat)
"Tu aje yang dia tahu. Cakap sikit, merajuk. Cakap sikit, merajuk. Pintu yang tak berdosa jadi mangsa. Kalau kau nak, ni RM10.00 aje mak bagi. Lepas ni pegi cari kerja. Duit kelapa sawit nilah buat belanja hari-hari selepas tolak upah lori dan orang potong buah," Mak Milah bersuara kuat.
(Daun pintu terkuak perlahan demi perlahan dan berkeriut bunyinya)
"Ehem. Macam nilah, mak. Barulah cayang mak," rengek Amirul.
"Bodeklah tu. Itu ajelah modalnya. Ni, telinga mak ni dah lali dengan ayat-ayat kau tu. Mak nak kau cari kerja. Tak kiralah apa kerja, asalkan kerja halal. Tak mencuri, tak merompak, sudahlah. Gaji berapa kau dapat pun mak tak kisah. Ini memilih kerja, potong kelapa sawit tak nak. Upah kat orang seberang aje. Ha, berapa jelah yang tinggal!" getus Mak Milah.
"Belajar tinggi-tinggi, takkan mak nak anak mak ni kerja cuci longkang ke, mesin rumput ke atau jadi cashier kat kedai aje. Mak nak ke? Tak laratlah mak nak angkat sabit. Pokok dah tinggi," Amirul berbunyi.
"Yalah. Yalah. Habis tu sampai bila mak nak tanggung makan minum kau ni?" tanya Mak Milah.
"Mak doalah. Mana tau esok lusa dapat Mirul kerja. Ni, duit mak bagi ni, saya beli surat khabar dan pos borang-borang mintak kerjalah, mak," pantas Amirul menjawab.
"Beli surat khabar adalah sekali-sekala. Tah bila masa pulak kau hantar borang mintak kerja? Mak tengok adalah sekali dua kau isi borang mintak kerja," Mak Milah bersuara.
"Mak doa sajalah. Sebenarnya Amirul guna internet mintak kerja. Top-up handphone lagi. Senang nak call syarikat-syarikat yang nak pakai pekerjalah, mak," Amirul membela diri.
(Telefon berdering nyaring dengan melodi 'Apa Dah Jadi ...')
"Hello! Ya .... emm .... ya .... okey .... ya .... ya .... emm .... ," jawab Amirul.
(Perbualan Amirul dengan handphone terhenti. Tiba-tiba ....)
"Yahoo! Yahoo!" jerit Amirul.
"Eh, apa kena kau ni, Mirul? Bawak-bawaklah beristighfar. Berselawat ke atas nabi ke. Ni, hari nikan awal Muharram. Dah masuk 1432 Hijrah, dah. Ini menjerit tak tentu hala," kata Mak Milah.
"Astagfirullah, Subhanallah, Allahhuma Solli ala Saidina Muhammad. Terima kasih, mak. Lepas ni Amirul tak mintak duit mak lagi. Amirul pulak yang tanggung mak," kata Amirul.
"Hai, macam hairan bin ajaib pulak mak dengar ayat-ayat kau kali ni," pintas Mak Milah.
"Berkat doa mak. Hari ni 1 Muharram, tahun baru Hijrah. Jadi Amirul berhijrah daripada tak bekerja, kini Amirul dah dapat kerjalah, mak," Amirul bersuara girang.
"Alhamdulillah. Syukur Mirul. Kerja apa kau dapat, Mirul?" tanya Mak Milah.
"Kerja tanggung mak," gelak Amirul.
"Main-main pulak dia," getus Mak Milah.
"Ia. Amirul nak balas jasa mak selama ni. Amirul nak tanggung mak. Duit kelapa sawit tu, separuh mak simpan dalam Tabung Haji, nanti bila dah cukup boleh kita pergi umrah dan mengerjakan haji sama-sama. Upah haji arwah abah jangan mak lupa pulak," kata Amirul.
"Sejuk perut mak dengar kau bercakap. Yalah, cakap-cakap jugak tapi kerja apa yang kau dapat, ni?" tanya Mak Milah.
"Tadi kawan saya telefon, nama saya tersenarai jadi Pegawai Tabung Haji kat Kuala Lumpur, mak," kata Amirul.
"Syukur, alhamdulillah. Amirul, Amirul. Tercapai jugak hajat arwah abah nak lihat kau jadi 'orang'. Lepas ni cakap bersopan-santun, jangan main hempas-hempas pintu. Nanti tercabut pintu pejabat. Pegawai apa orang kata nanti, alaaa .... pegawai yang suka hempas-hempas pintu," nasihat Mak Milah.
"Ya, mak. Amirul akan ubah perangai dan jadi anak yang baik, tak suka merajuk lagi, akan jadi pekerja yang baik dan ...... tak hempas pintu lagi," janji Amirul.
'Syukur. 1432 Hijrah besar ertinya kali ini,' desis hati Mak Milah. 




Monday, December 6, 2010

Nostalgia Perkenalan

Duduk-duduk jeling-menjeling,
Malu-malu insan di sekeliling.

Hati berdetik bibir menguntum,
Degupan jantung sedang berdentum.

Lidah kelu bibir terkaku,
Berjalan sopan tersipu-sipu.

Cebisan kertas diambil hulur,
Tanda perkenalan mula diatur.

Surat-menyurat mula menyusuli,
Persahabatan terjalin makin akrabi.

Tidak pernah bersua muka,
Bingkisan potret pengubat jiwa.

Luahan perasaan semakin bergelodak,
Membina istana lalu diajak.

Rakan dan taulan pengiring jalan,
Ketemu ibu bapa bakal pengantin perempuan.

Menyata hajat ingin menyunting,
Bunga di taman yang mekar menguning.

Hajat dilafaz penuh disambut.
Tarikh pertunangan lalu disebut.

Dalam pertunangan ada tempoh,
Benteng keimanan perlu ampuh.

Batasan pergaulan berpandu syariat,
Bisikan syaitan menjadi liat.

Akad nikah majlis berlangsung,
Di jari manis cincin disarung.

25 Oktober Sembilan Puluh Dua,
Tarikh pilihan berumahtangga.

Selamat melayari bahtera kehidupan,
Moga kerukunan kekal berpanjangan.

Simpulan Bahasa (2)

Dipaparkan kajian tentang beberapa simpulan bahasa yang ada gandingan dengan tumbuh-tumbuhan.

Air mawar : Air wangi

Air sirih : Ludah bercampur air sirih.
Anak pisang : Panggilan anak oleh keluarga sebelah ayah.
Baju seroja : Baju cara Sumatera yang berbunga benang emas.

Batu anggur : Asam buah-buahan.
Cincin belah rotan : Cincin bulat tanpa batu.
Darah setampuk pinang : Belum dewasa.

Delima merekah : Bibir yang cantik.

Duit teh : Wang Rasuah.
Rahim bunga : Ovari.
Raja getah : Tokoh perusahaan getah.

Sagu pisang : Hati batang pisang.
Santan berlada : Seronok tetapi ada pahitnya.
Saudara durian : Saudara mara yang datang pada musim durian sahaja.

Sebatang kacang : Tiada saudara mara.

Sekalung bunga : Pujian sebagai tanda penghargaan.
Senapang bambu : Raja yang tidak mempunyai kuasa.

Tabung pokok : Tabung duit.
Tahun padi : Lima atau enam bulan.
Tua tebu : Makin tua makin hebat.
Tua-tua nipah : Tua dan bodoh.

Wang sirih : Sagu hati.

Sunday, December 5, 2010

MARAH!

Sepanjang selusuri kembara
hanya lukisan hambar 
dengan deruan dan rentetan
pelbagai kenderaan
gerak bak semut
segalanya 
melemaskan gelodak jiwa.

             Dalam kekalutan masa    
membaca gerak destinasi
yang meruntun sentapan kalbu
kepingin segera ketemu
di ambang pintu.

Sirih pinang pemanis kata
sambutan adat budaya pusaka bangsa
rimasan gerak mobil bak semut
leka terlupa 
lantaran rembesan air-cond 
penyiram dendangan sukma.

Tagihan janji pinta dikota
namun deburan janji debuan segala
aduh,
goresan percikan api
pendendang lagu kemurkaan
letusan yang tak mampu disirami
rembesan air-cond
buat penenteram jiwa.

Ribut badai taufan menggila
menghempas perahu keimanan 
nun terpelanting jauh ke lubuk dasar
dek bauran kata nista 
yang tidak enak dipramusaji
dijamahtekup pancaderia
dek mungkiri janji 
itulah
petualang segala.
......
I N G A T:
Kawal emosi
Kawal tutur bicara
Jangan api kemarahan 
menjadi perosak keimanan.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...