Thursday, November 17, 2011

Kisah Benar (2)

Anak saudaraku sakit perut akibat gastrik. Ayahnya bergegas bawa ke hospital lalu menuju ke wad kecemasan. Sesampai di sana, doktor yang bertugas meleteri kedua-dua beranak tersebut.
"Kenapa tak diberi makan ubat awal-awal? Ini sudah serius baru nak dibawa ke hospital."
Terkedu kedua-duanya dengan kata-kata doktor berkenaan.
Pada tanda nama tertera nama Dr. Kumar a/l Nathan (bukan nama sebenar) tetapi raut wajahnya seperti orang Melayu. Sambil mulutnya menceceh, tangannya segera menulis nama ubat yang perlu diambil pada preskripsi ubat.
'Kita sedang menahan sakit, doktor ni pula marah-marah kat abah. Kesian abah', getus hati anak saudaraku.
"Terima kasih doktor. Semoga Allah memberkati tugas-tugas yang tuan doktor lakukan, bukan sahaja kepada anak saya tetapi juga pesakit-pesakit lain."
"Hummm!"
Itu sahaja jawapan yang terpacul dari mulut doktor muda itu.

(Beberapa bulan kemudian)
"Abang muazin, bolehkah ajar saya sembahyang, puasa dan apa orang Islam mesti buat?"
"Dengan senang hati, tak ada masalah. Ikut saya mengucap dua kalimah syahadah iaitu tuan doktor mengakui:
Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah."
"Baiklah abang muazin."
(Urusan pendaftaran di pejabat agama diuruskan dan setelah itu doktor muda ini semakin rapat dengan abang muazin. Bimbingan agama diajar di masjid).
"Doktor, apa kata datang ke rumah saya hari ini. Bolehlah doktor tolong lihat-lihatkan keadaan ibu saya yang ada penyakit kencing manis."
"Boleh juga. Kebetulan hari ini saya cuti."
Hubungan yang terjalin semakin intim dan ibu abang muazin dianggap seperti ibu sendiri. Anak-anaknya pula dilayan seperti adik-beradik. Hal ini disebabkan doktor muda ini disisihkan oleh kedua ibu bapanya setelah beliau memeluk agama Islam. 

Tidak lama kemudian, doktor muda ini bertemu jodoh dengan seorang jururawat Melayu dan kini telah dikurniakan seorang zuriat. Isteri dan anaknya kerap dibawa berjumpa keluarga angkat yang juga merupakan ibu mertua penulis.

Sekarang ibu mertua penulis ada dua orang anak angkat lelaki iaitu seorang Cina dan seorang lagi India Muslim.
Menjelang hariraya, kedua-dua anak angkat ini pasti akan menjejakkan kaki untuk turut bersama-sama berhariraya dengan ibu mertua penulis.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...