Friday, December 31, 2010

SIMPULAN BAHASA (4)

Komuniti masyarakat zaman dahulu bijak dalam mencipta simpulan bahasa. Melihat sesuatu objek dan perlakuan digabungkan menjadi simpulan bahasa. Ini adalah di antara simpulan bahasa yang ada kaitan dengan pancaindera dan perlakuan manusia.

Adu lengan : Lawan siapa lebih kuat.
Adu mata : Berpandang-pandangan.
Air basuh tangan : Dilayan sesuka hati.
Alat bicara : Perkara-perkara yang perlu diketahui sebelum berunding.
Alih langkah : Tukar bidang.
Ambil langkah : Memulakan tindakan.
Anak tekak : Anak tunggal, glotis.
Anak telinga : Anak yang tinggal jauh dan hanya didengar beritanya saja, 
                      bahagian kecil di depan daun telinga.
Angkat kaki : Meninggalkan majlis atau sesuatu tempat dengan tergesa-gesa.

Balik mata : Merancang kerja jahat.
Bantal lengan : Tidur di mana-mana saja.
Bawa singgah : Membawa tamu ke rumah.
Berbalik muka : Menukar fikiran.
Berbuih mulut : Banyak bercakap.
Bergetah bibir : Pandai berkata-kata.
Beri telinga : Mendengar.
Berinai curi : Adat menepek inai disaksikan oleh keluarga sahaja.

Cempala mulut : Kata-kata yang tajam.
Colok mata : Benci melihatnya.
Dakap bantal : Kecewa.
Dayung peminggang : Dayung di bahagian tengah perahu.
Galang kepala : Taat setia.
Harta bergerak : Harta benda yang dapat dipindahkan.
Hujan lari : Hujan sekejap.
Ikut angin : Ikut pendapat orang lain.
Junjung kasih : Menghormati raja.

Kacak lengan : Hendak berkelahi.
Kaki pendek : Tidak dapat pergi jauh.
Kaki tiung : Padi hampir masak.
Kejar bayang-bayang : Berusaha mendapatkan apa yang tidak ada.
Kepala raja: Setem
Kepala ribut: Punca pergaduhan.
Keras rahang: Degil.
Kesat kaki: Layanan buruk kepada isteri.
Kulit adam: Kulit baru dipangkal kuku.
Kutuk diri: Mampu hidup mewah tetapi memilih hidup yang susah.

Landas kata: Bukti yang menguatkan hujah.
Langkah kaki: Perempuan menduakan suami.
Langu tekak: Tidak sedap makan.
Lapar mata: Ingin memiliki apa yang dipandang.
Layang mata: Melihat sepintas.
Lincir mulut: Pandai memperdaya.

Mabuk tahi telinga: Bingung oleh kerana mendengar bermacam-macam kata orang
Main siku: Berlaku curang, menipu dan mencuri.
Makan habuk: Habis wang.
Mandi cinta: Sangat dikasihi.
Mata duli: Buku lali.
Mati salai: Mati lemas.
Meramas perut: Kecewa dan kesal.                                          
Naik hati: Sombong.
Nasi di lutut: Nasib baik.
Otak telur: Bodoh.

Panjang usus: Sabar.
Pecah hati: Jadi takut; putus asa.
Rapuh mulut: Banyak bercakap dan mudah menyakitkan hati orang.
Resam tubuh: Bentuk badan.
Retak tangan: Suratan.

Rurut hati: Merajuk.
Sakit diri: Bertungkus-lumus.
Salah rasa: Malu.

Samar muka: Awal pagi ataupun lewat senja

Wednesday, December 29, 2010

BOLA (2)

Dato' Hj. Hasbollah Awang mengulas perlawanan bola sepak AFF Suzuki Cup dari
Stadium Utama Gelora Bung Karno, Indonesia pada 29 Disember 2010.
Kosa kata yang dikenal pasti diguna pakai
oleh beliau iaitu:

mengelecek, mengacah
menanduk, mengasak
menendang, menyepak
mencuri bola, mencari bola 
hantaran cantik, hantaran panjang
hantaran bahaya
lontaran ke dalam, membuat serangan
berjaya dikeluarkan dari kotak penalti
berjaya mengawal dan hantar ke tengah
mengalami sedikit kecederaan
ditumbuk keluar oleh penjaga gol
kembali menguasai permainan.
 dan
MeNaNtI WiSeL PeNaMaTTT
(setelah 14 TAHUN menanti peluang)
akhirnya
Pritttt.....!!!
Ya, MALAYSIA MENANG..... agregat 4 - 2
Walaupun TEWAS..... 2 - 1

Suatu Tinta Emas Dicatat
oleh Skuad Kebangsaan yang dibarisi oleh pemain muda dan ANAK TEMPATAN
  TANPA kelibat pemain IMPORT.

Suatu perjalanan yang panjang.....

                                                                     

Sunday, December 26, 2010

Menjelang Lembaran Baharu

Sibuk sungguh corong halwa telinga
mengumpil bibir pendengar meningkah suara
dengan satu lontaran pertanyaan. Apakah
impian harapan azam saudara
Tahun Baharu nanti?

Saban tahun itulah persoalan
yang acapkali ditanya. Pelbagai
reaksi seusai soalan dilontar.

Menderu deringan telefon
dan bagai tak menang tangan
juruhebah mengangkat gagang
menjawab dengar.

'Bekerja lebih tekun
Datang awal kerja
Sambung belajar
Buat PhD
Beli kereta BMW
Kahwin lagi satu
dan pelbagai lagi azam yang
tak dapat kuperturun satu-persatu'.

Mindaku terusik dengan 
lontaran kata:
'Tetapkan keimanan
Berada di landasan yang betul
Membuat amal jariah
Perbanyak bersedekah
Mengerjakan umrah 
Mendapat haji mabrur.'

Hatiku berdoa moga
harapan kalian menuju ke puncakjaya.


Saturday, December 25, 2010

MINAT

Kalau dah minat berjalan,
Banyak lihat panorama luas pemandangan.

Kalau dah minat membaca,
Banyak membeli buku RM tak berkira.

Kalau dah minat menonton,
Celik saja mata dah mengadap kartun.

Kalau dah minat memancing,
Pantang diajak kawan yang kamcing.

Kalau dah minat membeli emas,
Penuh berselirat barangan kemas.

Kalau dah minat menulis,
Pelbagai bahan dapat dirakam tulis.

Kalau dah minat bergambar,
Pelbagai imbauan kenangan dapat dipapar.

Kalau dah minat berkebun,
Pelbagai makanan bakal dihasil timbun.

Kalau dah minat memasak,
Pelbagai menu masakan disaji enak.

Kalau dah minat blog dilayari,
Pelbagai sajian maklumat boleh didapati.



Tuesday, December 21, 2010

TAHUN BAHARU

Tahun baharu akan tersembul wajahnya
menjelang detik 12 tengah malam
31 Disember yang bakal kunjungjelma.

Lidah anak-anakku petah menyebut lancar
Tahun Masihi ... Januari, Februari, Mac ...
Kalam anak-anakku gagal mencoret pantas
Tahun Hijr ... Muharram, Safar, Rabiul Awal ...

Hanya pabila cuti sekolah 
dinyata guru
ini cuti sempena
Maulid Nabi dan 1 Muharram.Oh, barulah
anak-anakku mengertifaham!

Aku sedari anak-anakku
paling menghayati
ini cuti. Ya menjelang puasa, ini Ramadan
Hari Raya Puasa, ini Syawal dan
Hari Raya Haji, ini Zulhijjah. 

Usiaku yang menginjak kelompok senja 
masih terbabas mengingat
kunjungan  hormat
Hari Kebesaran Islami. Ya menjongolnya 
Israk Mikraj, Nuzul Al-Quran dan
awal Zulhijjah.Adakala aku alpa
memanjat doa
akhir Zulhijjah dan awal Muharram.

Ah, aku melupai-Mu Ya Rabbi!
aku sedar Kau tak pernah melupaiku
biar sedetik cuma.

Terima kasihku bertalu-talu
memberi izin
menghirup udara
menatap panorama
alam ciptaan-Mu
PERCUMA saja.






Monday, December 20, 2010

Tetamu

Disember menjadi bulan pilihan,
Edaran surat, SMS dan lisan buat  jemputan.

Rumah dikemas berhari-hari,
Menyambut tetamu hadir kemari.

Kerusi meja pinggan mangkuk,
Diatur susun kelihatan elok.

 Dalam penantian detik berlalu,
Ibarat seharian masa menunggu.

Beberapa kerat saja yang mampir,
Senjakala berlabuh semakinlah hampir.

Berlegar-legar ke hilir ke hulu, 
Kaki lenguh naik kematu. 

Melihat makanan di atas penanggah,
Masih banyak rasa lemas tak sudah.

Sekonyong zahir seorang hamba,
Meletakkan motosikal penuh susila.

Ini dikata yang diundang tak muncul,
Yang lain pula mendatang timbul.

Semua mata tertumpu lirik padanya,
Di dalam hati tertanya-tanya.

Kecil tapak tangan nyiru ditadah,
Mengizinkan nikmati apa jua juadah.

Tidak membazir rezeki yang ada,
Hidangan yang ada biarlah dirasa.

Sudah termazkur hajat di hati,
Ingin mengadakan majlis kenduri.
  
Lain masa usah teman mintai,
Pelbagai hidangan untuk diadai.

Kiranya ingin juga diadai,
Kehadiran teman perlu diminta pasti.

Inilah dikata rencana yang dirancangkan,
Allah jua yang menentukan.
                                     

Sunday, December 19, 2010

BOLA

Inilah hikayat tentang bola,
Disepak tendang sini sana,
Hanya sebiji direbut bersama,
Menjadi permainan kegilaan semua.



Pemain berbakat segera dicari,
Di peringkat sekolah, zon, daerah, negeri,
Bagi mewakili negara dicintai,
Majlis Sukan Negara yang menerajui.



Pagi petang ditagih kudrat,
Ibarat latihan angkat berat,
Setiap latihan ada pemberat,
Penguat stamina itu matlamat.



Pelbagai skill mahupun strategi,
Jurulatih K.Rajagobal tekun memberi,
Mengajar berdisiplin dan berdedikasi,
Skuad kebangsaan yang dicoraki.



15 Disember menjadi saksi,
Dua jaringan Mohd Safee Mohd Sali,
Separuh akhir Piala Suzuki,
Membenam Vietnam di gelanggang sendiri.



Nombor 10 adalah jersi,
Disarung Mohd Safee tika beraksi,
Teringat nostalgia Mokhtar Dahari,
Penyerang handalan era 70-an digeruni.



Soh Chin Aun, Serbegeth Singh, Khalid Ali,
A.Arumugam, James Wong, Hassan Sani,
serta masih banyak pemain lagi,
pihak lawan begitu amat segani.



Pabila menang pasti disanjungi,
Pabila kalah akan dinistai,
Sedia menanggung beban digalasi,
Untuk menjadi skuad sensasi.



Selamat mengibar Jalur Gemilang,
Menentang Indonesia di medan juang,
Peringkat akhir yang mendatang,
Piala Suzuki AFF bakal dijulang.

Wednesday, December 15, 2010

Teman Sepermainan

Teman sepermainan
yang selalu ejekbuli
tika aku di bangku sekolah
dek tidak mengenal aksara
baca, tulis dan kira
aku akur kekurangan yang ada.

Kuping telingaku pedih bernanah
menanggung umpatkeji dan sindirpedih
namun
aku juga punya naluri
aku juga punya imaginasi
aku juga punya visi
aku juga punya misi
aku juga punya harga diri
dalam litupan kabus yang tidak kupasti.

Teman sepermainan
yang sedapat mungkin kulupa
rautwajah kalian satu-persatu
kini bertelut di depan mataku
mengunjuk mobil mewah
pinta dirawat
batuk, kahak, lendir selesema yang ada
agar bisa bernyawa
di jalanraya.

Teman sepermainan
aku dulu yang kauhina
aku dulu yang kaucerca
kini 
aku pula yang kaupuja.

Tuhan pemberi anugerah
otakku yang bebal
otakku yang dungu
otakku yang kematu
bisa dibantu dengan kemahiran
yang kufokus SATU.

Aku tidak sekejam kalian
aku tidak membenci kalian
aku tidak membuang kalian
malah
aku mendepang kedua tangan
menyambut mesra salam kunjungan
ke premis
bedahsiasat mobil yang kuusahakan.





Tuesday, December 14, 2010

Kahwin Dulu, Kahwin Sekarang

Zaman dulu-dulu,
Pasangan hidup ibu bapa yang tentu.

Zaman dulu-dulu,
Pabila berjumpa malu-malu.

Zaman dulu-dulu,
Jumpa pasangan ada escort tau.

Zaman dulu-dulu,
Tidak bercinta secara melulu.

Zaman dulu-dulu,
Setelah berkahwin cinta meluru.

Zaman dulu-dulu,
Hantaran kahwin murah saja tau.

Zaman dulu-dulu,
Kasih sayang ke anak cucu.

Zaman sekarang,
BerSMS berkajang-kajang.

Zaman sekarang,
Ayat-ayat cinta bijak dikarang.

Zaman sekarang,
Hantaran kahwin bukan sembarang.

Zaman sekarang,
Majlis kahwin  five bintang.

Zaman sekarang,
Mudah sangat nak berperang.

Zaman sekarang,
Kahwin sekejap balik membujang.

Zaman sekarang,
Dah beranak masih tertunggak hutang.




Pantun Nasihat

 Imej dari Google
 
Anggun cantik tudung saji,
Cepatlah adik pergi mengaji.

Serangga cengkerik di balik majalah,
Segeralah adik pergi sekolah.

Melangit tinggi pohon kelapa,
Perlu hormati kedua ibu bapa.
                              
Ikan siakap memakan halipan,
Biar bercakap penuh bersopan.

                  Bunga matahari bunga dedap,                 
Usah sekali bersikap biadap.

Buah duku mudah ketemu,
Membaca buku usahlah jemu.

Buah delima buah kelapa,
Menghargai masa jangan dilupa.

Buah berangan di balik pelepah,
Usah sembarangan membuang sampah.
 
Itik mengejar ayam berkokok,
Usah belajar menghisap rokok.

Monday, December 13, 2010

SiLaP

Kalau silap pengiraan,
Banyak rugi dari untunglah, kawan.

Kalau silap perhitungan,
Tidak mengena pada sasaran.

Kalau silap pembacaan,
Boleh menjadi sesat jalan.

Kalau silap pembelian,
Belum tentu boleh dibuat penukaran.

Kalau silap berkawan,
Boleh sesat sepanjang zaman.

Kalau silap sebutan,
Bakal diejek oleh rakan.

Kalau silap ejaan,
Perlu rujuk kamus peneman.

Kalau silap jalan,
Bertanya orang jangan segan.

Kalau silap makan,
Sakit perut mengulangi jamban.

Kalau silap pilihan,
Merasa sebal tak kesudahan.

Kalau silap tontonan,
Minda mudah dipengaruh halimunan.

Kalau silap imbangan,
Jatuh bedebab sakit tak keruan.

Kalau silap pemanduan,
Boleh kemalangan di tengah jalan.

                                        
Berapa punya banyak SiiLappp daaaa... 

                                                                                                                                                  

Sunday, December 12, 2010

Simpulan Bahasa (3)


Pelbagai warna dikaitkan dengan simpulan bahasa
oleh generasi terdahulu. Berikut dipaparkan simpulan
bahasa yang berkaitan dengan warna.

Biru kundang : Ungu
Biru laut : Biru seperti warna laut.
Biru langit : Biru seperti warna langit.
Biru lebam : Biru gelap
Biru muda : Biru yang agak keputih-putihan.
Biru nila : Biru yang kehitam-hitaman.

Hijau bemban : Hijau yang pekat atau gelap seperti 
                           warna daun untuk campuran.
Hijau daun : Hijau seperti daun.
Hijau kepala itik : Hijau kebiru-biruan.
Hijau laut : Hijau seperti air laut.
Hijau pucuk pisang : Hijau yang keputih-putihan.
Hijau serindit : Hijau yang lebih muda daripada hijau 
                          pucuk pisang.

Kelabu asap : Kelabu keputih-putihan.
Kelabu mata : Terpedaya.

Kuning air : Kuning keputih-putihan.
Kuning langsat : Putih kuning (tidak putih sangat) 
Kuning gading : Kuning keputih-putihan.
Kuning pinang masak : Kuning kemerah-merahan.
Kuning telur : Isi telur yang kuning warnanya.
Kuning tua : Kuning gelap.
Demam kuning : Penyakit berjangkit yang menyebabkan
                             tubuh berwarna kuning.
Nasi kuning : Nasi kunyit
Sirih kuning : Daun sirih yang kuning warnanya; gadis yang
                       elok.

Merah darah : Merah seperti darah
Merah jambu : Kesumba
Merah lembayung : Merah bercampur ungu.
Merah marak; merah menjahang : Sangat merah.
Merah menyala : Sangat marah; merah sungguh.
Merah merang : Merah sekali.
Merah muda : Merah keputih-putihan.
Merah muka : Kemalu-maluan.
Merah murup; merah padam : Sangat marah.
Merah pulasan : Merah seperti pulasan masak.
Merah telinga : Kesal; malu; marah.
Merah telur : Kuning telur; albumin.

Hitam berculik : Sangat gelap.
Hitam kumbang; hitam jengat; hitam legam; 
hitam lengit;  hitam lotong : Sangat hitam.
Hitam manis : Walaupun hitam tetapi cantik.
Hitam mata : Bahagian mata yang hitam.
Hitam melangut; hitam pekat : Sangat hitam.
Hitam muka : Muram; marah.
Hitam putih : Bertulis; rasmi.
Hitam usam : Hitam yang tidak berseri (kotor).
Putih bersih : Putih lagi bersih; putih sekali.
Hati putih : Lurus hati; jujur; baik hati.
Putih kuning : Kuning langsat; kekasih.
Putih langsat : Putih kuning.
Putih lesi : Putih pucat
Putih melepak : Putih sekali.
Putih telur : Bahagian daripada isi telur yang putih 
                     warnanya; albumin.
Putih tulang : Sampai mati.
Putih umbut : Putih dan lembut.

          


Saturday, December 11, 2010

Sampah

Di kejauhan itu
aku menyorot sayu
lelaki tua dan anaknya
dengan seguni harapan
mencari dan mengurai
longgokan sampah
jiran tetanggaku
yang bakal
memberi sebuntil sinar
buat pengubat rindu dendam
sepiring nasi bergolekan 
ikan masin bulu ayam cuma.


Di kejauhan itu         
aku menyorot lirik
bait-bait lagu hiba
lelaki tua dan anaknya
syahdu memandang
gunian sampah bagai ditatang
ditukar ganti RM3.00 cuma.


Di kejauhan itu
aku menyorot seloka
dendangan peraih
yang mengaut segunung laba
dari sebukit sampah cuma.

Thursday, December 9, 2010

KONTRADIK

Amir      : Wah, cantiknya! 
Badrul   : Yalah cantik warnanya. Tengok tu ada 
                 macam-macam warna.
(Pekedai menghampiri Amir dan Badrul lalu menyapa 
mereka)
Pekedai : Ya abang, boleh lihat-lihat. Tak apa, lihat tak 
                 kena bayar.
Amir      : Saya tengok-tengok dulu, tauke.
Pekedai : Ok, nanti panggil saya kalau sudah ada yang 
                 berkenan.
Amir      : Baiklah tauke.
(Pekedai berlalu menuju ke arah pelanggan yang lain)
Badrul   : Fasih cakap Melayu tauke tu, kan Amir. 
                 Eh, tengok tu, bila dia kembang nampak
                 warna-warnilah!  Cantiklah. Ada warna 
                 biru, merah, hijau dan macam pelangi pun 
                 ada.
Amir      : Ni mesti betina. Sebab tu cantik.
(Pekedai menghampiri Amir dan Badrul)
Pekedai : Ini jantan. Bukannya betina. Itu betina 
                dalam sebuah lagi akuarium.
Badrul   : Ha, ini ikan jantan! Bukannya ikan betina. 
Pekedai : Ya, ikan guppy jantan lebih cantik daripada
                 ikan guppy betina. Ikan guppy betina tak ada 
                 warna-warni, biasa  saja warnanya.
Amir     : Eh, terbalik pulak! Selalunya yang betina lebih 
                cantik daripada yang jantan. Ikan guppy pula
                yang jantan lebih cantik daripada yang betina.
Pekedai : Harga sama. Tujuh ekor, RM5.00. Abang 
                pilihlah mana-mana suka.
Amir     : Bagi saya tangguk dan baldi. Saya mahu pilih 
                yang ekornya cantik dan kembang.  Itu
                jantankan?
Pekedai : Ya, itu jantan!
(Setelah memilih beberapa ekor ikan guppy jantan dan 
ikan guppy betina, Amir membayar harganya di kaunter. Mereka beredar dari kedai tersebut dan mengucapkan
terima kasih kepada pekedai tersebut)
Badrul  : Kau tengok Amir. Ikan guppy jantan begitu
                cantik. Baru aku tahu lepas tauke  tu beritahu.
Amir    : Aku pun sama. Jadi jangan ingat kita ni dah 
               pandai. Banyak benda lagi kita kena belajar. 
               Kena ringan mulut bertanya dengan orang.
Badrul : Memanglah tanya dengan orang. Takkan kau 
                nak tanya dengan ikan pulak?
Amir    : Aku sumbat juga mulut celupar kau dengan 
               ikan guppy ni macam Mr.Bean makan anak 
               ikan hidup-hidup.  
Badrul : Sorrylah kawan. Gurau pun tak boleh. Eh, 
               Amir cuba kau tengok tu lima orang yang 
               berdiri kat depan kedai cermin mata tu!
Amir    : Ya, kenapa Badrul? Adik kau ke?
Badrul : Hish, ada ke gitu gaya adik aku.
Amir    : Dressing maut. Dengan gincu merah menyala 
               dan jalan lenggang-lenggok. MasyaAllah, 
               mengalahkan pompuan.
Badrul : Inilah kumpulan ikan guppy jantan. Tapi ikan
               guppy  jantan memikat ikan betina.  Yang ni 
               kontradik  dengan kita dan juga ikan guppy
               sebab mereka memikat orang lelaki. Mereka
               tak pikat orang pompuan. Macam kisah umat
               zaman Nabi Lut.

                     
         

Wednesday, December 8, 2010

Sifat Tercela

Usah sesekali tinggalkan solat,
Raut wajah tampak kelat.

Usah sesekali malas timba ilmu,
Banyak maklumat boleh ketemu.

Usah sesekali berkata bohong,
Kesalahan diri mudah diteropong.

Usah sesekali bersikap dengki,
Kawan menyingkir habis lari.

Usah sesekali mencari gaduh,
Kalau ditumbuk sakit mengaduh.

Usah sesekali lewat ke pejabat,
Nanti majikan akan perhambat.

Usah sesekali berlaku curang,
Itu gambaran menconteng arang.

Usah sesekali mencuri masa,
Ingat pahala ingat dosa.

Usah sesekali mengata mengumpat,
Balasan neraka itulah tempat.

Usah sesekali menerima rasuah,
Mendarah daging seperti berkuah.

Usah sesekali berlaku khianat,
Segera bertaubat sebelum tenat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...