Saturday, January 29, 2011

Majlis Persaraan PAP

Dititipkan khas buat En.Mohamad Riduan bin Alias (Pembantu Am Pejabat) yang bersara wajib di usia 56 tahun pada 28 Januari 2011.

Hari ini kita serumpun,
Hari ini kita berhimpun.

Hari ini kita bersua muka,
Hari ini kita bertegur sapa.

Hari ini kita senyum tawa,
Hari ini kita gelak mesra.

Hari ini kita berselisih bahu,
Hari ini kita bicara laku.

Hari ini kita berjabat erat,
Hari ini kita semuafakat.

Hari ini kita sekeluarga,
Hari ini kita bergembira.

Oh, indahnya hari ini!

Diam tak diam
Sedar tak sedar
Hari ini berkalih ke hari esok.
Ya ……
Putaran masa berlari pantas
Diam tak diam
Sedar tak sedar
Jarak usia memisahkan kita
Biarpun kudrat masih bertenaga.

Jadi ……
Hari esok kita memandang,
Hari esok kita berlainan padang.

Hari esok kita berjauhan,
Hari esok kita kesepian.

Hari esok kita kesyahduan,
Hari esok kita kerinduan.

Hari esok kita terpisah,
Hari ini ...... kita resah.

Hari ini dan hari esok,
Dua hari yang berbeza.

Sebarang lakuan yang mencolok mata
Sebarang bicara yang lancang berkata
Ampun maaf daripada Abang Wan dipinta
Mewakili rakan teman yang ada
Di lain masa sudikan bersua
SK Semenyih kan merindui
Irama bisikan mesin riso dan fotostat
Sentuhan tangan Abang Wan yang tak banyak bicara
Bahan cetakan yang dipinta menjadi segera.

Terima kasih Abang Wan
Selamat bersara di usia 56
Moga segera sembuh dari demam
Dikatakan suspek demam denggi
Dan dah beberapa hari ke hospital berulang-alik
Pengambilan darah berkali-kali.

Doa kami mengiringi langkah kaki
Dan dikabulkan nikmat kesihatan buat
Abang Wan
Moga sihat walafiat dan dimurahkan rezeki
Bahagia bersantai dan tenangkan minda
Di sisi keluarga sepanjang masa.







Thursday, January 27, 2011

Villa Sentosa, Melaka

Hati tergerak untuk menyinggah,
Villa Sentosa di Melaka Bandaraya Bersejarah.

Kampung Morten bukan pedalaman,
Di pinggir bandaraya itulah letak laman.

Bagai memanggil kalbu digamit,
Khazanah datuk nenek untuk diulit.

Tembikar, kamera, perabot antik,
Masih tersimpan dijaga cantik.

Jika ingin menjejak ke teratak,
Di pinggir sungai villa terletak.

Rumah Melaka rumah limas,
Berada di dalamnya tidaklah lemas.

Udara berlegar kemas peredaran,
Biarpun tanpa air-cond penyejuk badan.

Rumah arwah datuk rumah peninggalan,
Dititip kepada Encik Abdul Rahim pewaris budiman.

Pelosok dunia datang berkunjung,
Ucapan tahniah tinggi menyanjung.

Khazanah merata dunia masih disimpan,
Buat tatapan anak cucu di masa hadapan.

Ceritera nendanya 'Demang' sewaktu dahulu,
Penghulu kepada segala yang bergelar penghulu.

Ayahandanya seangkatan Tunku Abdul Rahman,
Ketika hayat magistret itulah jawatan.

Mulut ramah tak henti berhikayat,
Curahan ilmu pelbagai maklumat.



                        
                              

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...