Saturday, December 25, 2010

MINAT

Kalau dah minat berjalan,
Banyak lihat panorama luas pemandangan.

Kalau dah minat membaca,
Banyak membeli buku RM tak berkira.

Kalau dah minat menonton,
Celik saja mata dah mengadap kartun.

Kalau dah minat memancing,
Pantang diajak kawan yang kamcing.

Kalau dah minat membeli emas,
Penuh berselirat barangan kemas.

Kalau dah minat menulis,
Pelbagai bahan dapat dirakam tulis.

Kalau dah minat bergambar,
Pelbagai imbauan kenangan dapat dipapar.

Kalau dah minat berkebun,
Pelbagai makanan bakal dihasil timbun.

Kalau dah minat memasak,
Pelbagai menu masakan disaji enak.

Kalau dah minat blog dilayari,
Pelbagai sajian maklumat boleh didapati.



Tuesday, December 21, 2010

TAHUN BAHARU

Tahun baharu akan tersembul wajahnya
menjelang detik 12 tengah malam
31 Disember yang bakal kunjungjelma.

Lidah anak-anakku petah menyebut lancar
Tahun Masihi ... Januari, Februari, Mac ...
Kalam anak-anakku gagal mencoret pantas
Tahun Hijr ... Muharram, Safar, Rabiul Awal ...

Hanya pabila cuti sekolah 
dinyata guru
ini cuti sempena
Maulid Nabi dan 1 Muharram.Oh, barulah
anak-anakku mengertifaham!

Aku sedari anak-anakku
paling menghayati
ini cuti. Ya menjelang puasa, ini Ramadan
Hari Raya Puasa, ini Syawal dan
Hari Raya Haji, ini Zulhijjah. 

Usiaku yang menginjak kelompok senja 
masih terbabas mengingat
kunjungan  hormat
Hari Kebesaran Islami. Ya menjongolnya 
Israk Mikraj, Nuzul Al-Quran dan
awal Zulhijjah.Adakala aku alpa
memanjat doa
akhir Zulhijjah dan awal Muharram.

Ah, aku melupai-Mu Ya Rabbi!
aku sedar Kau tak pernah melupaiku
biar sedetik cuma.

Terima kasihku bertalu-talu
memberi izin
menghirup udara
menatap panorama
alam ciptaan-Mu
PERCUMA saja.






Monday, December 20, 2010

Tetamu

Disember menjadi bulan pilihan,
Edaran surat, SMS dan lisan buat  jemputan.

Rumah dikemas berhari-hari,
Menyambut tetamu hadir kemari.

Kerusi meja pinggan mangkuk,
Diatur susun kelihatan elok.

 Dalam penantian detik berlalu,
Ibarat seharian masa menunggu.

Beberapa kerat saja yang mampir,
Senjakala berlabuh semakinlah hampir.

Berlegar-legar ke hilir ke hulu, 
Kaki lenguh naik kematu. 

Melihat makanan di atas penanggah,
Masih banyak rasa lemas tak sudah.

Sekonyong zahir seorang hamba,
Meletakkan motosikal penuh susila.

Ini dikata yang diundang tak muncul,
Yang lain pula mendatang timbul.

Semua mata tertumpu lirik padanya,
Di dalam hati tertanya-tanya.

Kecil tapak tangan nyiru ditadah,
Mengizinkan nikmati apa jua juadah.

Tidak membazir rezeki yang ada,
Hidangan yang ada biarlah dirasa.

Sudah termazkur hajat di hati,
Ingin mengadakan majlis kenduri.
  
Lain masa usah teman mintai,
Pelbagai hidangan untuk diadai.

Kiranya ingin juga diadai,
Kehadiran teman perlu diminta pasti.

Inilah dikata rencana yang dirancangkan,
Allah jua yang menentukan.
                                     

Sunday, December 19, 2010

BOLA

Inilah hikayat tentang bola,
Disepak tendang sini sana,
Hanya sebiji direbut bersama,
Menjadi permainan kegilaan semua.



Pemain berbakat segera dicari,
Di peringkat sekolah, zon, daerah, negeri,
Bagi mewakili negara dicintai,
Majlis Sukan Negara yang menerajui.



Pagi petang ditagih kudrat,
Ibarat latihan angkat berat,
Setiap latihan ada pemberat,
Penguat stamina itu matlamat.



Pelbagai skill mahupun strategi,
Jurulatih K.Rajagobal tekun memberi,
Mengajar berdisiplin dan berdedikasi,
Skuad kebangsaan yang dicoraki.



15 Disember menjadi saksi,
Dua jaringan Mohd Safee Mohd Sali,
Separuh akhir Piala Suzuki,
Membenam Vietnam di gelanggang sendiri.



Nombor 10 adalah jersi,
Disarung Mohd Safee tika beraksi,
Teringat nostalgia Mokhtar Dahari,
Penyerang handalan era 70-an digeruni.



Soh Chin Aun, Serbegeth Singh, Khalid Ali,
A.Arumugam, James Wong, Hassan Sani,
serta masih banyak pemain lagi,
pihak lawan begitu amat segani.



Pabila menang pasti disanjungi,
Pabila kalah akan dinistai,
Sedia menanggung beban digalasi,
Untuk menjadi skuad sensasi.



Selamat mengibar Jalur Gemilang,
Menentang Indonesia di medan juang,
Peringkat akhir yang mendatang,
Piala Suzuki AFF bakal dijulang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...