Tuesday, December 7, 2010

Tanggung

"Kau ingat aku ni cetak duit. Duit! Duit! Duit! Itu yang dia tahu," rungut Mak Milah.
"Ala, mak ni! Ciput aje mintak. Bukannya banyak. RM20.00 je," rayu Amirul.
"Hari ni RM20.00. Esok RM20.00. Lusa RM20.00. Tulat RM20.00. Cuba kau darab dengan sebulan. Berapa duit yang kau dapat? Ni, mak yang tak sekolah tinggi-tinggi pun tahu kalau dah 10 hari, RM200.00. 20 hari dah RM400.00. Kalau sebulan dah RM600.00," Mak Milah mula bersyarah.
"Mak ni, itu pun berkira. Nak bagi tu bagi jelah. Ini bercalculator pulak," Amirul bersuara.
(Daun pintu berdentum dihempas dengan kuat)
"Tu aje yang dia tahu. Cakap sikit, merajuk. Cakap sikit, merajuk. Pintu yang tak berdosa jadi mangsa. Kalau kau nak, ni RM10.00 aje mak bagi. Lepas ni pegi cari kerja. Duit kelapa sawit nilah buat belanja hari-hari selepas tolak upah lori dan orang potong buah," Mak Milah bersuara kuat.
(Daun pintu terkuak perlahan demi perlahan dan berkeriut bunyinya)
"Ehem. Macam nilah, mak. Barulah cayang mak," rengek Amirul.
"Bodeklah tu. Itu ajelah modalnya. Ni, telinga mak ni dah lali dengan ayat-ayat kau tu. Mak nak kau cari kerja. Tak kiralah apa kerja, asalkan kerja halal. Tak mencuri, tak merompak, sudahlah. Gaji berapa kau dapat pun mak tak kisah. Ini memilih kerja, potong kelapa sawit tak nak. Upah kat orang seberang aje. Ha, berapa jelah yang tinggal!" getus Mak Milah.
"Belajar tinggi-tinggi, takkan mak nak anak mak ni kerja cuci longkang ke, mesin rumput ke atau jadi cashier kat kedai aje. Mak nak ke? Tak laratlah mak nak angkat sabit. Pokok dah tinggi," Amirul berbunyi.
"Yalah. Yalah. Habis tu sampai bila mak nak tanggung makan minum kau ni?" tanya Mak Milah.
"Mak doalah. Mana tau esok lusa dapat Mirul kerja. Ni, duit mak bagi ni, saya beli surat khabar dan pos borang-borang mintak kerjalah, mak," pantas Amirul menjawab.
"Beli surat khabar adalah sekali-sekala. Tah bila masa pulak kau hantar borang mintak kerja? Mak tengok adalah sekali dua kau isi borang mintak kerja," Mak Milah bersuara.
"Mak doa sajalah. Sebenarnya Amirul guna internet mintak kerja. Top-up handphone lagi. Senang nak call syarikat-syarikat yang nak pakai pekerjalah, mak," Amirul membela diri.
(Telefon berdering nyaring dengan melodi 'Apa Dah Jadi ...')
"Hello! Ya .... emm .... ya .... okey .... ya .... ya .... emm .... ," jawab Amirul.
(Perbualan Amirul dengan handphone terhenti. Tiba-tiba ....)
"Yahoo! Yahoo!" jerit Amirul.
"Eh, apa kena kau ni, Mirul? Bawak-bawaklah beristighfar. Berselawat ke atas nabi ke. Ni, hari nikan awal Muharram. Dah masuk 1432 Hijrah, dah. Ini menjerit tak tentu hala," kata Mak Milah.
"Astagfirullah, Subhanallah, Allahhuma Solli ala Saidina Muhammad. Terima kasih, mak. Lepas ni Amirul tak mintak duit mak lagi. Amirul pulak yang tanggung mak," kata Amirul.
"Hai, macam hairan bin ajaib pulak mak dengar ayat-ayat kau kali ni," pintas Mak Milah.
"Berkat doa mak. Hari ni 1 Muharram, tahun baru Hijrah. Jadi Amirul berhijrah daripada tak bekerja, kini Amirul dah dapat kerjalah, mak," Amirul bersuara girang.
"Alhamdulillah. Syukur Mirul. Kerja apa kau dapat, Mirul?" tanya Mak Milah.
"Kerja tanggung mak," gelak Amirul.
"Main-main pulak dia," getus Mak Milah.
"Ia. Amirul nak balas jasa mak selama ni. Amirul nak tanggung mak. Duit kelapa sawit tu, separuh mak simpan dalam Tabung Haji, nanti bila dah cukup boleh kita pergi umrah dan mengerjakan haji sama-sama. Upah haji arwah abah jangan mak lupa pulak," kata Amirul.
"Sejuk perut mak dengar kau bercakap. Yalah, cakap-cakap jugak tapi kerja apa yang kau dapat, ni?" tanya Mak Milah.
"Tadi kawan saya telefon, nama saya tersenarai jadi Pegawai Tabung Haji kat Kuala Lumpur, mak," kata Amirul.
"Syukur, alhamdulillah. Amirul, Amirul. Tercapai jugak hajat arwah abah nak lihat kau jadi 'orang'. Lepas ni cakap bersopan-santun, jangan main hempas-hempas pintu. Nanti tercabut pintu pejabat. Pegawai apa orang kata nanti, alaaa .... pegawai yang suka hempas-hempas pintu," nasihat Mak Milah.
"Ya, mak. Amirul akan ubah perangai dan jadi anak yang baik, tak suka merajuk lagi, akan jadi pekerja yang baik dan ...... tak hempas pintu lagi," janji Amirul.
'Syukur. 1432 Hijrah besar ertinya kali ini,' desis hati Mak Milah. 




1 comment:

  1. Jangan jadi anak dan menantu seperti dalam drama Maal Hijrah TV3 malam tadi.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...