Friday, July 1, 2011

Kau Istimewa

Hari ini aku telah pergi ke sekolah anak-anak untuk mengambil keputusan peperiksaan pertengahan tahun. Sebelum ini hanya suamiku yang selalu mengambil keputusan peperiksaan anak-anakku  kerana tempat kerjanya berdekatan dengan sekolah anak-anak. Bagaimanapun, hari ini suamiku terpaksa memberi ceramah di Sekolah BBB, jadi terpaksalah aku pergi jua dengan berat hati.

'Mungkin ada juga hikmahnya aku pergi, boleh aku berkenalan dengan guru-guru anakku', hati kecilku berkata. 'Terlepaslah lagi latihan Askar Wataniah untuk minggu ini, jika tak boleh juga keluarkan peluh'.



Setelah selesai mengambil keputusan peperiksaan anakku yang ke-3 dan ke-4, aku pun ke sekolah anakku yang ke-2. Anakku yang ke-2 ini adalah anak istimewa. Tahun ini dia  mula bersekolah menengah di SMBR. Memandangkan dia berada di kelas pendidikan khas, aku tidak mengharapkan apa-apa daripada keputusan peperiksaannya.



Bercakap mengenai anakku yang ke-2 ini, sebagai ibu aku sering berdoa agar dia akan menjadi seperti anak-anak normal yang lain. Dia anak yang baik, selalu menolong aku di dapur dan menjadi peneman adik-adiknya. Tetapi... hati kecilku sering berbisik, 'Kalaulah anakku ini normal seperti kakak dan adik-adiknya,  tentulah .......'

Sebagai seorang manusia, aku sering tidak berpuas hati dengan apa yang Allah telah beri dan takdirkan  kepadaku. Walaupun aku redha mempunyai anak seperti itu tetapi...



Sampai sahaja di bilik guru pendidikan khas, aku telah menunggu di ruang menunggu sementara menunggu guru kelas anakku datang. Tiba-tiba mataku terpandang sajak yang tergantung di dinding. Aku terus membaca sajak itu dengan penuh minat. Hatiku menjadi sebak apabila membaca bait demi bait sajak tersebut. Aku pun mengeluarkan kertas dan pen dari handbag lalu terus menyalin sajak tersebut. Sajaknya berbunyi:



The Special Child

The Child, yet unborn, spoke with the Father,
"Lord, how will I survive in the world?
I will not be like other children, My
walk may be slower, my speech hard
to understand, I may look different.
What is to become of me?"

The Lord replied to the child,
"My precious one, have no fear, I will
give you exceptional parents, They
will love you because you are special,
not in spite of it. Though your path
throught life will be difficult, your
reward will be greater, You have been
blessed with a special ability to love,
and those whose lives you touch will
be blessed because you are special."


Aku berasa sungguh terharu dan sedih sekali. Sedih ada, kecewa pun ada. Kedua-dua situasi ini berlegar-legar di mindaku. Ah, aku sepatutnya bersyukur kerana mempunyai anak sepertinya! Aku serta ibu bapa yang mempunyai anak istimewa adalah insan yang terpilih untuk mempunyai anak seperti itu. Ya Allah, ampunilah dosaku! Selepas ini aku berjanji akan terus menghargai anakku yang istimewa ini dan menerima seadanya sebagaimana penerimaanku terhadap anak-anakku yang lain.



Setiap anak itu adalah pembawa rezeki kepada kita. Jadi jangan sia-siakan anak kita dan terimalah mereka seadanya. Jangan hanya memandang keputusan peperiksaan mereka tetapi pandanglah apa yang mereka boleh buat apabila kita di alam barzakh dan alam akhirat nanti.

Ibu sayang kalian. Doa ibu sentiasa mengiringi perjalanan hidupmu. 






Thursday, June 30, 2011

Pelbagai Karenah (2)

Ada orang pandang mudah
Silap hari membawa padah.

Ada orang cakap banyak,
Silap hari kena lanyak.

Ada orang cakap sumpah seranah,
Silap hari mulut menanah.

Ada orang memaki hamun,
Silap hari jiwa disamun.

Ada orang kaki bangkang,
Silap hari kena tukang.

Ada orang kaki turut,
Silap hari asyik dilurut.

Ada orang buat tak peduli,
Silap hari kena buli.

Ada orang ambil berat,
Silap hari rasa tak larat.

Ada orang suka berjanji,
Silap hari tak ditepati.

Ada orang suka berhutang,
Silap hari seteru mendatang.

Ada orang selayang pandang,
Silap hari kena turun padang.

Ada orang cakap meracau,
Silap hari boleh sasau.

Ada orang suka mengumpat,
Silap hari nerakalah tempat.

Ada orang suka gossip,
Silap hari telinga berdesip.

Ada orang kaki sibuk,
Silap hari dikata mabuk.

Ada orang terlebih bercakap,
Silap hari kata tak terucap.

Ada orang buat tak kisah,
Silap hari keluh-kesah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...