Monday, December 12, 2016

Selawat Buat Kekasih


Mengenang 12 Rabiulawal Tahun Gajah
Lahirmu disambut penuh bermadah.

Hidupmu suci penuh pengasih
Selayaknya dirimu menjadi kekasih.

Berakhlak luhur pekerti mulia 
Buat ikutan insan di dunia. 

Berliku perjuangan baginda yang dikasihi
Diriwayat oleh para sahabat yang mengasihi.

Masjid Nabawi mengimbau kenangan
Menggamit kunjungan jutaan kehadiran insan.

Meninggalkan Masjid Nabawi penuh pilu
Sedih berbaur sendu penuh rindu. 

Hatiku penuh kerinduan padamu
Namamu kuseru setiap waktu.


Basah lidah mulut menyebut
Dalam kalbu hati bersambut.

Selawat dan salam bertalu-talu 
Buat junjungan hamba pesuruh-Mu.

Allahum solli ala Sayidina Muhammad
Wa ala alihi Sayidina Muhammad.











Sunday, December 11, 2016

Berzakat

Usia 22 telah mula berkhidmat
Menabur bakti tanpa khianat.

Pelbagai tempat kaki dijejak
Ilmu dicurah perbuat baik diajak.


Ramainya anak murid merata
Di bumi Allah hidup melata.


Dulu ditegur suara beralun
Murid nakal habis dipulun.


Murid yang nakal, minta ampun
Berdesinglah telingamu, kecuali penampar Jepun.


Bakti ditabur siang malam
Ada yang menjadi penjawat awam.

Dahulu melayan karenah ragam
Ada yang menjadi  doktor, arkitek, peguam. 

Menyemak kerja bersengkang mata 
Ada yang bergelumang di sektor swasta.


Bertemu berjumpa malu segan 
Ada yang bergelar ahli perniagaan.


Semoga hidup kalian aman tenteram
Rezeki diperoleh usah diperam.


Berbahagi harta asnaf delapan
Hidup kalian akan maju ke hadapan.










Tuesday, October 1, 2013

Rahsia Masakan Sedap dan Lazat

Humaira    :  Sedap betul masakan Mak Ngah.
Mak Ngah  : Terima kasih. Ha, tu lauk gulai ikan patin!
                   Ambil dan tambah. Makan biar banyak
                   kuahnya. Barulah sedap dan ada berasa bila
                   makan.
Maisarah   :  Yalah Mak Ngah. Gulai ikan patin ni sedap.
                   Sayur kacang buncis tu pun sedap. Semua
                   sedap. Tu sedap, ni sedap. Semuanya sedap.
Mak Ngah :  Apa yang semua sedap?
Humaira   :  Contoh lainnya, Mak Ngah masak mee kari.
                  Fuuhh, sedappp!
Maisarah  :  Hingga menghirup kuahnya. Sampai licin
                  kami bedal.
Mak Ngah :  Ah, ada-ada aje kamu!
Faris        :  Iya, Mak Ngah! Tak bohong punya. Hari
                  semalam, Mak Ngah hidang mee goreng 
                  basah, habis licin.
                  Semua tetamu yang datang rumah
                  Mak Ngah kata masakan Mak Ngah sedap.
Rashidah  :  Masa Mak Ngah buat rumah terbuka untuk
                  kawan Pak Ngah hari tu, haaa....... tinggal
                  sisa aje dalam pinggan.Saya lihat bahan-
                  bahan yang orang lain masak dengan bahan 
                  yang Mak Ngah masak, hemm.... sama aje.
                  Tapi masakan Mak Ngah memang ada 
                  umpphlah. Ada serupa macam masakan
                  chef..
Maisarah   : Apa rahsia masakan Mak Ngah? Ini mesti ada
                  Mak Ngah 'memakai' ni....
Mak Ngah : Hissh, pakai apa? Mak Ngah pakai baju,
                  pakai kain. 
                  Ha, ni cuba kamu lihat! Baju Mak Ngah ada
                  corak berbunga-bunga. Bunga kebangsaan
                  lagi.
Faris         : Orang bukan nak dengar cerita pasal pakai
                  bajulahhh.
                  Cuba Mak Ngah ceritakan, apa rahsia yang
                  menjadikan masakan Mak Ngah ni sedappp?
                  Lepas makan tersenyum memanjang. 
                  Nampak gigi dengan gusi.
Mak Ngah  : Oh, begitu rupanya yang kamu empat
                  beradik
                  datang kerumun Mak Ngah di dapur!
                  Nak korek rahsialah ni. Beginilah....
                  diringkaskan cerita, Mak  Ngah diajar
                  oleh emak Mak Ngah. Pesannya, 
                  setiap kali basuh beras, berselawatlah
                  ke atas Nabi.
                  Niatkan dalam hati, ikhlas untuk memasak.
                  Setiap kali memasak, niatkan juga dalam
                  hati memasak ni bukanlah sebab terpaksa
                  tetapi ........
                  niatkan nak beri makan kepada suami,
                  beri makan kepada anak-anak
                  atau anak saudara ataupun kepada
                  tetamu.
Rashidah  :  Besar sungguh fadhilat berselawat
                  ke atas Nabi yang kita kasihi,
                  ya ... Mak Ngah.
Mak Ngah : Kita umatnya, perlu kasih pada baginda.
                  Allahhumma' solli ala Sayidina Muhammad
                  wa ala a'lihi Sayidina Muhammad.
                  Amalkan selalu wahai anak buah yang
                  Mak Ngah sayang.
Faris        :  InsyaAllah Mak Ngah.
Maisarah  :  Terima kasih ilmu yang Mak Ngah
                  perturunkan.
Humaira   :  Saya pun, terima kasih ya, Mak Ngah.
Rashidah  :  Kami semua sayang Mak Ngah. Terima kasih
                  Mak Ngah. 
Mak Ngah :  Perbanyakkan selawat ke atas
                  Nabi Muhammad. Mudah-mudahan, kita
                  akan mendapat syafaat
                  daripada baginda ketika
                  di Yaumil Mahsyar.

Youtube dari Google
 
 


Thursday, August 22, 2013

SMS Ucapan Hariraya 2013

Tahun 2013, beberapa ucapan Selamat Hariraya yang menyusup dan menyelinap masuk melalui SMS dan Whatsapp penulis daripada rakan taulan. Antaranya:

1.    Salam Eid Mubarak.
       Salam kemaafan saya pohonkan, andai ada tersilap
       kata dan tingkah laku.
       Semoga Ramadan Kareem yang berlalu akan
       menjadikan kita insan yang bertaqwa.
       Selamat Hariraya. Maaf Zahir dan Batin.

2.    Taqabbalallahu minna wa minkum (Semoga Allah
       menerima amalan kami dan amalan kalian).
       Salam lebaran.Semoga hadirnya membawa sinar
       kebahagiaan. Di kesempatan ini, mohon 
       sejambak kemaafan atas segala kesalahan,
       keterlanjuran dan kekurangan diri dari segi tutur
       kata, ungkapan rasa, tindak dan sikap - baik yang
       disedari atau tidak- zahir dan batin.
       Semoga ukhuwwah terjalin murni dan harmoni.
       Salam Aidil Fitri.

3.    Semoga Allah S.W.T menerima ibadah kita
       di sepanjang bulan Ramadan Al-Mubarak. Amin..
       Selamat hariraya Aidil Fitri. Maaf zahir dan batin

4.    Selamat hariraya dan semoga kita diberkati
       hendaknya di dunia dan akhirat dan maju dalam
       apa jua usaha. Maaf zahir dan batin.

5.    Mata kadang salah melihat. Mulut kadang salah
       berucap.
       Hati kadang salah menduga. maafkan segala
       kekhilafan.
       Minnal aidzil wal faidzin. Taqabbalallahu minna wa
       minkum.
       Selamat Hari Idul Fitri 1434 H.

6.    Salam Idul Fitri.
       Selamat tinggal Ramadan 1434 H.
       Moga amal dan ibadah kita diterima Allah S.W.T.
      Ya Allah, pertemukanlah kami dengan Ramadan-
      ramadan yang akan datang.
      Amin.

7.   Dalam kerendahan hati, ada ketinggian budi.
      Dalam kelembutan lidah, ada keterlanjuran kata.
      Salam Aidil Fitri. Maaf zahir dan batin.

8.   Dalam bermesra mungkin terkasar bahasa,
      Dalam bergurau mungkin terlanjur senda,
      Dalam berjanji mungkin ada yang belum dikota,
      Dalam berbicara mungkin ada yang menyinggung
      rasa.
      Jika ada kemaafan, itulah yang dipinta.

      Ramadan bakal beransur pergi,
      Syawal menjelma di Aidil Fitri;
      Seikhlas hati menyusun jari,
      Memohon dimaaf kekhilafan diri.

9.   Selamat hariraya. Eid Mubarak.
      May our ibadah be blessed and accepted.

10. Sebening air wuduk, sesuci al-Quran,
      Semerdu alunan zikir, seindah solat 5 waktu,
      setenang hati yang tiada rasa benci dan dendam.
     
      Jika muka tidak sempat bertatap,
      Jika suaraku tidak didengar,
      Bukalah pintu kemaafan untukku di bulan yang
      mulia.
      Selamat hariraya Aidil Fitri. Maaf zahir dan batin.

11. Syawal akan tiba sebentar lagi. Ajaklah SABAR untuk
      menemani hari-hari dukanya.
      Peluklah ISTIQAMAH saat ia kelelahan dalam
      perjalanan TAQWA.
      Bersandarlah pada TAWADUK saat kesombongan
      menyerang.
      Rujuklah nasihat pada AL-QURAN dan SUNNAH bagi
      setiap masalah yang dihadapi.

Imej dari Google

 

Monday, July 1, 2013

Sifat Mazmumah

MARAH itu mudah, tapi SABAR itu lebih indah.
 

MENGUMPAT itu seronok, nanti balasannya amat teruk.
 
MENGEJEK itu hobi, nanti bala datang bertubi-tubi.
 
MENGHINA itu senang, nanti silap hari bersepak-terajang.


MENCARUT dah jadi biasa, nanti lidah bertukar luar biasa.
 
MEMBULI dah jadi sedap, nanti bakal dapat 'penyedap'.
 
MENCERCA dah jadi amalan, nanti bakal dapat 'habuan'.
 

MENCACI adalah amalan keji, sedarlah teman
berselawat beristighfar amalan terpuji. 
 
 
 

Monday, May 27, 2013

Belajar Bahasa Indonesia (3)

Kedapatan dalam jurnal dan bahan bacaan ilmiah, kosa kata yang tampak berbeza dengan kosa kata dalam Bahasa Melayu.
Antara kosa kata tersebut dan maknanya dalam Bahasa Melayu, iaitu:

Bahasa Indonesia - Bahasa Melayu
 mau = mahu 
yaitu = iaitu
 persentase = peratus 
karena = kerana 
majoritas = majoriti
 komunitas = komuniti
 bagian = bahagian 
etnis = etnik 
beda = beza 
uraian = huraian 
prajurit = perajurit
 coba = cuba 
politis = politik
 justru = justeru 
linguistic = linguistik 
ide = idea 
antar = antara 
bahwa = bahawa
geografis = geografi 
metodologis = metodologi 
khawatir = khuatir 
peran = peranan
fase = fasa 
kantor = pejabat 
pikiran = fikiran
Imej dari Google


 
 

Saturday, April 20, 2013

PRU 13

20 April 2013 SPR tetapkan,
Pengumuman calon parti yang menjadi taruhan.
Pencadang, penyokong dan borang penama,
Menampilkan calon muka baru dan lama.
Wang deposit bertanding diperlukan,
Deposit DUN dan Parlimen tiada persamaan.

Berkibaran bendera sepanjang jalan,
Meraih hati pengundi membuat pilihan.

5 Mei 2013 tarikh pembuangan undi,
Pilihlah parti yang mendekat di hati.
Kad pengenalan diri usah dilupa,
Sentiasa bersama walau ke mana.
Hari pengundian unjukkan nanti,
Lesen besar dibenarkan mengundi.
Jari telunjuk kiri akan dicalitkan,
Tanda menghadiri undi telah disempurnakan.
Tanda pangkah amat bermakna,
Berfikir sejenak sebelum dihayun pena.
5 Mei adalah hari penentuan,
Bergelar YB Parlimen atau Dewan Undangan.
Dua pertiga kerusi amat diperlukan,
Baharulah boleh membentuk kerajaan.

Imej dari Google


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...