Saturday, August 27, 2011

Penetapan Masa

Bulan September memulai pengajian,
Bermulalah era menjalankan kajian.

Selamat tinggal dunia profesion,
Release sementara masalah tension.

Hilang masalah yang lain timbul,
Menggenggam skrol biarlah makbul.

Lidah mudah berkata ucap,
Alahai mata berat kerap menguap.

Tajuk kajian masih terawang,
Fikiran berserabut cuba menerawang.

Jika sedemikian bilalah nak siap,
Tesis dihasilkan bergerak lembap.

Ini baharu peringkat permulaan,
Siap siaga perlu disegerakan.

Bertemu pensyarah tidak boleh tidak,
Tugasan tanggungjawab di pundak.

Hala tuju cuba ditetapkan,
Biar tidak dalam penasaran.

Lambat-laun perlu dibentangkan,
Untuk dibahaskan di hadapan para ilmuan.

Ya Allah berilah kekuatan,
Dalam menempuh gelombang lautan.

Maha luas lautan ilmu-Mu,
Cuba kucarigali hingga ketemu.

Permudahkanlah segala urusanku,
Pencarian ilmu penuh berliku.

Fizikal minda sihat walafiat,
Diharap berterusan tidak tergeliat.








Friday, August 26, 2011

Mengimbau Nostalgia (4)

Aku merupakan seorang anak perempuan tunggal dalam  tujuh orang adik-beradik. Bagaimanapun, abangku yang ke-3 meninggal dunia semasa umurnya 5 tahun. Arwah ayahku adalah seorang bilal masjid di negeri Pahang. Keluargaku tinggal dalam kawasan masjid. Oleh itu, aku dan adik-beradikku dibesarkan dalam persekitaran yang begitu positif. Solat berjemaah setiap waktu di masjid, belajar mengaji di masjid (ayahku ustaznya), menghadiri majlis ilmu seperti Musabaqah Al-Quran, Maulidur Rasul, Maal Hijrah dan ceramah agama.

Masih kuingat setiap kali di bulan Ramadan, suasana di masjid sangat meriah. Ketika berbuka puasa, bubur lambuk Abang Omar (Siak Masjid) sudah semestinya kuminta untuk dibuat juadah berbuka puasa. Sembahyang Terawih pula dipenuh saf oleh makmum Kampung K dan penduduk kampung sekitarnya. Di waktu malam pula, budak-budak Al-Arqam (waktu itu gerakan Al-Arqam belum diharamkan lagi) memeriahkan masjid dengan bertadarus dan bernasyid.

Di pagi raya, rumahku menjadi tempat pertama anak-anak murid dan kawan-kawan ayahku untuk beraya. Tetamu tidak putus-putus berkunjung ke rumah kami. Hari Raya kedua pula, aku akan mengikut ayahku pergi bertahlil di kubur. Ayahku memang menjadi ustaz rebutan untuk membaca tahlil dan doa arwah di kubur. Waktu itulah aku boleh dapat duit yang banyak kerana jika orang-ramai yang memberi sedekah di kubur tahu aku anak Bilal Abd Malik, tentu aku diberikan wang yang lebih berbanding orang lain.

Tetapi.......itu semua sudah berlalu. Setelah ayahku pencen daripada menjadi bilal dan berpindah di Kampung BS, suasana hidup dalam kariah masjid tidak lagi kami rasai. Setiap kali melalui kawasan Masjid K dalam perjalanan balik ke kampung, aku sering memberitahu anak-anakku bahawa di situlah aku dan ayah saudara mereka membesar. Kenangan sewaktu aku kecil bersama dengan adik-beradikku di Masjid K masih kuingat sehingga kini. Alhamdulillah seorang abangku kini telah menuruti kerjaya ayahku dengan menjadi Bilal di Masjid Bandar B berdekatan dengan Masjid K.
 






Tuesday, August 23, 2011

Seloka Hariraya

Sungguh meriah menyambut raya,
Rumah dihias penuh ceria,
Berbaju baru tampak bergaya,
Sebulan gaji habis dibelanja,
Demi memenuhi gelora mata.

Pelbagai juadah yang dihidang,
Buat tetamu berkunjung datang,
Ada lagi dulang ditatang,
Penuh berisi daging rendang,
Asyik bersuap lauk tak berenggang.

Dalam keriuhan bertemu bual,
Ada pula mencari pasal,
Mercun berdentum dibuatnya hal,
Putus jari beraya di hospital
Dah kena baru menyesal.

Video dari Google
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...