Saturday, May 7, 2011

Khazanah Harta

Dalam kudrat saki-baki
menjelang dinihari
tanpa segan-silu
kugagahi bicara bagi mencarigali
harta yang tertancap
harta yang diselubungi 
oleh litupan mata hatiku sendiri
dalam memahami
kedudukan arahnya yang tersembunyi.

Silauan dan kaburan
yang menutupi mata hati
menyesak nafasku 
menilai laluan tatacara
mencungkil pelbagai khazanah harta.

'Ah, mengapa teman-temanku
bisa berada di landasannya
bisa mengutip intan permata
bisa mengutip emas tempawan seenaknya?
Mengapa tidak aku?'

Cemburuku terhadapmu teman
mengikis tebal maluku
menghadap para ilmuan
bagi penunjuk jalan
untukku mendapat habuan
biarpun tak setimbun 
harta yang dikautmu, teman.

Setiap ilmuan yang kukenal
kupinta memanduku
bagi penunjuk arah 
bagi pemberi garis pandu
buat bekalan pemahamanku
dalam menggapai harta
yang banyak berlegar
di ruang mataku selama ini.

Terima kasih para guruku
biarpun dalam kesamaran senja 
berkat ketulusan hati budimu
menitipkan ilmuanmu
yang amat bermakna 
buat penyuluh jalan diriku
mengutip puing-puing 
intan permata dan emas tempawan
yang dikelabui oleh mata hatiku
melihat dan memahaminya selama ini.


Tuesday, May 3, 2011

Persepsi Murid

"Malang betul kita dapat cikgu ni".
"Apasal pulak?"
"Yalah, cuba kau kira, dalam seminggu berapa kali cikgu masuk kelas!"
"Hish, cikgu selalu pergi kursuskan! Semalam pun ada cikgu beritau dia ke Kementerian Pelajaran. Dah pihak kementerian arahkan, takkan cikgu nak bantah dan tak pergi pulak. Emak aku pun cikgu juga. Gitulah gayanya. Kalau pergi kursus kadang-kadang sampai seberang laut, nu pegi Sabahlah, Sarawaklah."
"Memanglah, tak boleh nak bantah arahan."
"Dah tu, apa yang malangnya?"
"Aku kalau boleh... hemm, aku nak tiap-tiap hari cikgu masuk ke kelas kita. Cikgu ajar kita dan beri penerangan dari A sampai Z. Ini tak, bagi kerja hari ni, lusa bila masuk kelas bincang kerja yang diberi."
"Dah cikgu sibuk, sesekali cikgu berpeluang masuk kelas, dapatlah cikgu kenal pasti murid-murid yang tak faham sesuatu soalan. Dari ketidakfahaman soalan tersebut, cikgu bagi kita pula soalan mengikut topik demi topik. Baharulah murid-murid dapat menjawab dengan merujuk kepada klu yang terdapat pada soalan tersebut. Dah faham topik berkenaan, cikgu bagi lagi soalan dari topik lain pula. Pastu, cikgu test kita lagi dengan soalan-soalan yang mencakupi hampir semua topik sebelum menghadapi ujian atau peperiksaan."
"Ewah, panjang lebar pula penerangan kau Milah! Mengalahkan cikgu pula."
"Itu hakikat sebenarnya. Kita kena terima cikgu kita seadanya. Tapi yang bestnya cikgu kita ni, sekali dia terangkan, cepat kita faham."
"Ya, tang tu aku tabik kat cikgu."
"Ha, tadi kau bising-bising, malanglah.... tah apa-apa lagilah pasal cikgu!"
"Sebab dia ajar senang fahamlah, aku nak cikgu sentiasa ada di sekolah, ajar kita tiap-tiap hari. Seronok sangat bila cikgu ada tercegat depan kelas dan beri penerangan tu, penerangan ni."
"Oklah Natasya. Mungkin cikgu kita banyak penglibatan di peringkat kementerian, jabatan dan Pejabat Pelajaran Daerah. Ilmu yang diperoleh disebarkan kepada kita. Teknik-teknik pembelajaran yang mudah, senang nak ingat dan cepat difahami disebarkan kepada kita. Ada untungnya juga pada kitakan."
"Baiklah Cik Milah Nenek Kebayan. Saya akur dan menurut perintah dan menerima apa juga buah fikiran nenek."
"Ke situ pulak dia? Dah, cepat siapkan kerja yang cikgu beri tu. Esok cikgu masuk kelas dan nak buat semakan kerja yang kita buat, ni"
"Yalah Cik Milah Nenek Kebayan."
"Ish, aku ketil juga budak Natasya ni! Baru padan muka dia."
Ini pula kes Cikgu Shaari.
Mari saksikan klip videonya pula.
Masuk ke kelas mengajar, tapi .....

Sunday, May 1, 2011

Mengimbau Nostalgia

"Ha, sapa yang nak air ni?"
Tak ada jawapan. Semua mata terkulat-kulat memandang tuan punya suara tadi.
"Sapa minum air ni, besar nanti boleh jadi cikgu."
'Jadi cikgu'.
Menerawang dalam minda masing-masing kata-kata yang dilontarkan sebentar tadi.
"Saya nak! Saya nak! Saya pun nak!"
Masing-masing memanjangkan tangan menyambar botol yang disua. Ada lima tangan melekat pada botol yang tertera gambar buah limau dibelah dua pada badan botol yang berwarna coklat kehitaman.
Bergilir-gilir lima orang kanak-kanak dalam lingkungan usia 11 tahun menyedut air limau. Ketika air disedut, tak teringat langsung di minda hendak jadi cikgu. Apa yang penting, air limau berkenaan mengalir masuk melalui rekahan kerongkong dan menuju ke kantung perut. Tambahan pula cuaca panas terik hari itu.
'Ah, sedapnya! Nikmat sekali! Bukan senang pula nak dapat air oren ni! Mak ayah belum tentu nak belikan air oren'.
"Hem, tak ada seorang pun yang cakap terima kasih, yaaa! Yalah, sapa yang nak pandang cikgu yang dah kerepot ni!"
Berdesing telinga macam terdengar bunyi bom baru meletup.
Serentak itu juga terpacul ungkapan : "Terima kasih, cikgu."
******
Masih terngiang-ngiang di benakku nostalgia tahun 70-an. Cikgu di kala itu amat dihormati dan disegani.


'Terima kasih, cikgu. Doamu memberkati perjalanan hidupku. Buat semua guru yang pernah mendidik dan mengasuh, SELAMAT HARI GURU. Guru-guru yang telah kembali kerahmatullah, dititipkan Al-Fatihah buat kalian. Moga dicucuri rahmat-Nya'.

16 MEI 2011
Tema Hari Guru: Guru Penjana Transformasi Pendidikan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...