Monday, July 9, 2012

Floria Putrajaya

Sungguh cantik bunga-bungaan,
Dilarang petik penghias laman.

Pelbagai warna bunga-bungaan,
Mata sirna menarik tertawan.

Pesta Floria di Putrajaya,
Permaisuri Agong perasminya.

Lampu kamera kerap memancari,
Dibenarkan buat rakaman memori.

Pelbagai nama bunga-bungaan,
Perlu ketahui proses penanaman.

Bunga mekar penghias jambangan,
Jangan dilupa kegiatan pembajaan.

Bunga-bungaan cantik digubah,
Untuk jualan perlulah dihebah.

Terdapat jualan barangan kraftangan,
Dibawa pulang sebagai buah tangan.

Tanaman hiasan banyak kedapatan,
Hasil hutan menjana pendapatan.

Maha seni ciptaan-Mu Tuhan,
Ciptaan manusia tidakkan terlawan.

Tuesday, July 3, 2012

Belajar Bahasa Indonesia (2)


Ketika berada di Bandung, terpampang beberapa perkataan yang menarik perhatian 
dan perkataan-perkataan lain
 yang dituturkan oleh
masyarakat di situ 
untuk perkongsian ilmu 
dalam ruangan ini. 

Antaranya:

Gigi satu = Gunakan gear satu
Grosir = Belian secara borong
Harga gubrag = Harga runtuh
Toko = Kedai
Obral = Jualan penghabisan stok
Diskon/Diskonto = Diskaun
Capal = Kasut
Sepeda = Motosikal
Kantor = Pejabat
Ibuk = Sibuk
Kapan = Bila
Mampir = Datang
Naas = Nahas
Oase = Oasis
Obah = Ubah
Wadon = Perempuan
Yalah = Ialah 
Bebek garang = Itik pedas
Pecah telur = Pelanggan pertama membeli
                     barangan jualan pekedai/
                     penjaja pada hari itu

Akronim

RAB = Rencana Anggaran Belanja / Bajet


Friday, June 29, 2012

Berasap atau berwap?


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat:

Berasap = 1. Gas yang keluar dari gunung berapi
                 2. Asap yang keluar dari api

Berwap = Gas yang terjadi daripada air (cecair) yang 
                dipanaskan

                       

Bau sulfur atau belerang menyengat lubang hidung sepanjang berada di Gunung Tangkuban Parahu. Lokasi ini menarik ribuan pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat lagi fenomena alam (menurut ahli geologi). 

Apa yang lebih penting ialah melihat kebesaran Illahi. Melihat dengan pancaindera mata dan penilaian dibuat oleh mata hati. Biarpun telah berpuluh tahun Gunung Tangkuban Parahu meletus memuntahkan laharnya, namun hingga kini kawahnya masih berasap mengeluarkan gas yang dapat dilihat serta dihidu baunya.

Menurut penduduk yang menetap di Bandung, pokok yang hidup di pinggir kawah Gunung Tangkuban Parahu ini dinamakan 'Mahuni' (bahasa daerah). Penulis cuba mencari nama pokok ini di dalam ensaiklopedia tetapi tidak ketemu.

Ini adalah antara spesies flora yang diberi ruang oleh Illahi untuk terus hidup di kawasan yang dipenuhi sulfur atau belerang.  






 




Tuesday, June 19, 2012

Belajar Bahasa Indonesia

Pada 14 dan 15 Jun 2012, penulis berkesempatan mengunjungi Fakulti Bahasa dan Seni, Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Bandung.

            Gemerlapan indah kerlipan bintang,
            Bulan mengambang bertaut ikatan;
            Pelosok nusantara pemakalah datang,
            Perkongsian ilmu kami titipkan.

Ruang masa yang ada sebelum dan selepas menghadiri seminar di UPI, dimanfaatkan dengan mengunjungi Pasar Baru, Factory Outlet, Cibaduyut (menjual kasut dan beg), Tangkuban Parahu, Palasari (menjual buku baharu dan terpakai) dan beberapa tempat lain lagi.

Sepanjang perjalanan di Bandung, beberapa perkataan sempat dicatat untuk perkongsian ilmu. 
Antaranya:

Narkoba = Narkotik
Bebekan = Itik
Kebun Binatang = Zoo
Katartiban = Ketertiban
Kasalametan = Keselamatan
Stemple = Rubber stamp
Khitan = Khatan
Westaple = Bekas cuci tangan
Kloset = Mangkuk tandas
Reguk = Meneguk air
Dosen = Pensyarah
Mata kuliah = Mata pelajaran/ subjek
Sinemon = Wangi bau aroma
Menelorkan = Menghasilkan 
Pengalihan = Pengubahan
Pria = Lelaki
Pabrik = Kilang/ Pembuatan
Pabean = Pejabat kastam
Macet = Jalan jem
Maciok/macok = Bermain mahjong
Narapidana = Dipenjarakan
Obral = Penghabisan stok 
Celana = Seluar

Jenis-Jenis Makanan dan Minuman
Mie naripan = Mee bandung
Sop bontot = Sup ekor
Daging kelinci = Daging arnab
Lemper ayam = Pulut panggang
Nasi ketan = Pulut
Nasi uduk/liwat = Nasi lemak
Nasi timbel kumplit = Nasi dengan pelbagai lauk 
                                 dan dibungkus daun pisang
Ayam goreng lotek = Ayam goreng dan
                                sayur-sayuran
Cilok goreng = Tepung ubi dibuat bebola 
                       dan digoreng
Bala-bala = Kubis dan sayur-sayuran lain
                  yang digoreng
Awug = Ubi kayu yang dikukus
Rawon = Sayur dan daging lembu
Gule = Gulai
Siomay = Baso (bebola ayam/daging) 
               dengan tauhu 
Batagor = Baso dengan tauhu goreng 

Es soda susu atau Es soda gembira = Air bandung
Bajigur = Kabung + air gula merah + santan
Bandre/Banderek = Isi kelapa muda + air halia + 
                              kayu manis + rempah-ratus 
                              + air gula merah
 
 Akronim 

POLRI = Polisi Republik Indonesia
POLDA = Polisi Daerah









Sunday, June 17, 2012

Masih Berselera Atau Hilang Kewarasan?


Keliru, celaru, haru-biru
kedangkalan minda berfungsi
hanya menurut nafsu serakah
yang merajalela
berminda di mata
bertakhta di hati.

Pandangan berbalam
berbinar menyorot angka
73 menjadi 37.

Sipi-sipi nyaris-nyaris hampir-hampir dibaham
sang ibu berdarjat nenek
hanya dalam nada tangis merayu
pinta simpati
pinta dikasihani
pinta dihindari
pinta dijauhi
penerokaan yang gamaknya rakus
cubaan merobek tanah gersang nan lagi tandus.

Ya Tuhan
Maha Pendengar
rayuanrintih hamba-Mu
yang daif
yang naif
yang tak berupaya
menentang keegoan seorang pria
yang telah keracunan minda.

Tanpa kudrat tulang empat kerat
hanya tuturan dalam rayuan
menangkis jiwa kehaiwanan
yang meloyamenjijikkan
masih berselera
tanpa mengenal batasan usia.

Utusan Malaysia tanggal 10 Jun 2012
menempel titipan kisah
warga emas hampir diperkosa
mujurlah ...
tak dipengapa.
















Monday, June 4, 2012

Gurindam Peribahasa

Datuk nenek dan moyang kita kaya dengan peribahasa yang memberikan maksud tersirat di sebalik ungkapan kata yang dituturkan. 

Begitu sinis tetapi disampaikan dalam nada yang lembut. Pemilihan kata dengan imej yang menarik memperlihatkan kebijaksanaan mereka berfikir.
Penulis menjadikan peribahasa dalam bentuk gurindam untuk memudahkan pemahaman. Seterusnya, disajikan buat tatapan dan renungan para pembaca.


Bagai aur dengan tebing,
Tolong-menolong berjalan beriring.

Bagai anjing dengan kucing,
Saling bercakaran terberak kencing.

Bagai mulut tempayan,
Bercakap mengalahkan nenek kebayan.

Bagai mulut murai,
Banyak bicara diketawakan berderai.

Bagai telur di hujung tanduk,
Berdiri resah berjalan menunduk.

Bagai bulan di pagar bintang,
Semua mata memandang terbuntang.

Bagai kumbang putus tali,
Membawa diri cabut lari.

Bagai dihiris dengan sembilu,
Pedih menikam menusuk kalbu.

Bagai air titik ke batu,
Tidak berkesan nasihat, hati kematu.

Bagai bertepuk sebelah tangan,
Selamat tinggal wahai angan-angan.

Bagai menarik rambut di dalam tepung,
Semua masalah berjaya diapung.

Bagai limau masam sebelah,
Hukuman hakim berat sebelah. 

Bagai api dalam sekam,
Bahang kemarahan yang dipendam.

Bagai anjing dengan bayang-bayang,
Rezeki sedia ada terbang melayang.

Bagai burung terbang dipipis lada,
Mengharapkan datang sendiri laba.

Bagai buntal kembung,
Perlihat kebodohan bercampur sombong. 






Sunday, June 3, 2012

Gurindam Kerja Sebagai Ibadah


Lakukan kerja perlu dedikasi,
Sentiasa ceria hidup bermotivasi.

Semangat teruja maju jaya,
Membina kerjaya tuntutan agama.

Mendengar arahan siap siaga,
Tugasan dilakukan kemas sentiasa.

Kerja tidak bertangguh-tangguh,
Lakukan kerja tanpa disuruh.

Tutur bicara sopan diatur,
Hayunan langkah tertib teratur.

Lebihkan kerja kurangkan rehat,
Muka ceria senyuman memikat.

Lebihkan kerja kurangkan bersembang,
Jangan dilupa waktu sembahyang.

Senyuman menguntum manis menawan,
Mahal harganya dari emas tempawan.
Seharian di pejabat memanglah letih,
Semalaman di rumah kawallah berleter.

Wang ringgit diterima setiap bulan,
Belanja ditabur dibatasi sempadan.









Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...