Thursday, March 29, 2012

Teka-Teki

(Berbual-bual dua orang remaja dengan persoalan yang diajukan).

Zam    : Ada dua jawapan yang aku perlukan. Kalau kau
              tahu cubalah jawab soalan aku ni.
Fauzi  : Kau tak tanya soalannya, macam mana aku nak 
              jawab.
Zam    : Itu baru intro. 
Fauzi  : Yalah! Yalah! Ha, apa soalannya?
Zam    : Begini. Pakai kemas dan hati-hati macam 
              manapun pasti kena.
Fauzi  : Kena apa?
Zam : Kena pada pakaiannya. Ada dua jawapan yang 
              boleh kau berikan bagi soalan aku ini.
Fauzi  : Kena basuh, kena cuci.
Zam : Ada jawapan lain?
Fauzi  : Kena ..... kena ..... mengenai.
Zam    :  Kena apa tu?
Fauzi  :  Kena sambal, kena minyak.
Zam    : Rasanya tak tepat. Ada lagi jawapan yang nak
               kau berikan.
Fauzi  :  Semua aku jawab, ada lagi tak jawapan lain. 
               Semuanya salah. Ha, jawapan sebenarnya apa?
Zam    : Janganlah marah. Kalau tak tahu, ha ni anak 
              pada kakak engkau punya emak berikan jawapan.
Fauzi  : Opps! Nanti dulu. Ini pun satu masalah lagi. 
              Anak pada kakak engkau punya emak. Itu apa
              pula?
Zam : Itu pun kau tak tahu. Senang aje. Emak aku 
              adalah kakak pada emak engkau. Emak kita 
              adik-beradik. Aku adalah anak pada kakak 
              emak engkau. 
Fauzi  : Oh, barulah aku faham! Jadi kita sepupukan.
Zam    : Ha, faham pun! Baiklah berbalik pada soalan 
              awal aku yang perlukan dua jawapan. 
              Jawapannya ialah tukang cat dan penoreh getah.    
Fauzi  : Boleh perjelaskan jawapan kau ni?
Zam    : Begini. Berhati-hati macam manapun dua orang
              ini semasa buat kerja, peratusan kena pada 
              pakaiannya ialah 100%. Kena catlah pada baju
              atau seluarnya. Kena susu getahlah. Kalau kau
              tak percaya, lihatlah pada pakaian mereka. Ada
              cat dan susu getah yang melekat. Akhir sekali 
              ada satu lagi yang melekat. 
Fauzi  :  Apa dia?
Zam    : Melekatlah duit pada tangannya. Upah buat 
              kerja.

(Fauzi menggaru kepalanya yang tidak gatal).



Sunday, March 25, 2012

Tamu Sore

Telah acapkali sore
tamu tak diundang bersantai
di pinggiran simpang jalanan
yang sentiasa mendepang tangan
mempersila siapa jua menempuh lalu
kiri kanan untuk bersimpang-siur.

Tamu tak diundang berdendang
berlarian berkejaran sukaria
tak peduli biji mata tersembul melingas 
meneropong perilaku malah bicara
tanpa segan silu lakon drama
gadis sunti mengejar pria teruna
saling mengaduh kecil berbalas cubitan
sesekali mengilai tawa memecah hening sore 
dan saling mencuba-cuba 
puntung api kecil dicucuh ke bibir.

'Apalah kakak abang tu, ya ayah?
Ustazah kata bukan muhrim
tak boleh duduk pegang-pegang tangan
naik motor berdua'.

Terkesima sang ayah meladeni
ngomelan anak kecil yang menginjak usia delapan
terkatup bibir sang ayah
tak terjawab ngomelan anak cilik
yang petah bicara 
memetik kata-kata bak langgam ustazah.

Kini sore kian mengengsot
melabuhkan tirai senja
tamu sore masih rancak berbicara
mengekek mengilai tawa
hanya tatkala azan Maghrib ke udara
satu-persatu menyingkir 
meninggalkan pinggiran jalan
untuk dikunjungi keesokan hari.

Tapi awas, ya!
langkah kalian disoroti 
penduduk taman yang prihatin
menanti dihukumi
perilaku yang mencolok mata
tak menghormati tatasusila tatabudaya
Muslim sejati.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...