Aneurysm merupakan sejenis penyakit yang berkaitan dengan pendarahan di bahagian otak.
Adik Mohd Hilmi yang dimasukkan ke Hospital Kajang pada 5 Januari 2012 kerana tiba-tiba pengsan dikesan ada pendarahan di otak.
Kemudian ahli keluarga berpakat menghantar ke KPJ Damansara kerana ada doktor pakar dalam bidang tersebut di sana.
Sesampai di sana, pembedahan pada bahagian kepala dilakukan dan dikesan memang ada pendarahan pada bahagian otak. Setelah beberapa hari, lalui sekali lagi pembedahan pada bahagian kerongkong untuk memudahkan proses membuang kahak dan bernafas. Seterusnya jalani lagi pembedahan untuk memasukkan saluran dari bahagian otak ke saluran pundi kencing bagi memudahkan proses pembuangan air kecil.
Ini bermakna 3 kali pembedahan yang terpaksa ditempuhi oleh Adik Mohd Hilmi. Hampir sebulan terlantar di KPJ Damansara. Setiap hari, wadnya dikunjungi sanak-saudara dan sahabat-handai. Doa dipanjatkan kepada-Nya agar Adik Mohd Hilmi segera sembuh dari penyakit yang dihidapinya.
Pada 4 Februari 2012, Adik Mohd Hilmi dibenarkan pulang ke rumah. Syukur alhamdulillah. Difahamkan, kos rawatan selama berada di wad mencecah RM111, 000.00. Kos rawatan ini ditanggung oleh majikannya dengan adanya peruntukan medical card. Alhamdulillah kerana membiayai kos rawatan.
Setelah keluar dari hospital, perlu menjalani fisioterapi untuk menggerakkan anggota badan terutama tangan kiri dan kaki kiri akibat komplikasi strok. Selain itu, badan juga tidak mampu diangkat sendiri dan memerlukan sokongan daripada ahli keluarga untuk bangun, duduk ataupun berbaring. Setiap kali melakukan aktiviti fisioterapi, kosnya RM60.00 dan perlu ditanggung oleh keluarga. Seminggu 3 kali fisioterapi yang perlu dilakukan.
Selain fisioterapi, rawatan lain yang diusahakan iaitu akupuntur, urutan tradisional serta menikmati panorama alam bersama-sama ahli keluarga.
Menampakkan kemajuan dari semasa ke semasa. Percakapan semakin lancar biarpun tidak menjawab persoalan yang ditanya oleh si penyoal. Ada sedikit gangguan pada memori kerana bahagian otak telah 'terusik'. Telah boleh mengangkat jari jemari tangan kiri seperti memegang sudu, buku dan lain-lain objek. Pergerakan kaki kiri masih belum begitu ampuh dan perlu dibantu dengan tolakan kaki orang lain untuk menggerakkannya.
Iringan doa ahli keluarga, sahabat-handai, jiran tetangga dan para pembaca blog ini agar Adik Mohd Hilmi dapat berjalan, menguruskan diri sendiri untuk melakukan aktiviti seharian sebagaimana sebelum ini.
No comments:
Post a Comment