Wednesday, July 25, 2012

Berbuka Puasa

Waktu berbuka sememangnya ditunggu,
Membilang minit sambil termanggu.

Waktu bersahur sememangnya liat,
Bangkit bangun sambil menggeliat.

Waktu di bazaar Ramadan sememangnya menyesakkan,
Rambang mata dalam membuat pilihan.

Waktu makan sememangnya mengasyikkan,
Mulut mengunyah lauk-pauk disuakan.

Waktu solat sememangnya berat,
Kantung perut masih diisi, duduknya 'lekat'.

Waktu tarawikh sememangnya habis lewat,
Lapan rakaat sahaja sudah 'berangkat'.

Waktu hariraya sememangnya dinanti,
Saling bermaafan peri laku dimaafi. 







 



Sunday, July 22, 2012

Doa Malaikat Jibril

Sempena menyambut awal Ramadan, beberapa orang rakan taulan mengirimi penulis mesej yang berbunyi:

Doa Malaikat Jibril menjelang Ramadan, 
"Ya Allah, tolong abaikan puasa umat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadan jika dia tidak melakukan hal-hal yang berikut: Tidak memohon kemaafan terlebih dahulu daripada orang tua, suami isteri dan orang-orang di sekeliling kita."

Oleh itu, kesempatan yang ada ini saya memohon kemaafan daripada sidang pembaca blog ini jika ada coretan yang mengguris perasaan dan tidak menyenangkan hati.

Semoga 
    puasa kita diberkati 
         dan 
             hidup kita dirahmati-Nya.
Amin Ya Rabbal A'lamin.


 

Thursday, July 19, 2012

Makan dan Minum

Banyak dimakan masinan perasa,
Penyakit darah tinggi mendekat tak terasa.

Banyak dimakan kandungan bersantan,
Penyakit lebihan kolesterol mudah berdampingan.

Banyak dimakan hidangan pedas,
Penyakit ulser mendekat dengan deras.

Banyak diminum bahan bergula,
Penyakit kencing manis mudah bersua.

Banyak diminum minuman sejuk,
Penyakit badan terasa 'seram sejuk'.

Kunjungan Ramadan menjelang tiba,
Bersama hayati Rukun Islam ketiga.

Ahlan wa sahlan Ya Ramadan
1433 Hijrah.







Sunday, July 15, 2012

Seloka Bergurau Senda

Janganlah awak suka mengata,
Nanti awak pula yang dicerca.

Bukan mengata hanya sekadar bercerita,
Kerana kawan asyik bertanya.

Kurang cerita lebih mengumpat,
Nanti teman rakan tak mahu rapat.

Janganlah awak membuat serkap jarang,
Membela diri berilah peluang.

Bukan serkap sebarang serkap,
Ibarat telinga lintah amatlah cekap.

Jikalau awak tidak percaya,
Saya sedia dimakan sumpah.

Janganlah awak asyik bersumpah,
Nanti kelibat seperti sesumpah.

Kalau awak masih ragu-ragu,
Biarlah kutompang tangan menongkat dagu.

Kusaja menguji dirimu kawan,
Ingin kulihat semangat setiakawan.

Itulah yang paling baik sekali,
Seloka ini menguji ketahanan mental diri.









Monday, July 9, 2012

Floria Putrajaya

Sungguh cantik bunga-bungaan,
Dilarang petik penghias laman.

Pelbagai warna bunga-bungaan,
Mata sirna menarik tertawan.

Pesta Floria di Putrajaya,
Permaisuri Agong perasminya.

Lampu kamera kerap memancari,
Dibenarkan buat rakaman memori.

Pelbagai nama bunga-bungaan,
Perlu ketahui proses penanaman.

Bunga mekar penghias jambangan,
Jangan dilupa kegiatan pembajaan.

Bunga-bungaan cantik digubah,
Untuk jualan perlulah dihebah.

Terdapat jualan barangan kraftangan,
Dibawa pulang sebagai buah tangan.

Tanaman hiasan banyak kedapatan,
Hasil hutan menjana pendapatan.

Maha seni ciptaan-Mu Tuhan,
Ciptaan manusia tidakkan terlawan.

Tuesday, July 3, 2012

Belajar Bahasa Indonesia (2)


Ketika berada di Bandung, terpampang beberapa perkataan yang menarik perhatian 
dan perkataan-perkataan lain
 yang dituturkan oleh
masyarakat di situ 
untuk perkongsian ilmu 
dalam ruangan ini. 

Antaranya:

Gigi satu = Gunakan gear satu
Grosir = Belian secara borong
Harga gubrag = Harga runtuh
Toko = Kedai
Obral = Jualan penghabisan stok
Diskon/Diskonto = Diskaun
Capal = Kasut
Sepeda = Motosikal
Kantor = Pejabat
Ibuk = Sibuk
Kapan = Bila
Mampir = Datang
Naas = Nahas
Oase = Oasis
Obah = Ubah
Wadon = Perempuan
Yalah = Ialah 
Bebek garang = Itik pedas
Pecah telur = Pelanggan pertama membeli
                     barangan jualan pekedai/
                     penjaja pada hari itu

Akronim

RAB = Rencana Anggaran Belanja / Bajet


Friday, June 29, 2012

Berasap atau berwap?


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat:

Berasap = 1. Gas yang keluar dari gunung berapi
                 2. Asap yang keluar dari api

Berwap = Gas yang terjadi daripada air (cecair) yang 
                dipanaskan

                       

Bau sulfur atau belerang menyengat lubang hidung sepanjang berada di Gunung Tangkuban Parahu. Lokasi ini menarik ribuan pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat lagi fenomena alam (menurut ahli geologi). 

Apa yang lebih penting ialah melihat kebesaran Illahi. Melihat dengan pancaindera mata dan penilaian dibuat oleh mata hati. Biarpun telah berpuluh tahun Gunung Tangkuban Parahu meletus memuntahkan laharnya, namun hingga kini kawahnya masih berasap mengeluarkan gas yang dapat dilihat serta dihidu baunya.

Menurut penduduk yang menetap di Bandung, pokok yang hidup di pinggir kawah Gunung Tangkuban Parahu ini dinamakan 'Mahuni' (bahasa daerah). Penulis cuba mencari nama pokok ini di dalam ensaiklopedia tetapi tidak ketemu.

Ini adalah antara spesies flora yang diberi ruang oleh Illahi untuk terus hidup di kawasan yang dipenuhi sulfur atau belerang.  






 




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...