Sunday, November 14, 2010

Bicara Seorang Ibu dengan Menantunya (Episod 1)

(Empat orang menantu duduk berehat di ruang tamu sambil bersembang-sembang dengan ibu mertua).

"Ha, kalau semua nak tahu inilah kisah masa mak ada 4 orang anak! Semuanya lelaki."
"Anak mana satu yang mak nak ceritakan ni?" tanya menantu Sulung.
"Ni ha, pasal Long, Ngah, Uda dengan Andak la ni!"
"Apa kisah mereka, mak?" tanya menantu keempat.
"Masa kecik-kecik dulu. Mak ingat lagi sampai mak dah tua ni."
"Mesti best ceritanya kan mak. Sampai sekarang mak ingat lagi. Ini mesti nostalgia kan... kan,.. mak," sampuk menantu nombor dua.
"Giniii, masa diaorang kecik-kecik dulu. Long dengan Ngah naik basikal. Uda ikut sekali naik jugak."
"Ha, mereka jatuh ke naik basikal tu mak?" sampuk menantu nombor tiga.
"Hish, biarlah mak cerita dulu! Orang tengah suspens ni, kau dah menyampuk cerita mak," rungut menantu Sulung.
"Yalah! Yalah! Aku tak kacau mak cerita. Ha, mak sambunglah cerita!"
"Masa tu mak tengah sibuk masak kat dapur. Tengah hari nanti abah nak balik, nak makan."
"Abah pegi mana mak?" celah menantu keempat.
"Abah pegi tengok pekerja menoreh. Abah mandur estet. Tinggallah mak dengan empat orang anak. Semuanya lelaki. Hai, pening kepala mak tengok perangai diaorang!"
"Ni, mesti nakal diaorang kan mak?" kata menantu ketiga.
"Taklah nakal sangat. Tapi mana Long, Ngah dengan Uda pegi, si Andak ni nak ikut. Masa tu Andak baru 3 tahun. Jadi tiga beradik ni tak bagilah Andak ikut sebab dia kecik lagi. Tiap kali tiga beradik ni pegi jalan, mak tak bagi Andak pegi. Apalagi, bertandaklah Andak sebab tak dapat ikut. Habis melalak satu rumah. Tapi ..."
"Tapi apa pulak mak?" potong menantu Sulung.
"Menangis, menangislah kejanya. Dalam mulutnya tetap ada puting botol susu. Konteng! Konteng! Konteng! Andak lari dengan bawak botol susu kosong kat mulutnya."
"Sampai bila Andak dengan botol konteng, kontengnya tu, mak?" celah menantu ketiga.
"Darjah satu dia tak nak dah. Tu, neneknya sapu air songel kat puting susu dia. Andak menangis sepanjang-panjang hari, agaknya geli tengok air songel warna merah. Ganti botol lain dia tak nak jugak. Nak jugak botol konteng, konteng dia tu. Dekat sehari menangis, ada Andak, tu. Agaknya perut dah lapar, makan nasik pun banyak. Lauk ikan dengan kicap pun laju dia makan. Sayur tolak tepi. Dah kenyang, lepas tu terus tak nak dah botol susu lagi."
"Isyh, saya pun geli tengok nenek pusing sana pusing sini songel kat giginya. Gigi pun dah jadi merah dan naik hitam," sampuk menantu keempat.
"Ha, memang patutlah kau kawin dengan Andak, dua-dua geli kat songel nenek," kata menantu kedua.
"Ha!Ha!Ha!Ha!Ha!"
(Semua tertawakan menantu keempat. Tersipu-sipu menantu keempat dibuatnya. Kemerah-merahan pipinya yang putih gebu menahan malu).
"Korang asyik menyampuk aje. Bila cerita mak nak habis nanti?" getus menantu Sulung.  

Friday, November 12, 2010

Seloka dan Pantun di Majlis Persaraan (10.11.2010)

Seloka dan pantun ini dititipkan buat Ustazah Zabedah bt Hassan dan Puan Rosmah bt Jamil (Sekolah Kebangsaan Semenyih) yang bersara wajib dari arena pendidikan di kala usia mencecah 58 tahun.

   


   SELOKA

Assalamualaikum kalam bermadah,
Berbicara tentang masa sudah,
Suasana hiba mendatang telah,
Memori bersama Kak Rosmah dan Ustazah Zabedah.

Angka 58 menjelang tiba,
Tidak diundur biar seketika,
Sampai seru meletak pena,
Tiga dekad begitu lama.

Cahaya liput serata alam,
Anak didik membawa salam,
Ilmu disebar dengan kalam,
Kini menjadi sejarah silam.

Kenangan bersama mengusik rindu,
Kini menjadi medan pilu,
Biarpun tiada ratap sendu,
Hati di dalam Allah jua tahu.

Hidup ibarat putaran roda,
Putaran berlegar mengikut masa,
Hari ini kanda berdua,
Lain ketika kami menyusul pula.

Maaf dipinta silap bicara,
Dalam masa gurau senda,
Hati terobek dek kaca,
Tutur bicara yang menikam sukma.

PANTUN

Terbang bebas si rama-rama,
Indah panorama menghias alam;
Di kala ini wajahmu purnama,
Esok lusa tampak berbalam.

Indah panorama menghias alam,
Tampak dari Tanjung Agas;
Esok lusa tampak berbalam,
Rinduan kami tetap berbekas.

Tampak dari Tanjung Agas,
Menggamit rindu datang ke mari;
Rinduan kami tetap berbekas,
Kenangan bersama memahat memori.

Menggamit rindu datang ke mari,
Teman sepermainan di tengah laman;
Kenangan bersama memahat memori,
Tautan kasih sepanjang zaman.
  
Teman sepermainan di tengah laman,
Pakat bersama menunggang kuda;
Tautan kasih sepanjang zaman,
Sisihkan sengketa kiranya ada.

Pakat bersama menunggang kuda,
Biarpun seketika masa cuma;
Sisihkan sengketa kiranya ada,
Bertemu berpisah perencanaan-Nya.


Sunday, November 7, 2010

Cara Menghantar Komen

Salam buat teman.
Memandangkan ada rakan yang bertanyakan cara menghantar komen, berikut diperturunkan cara menghantar komen karya saya melalui blogspot.

Langkah 1 : Klik pada "Comment".
Langkah 2 : Taip komen anda pada ruangan yang disediakan.
Langkah 3 : Klik pada "Comment as"
                   (a) Jika username dan password anda guna Google,
                         klik pada Google.
                   (b) Jika username dan password anda guna 
                        Yahoo, klik pada OpenID dan taipkan
                        yahoo.com
                   (c) Isikan ruangan username dan password anda.
Langkah 4 : Klik "Preview" untuk menyemak komen anda.
Langkah 5 : Klik "Publish Post" untuk menghantar komen anda.


Selamat mencuba dan semoga komen anda membantu saya mempertingkatkan lagi mutu karya yang dihasilkan.

BAHASA BOMBASTIK




Bicara kini bukan pendendang,                                                 
Lukisan hati lautan bendang.


Setiap hari bermeditasi,
Melalui blogspot dimanifestasi.


Di usia muda sudahlah termazkur,
Alhamdulillah bertasbih memanjat syukur.


Wajah rias nilamkandi,
Mercu tanda blogspot ini.


Khazanah bahan khizanatulkitab,
Bahan bacaan selain kitab.                                                         


Maklumat disaji bukan meninabobokkan,
Sajian maklumat buat semakan.


Bahasa diguna usah terpelengak,
Merujuk kamus usahlah teragak.


Teman rakan usah rosyom,
Bibir menguntum penuh tersenyum.


Menghasil karya penuh keuletan,
Biarpun masa dilingkungi kekalutan.



Tidak sambalewa dalam berkarya,
Elak sekelumit cacat cela seupaya.


Demikian bahasa superlatif,
Memanjat syukur pada Ya Latif.


Penuh khudu untuk mengiri,
Berlalu sinar terik mentari.


Rakaman kasih prakarsa,
Buat teman siber semua.

Saturday, November 6, 2010

HANTU! OH, HANTU!

"Mana pegi pulak dia ni? Dah sejam aku tunggu, tak muncul, muncul."
"Apa yang kau fikirkan tu, Milah?"
"Eh, kau Zizah? Terkejut aku dibuatnya. Salam tak de, apa tak de, tup-tup muncul belakang aku. Apa kau ni ada memakai ke?"
"Mestilah ada. Kalau kau nak tahu aku ni pakai baju, pakai seluar, kasut, setoking dan ...."
"Itu aku tahulah. Yang aku maksudkan tadi, kau ada ilmu ghaib ke, ilmu mistik ke, atau ada bela polong ke? Tak ada hujan tak de ribut, alih-alih dah muncul di sini."
"Hish, selisih malaikat 44! Ada ke muka aku ni bela polong. Tolong sikit, kawan."

.......................................

Cerita di atas ada sebut pasal polong. La ni banyak betul rancangan televisyen berkisar tentang cerita hantu sampaikan anak-anak kecil takut nak ke bilik tidur, billik mandi bersendirian.
JANGAN kata budak kecil, orang TUA pun TaKuTTTT.........Eiiii, serammmmm!

Hantu orang Melayu seperti polong, hantu raya, toyol, langsuir, penanggal dll.
Hantu Mat Salleh seperti drakula, zombie, warewolf dll.
Hantu orang Cina seperti hantu lompat-lompat dan ..........
Hantu orang India seperti ..........
Hantu orang Asli seperti ...........
Hantu orang Indon seperti kuntilanak, sundal bolong dll.
Hantu orang Siam seperti nangnak dan ...........
Bertanda ........ maksudnya tak tahu nak sebut istilah apa nama hantunya.

PERSOALAN yang berlegar-legar di benak ialah mengapa nama hantu-hantu berbeza di antara satu  bangsa dengan bangsa yang lain. Rupa hantu juga berbeza sebagaimana yang dipaparkan menerusi televisyen mahupun Internet..
Nampaknya boleh dibuat tesis berkisar tentang hantu saja.


Apa pandangan para pembaca tentang hal hantu?
 

Darihal Makan


Jangan makan sambil memekak,
Silap-silap tercekik tulang di celah tekak.

Jangan makan sambil berdiri,
Difikir orang, agaknya dia nak lumba lari.

Jangan makan sambil berjalan,
Duduklah makan perlahan-lahan.

Jangan makan berlebih-lebihan,
Nanti senak perut jadi tak keruan.

Jangan abai waktu makan,
Gastrik mendatang, ingatlah tu kawan.

Jangan terlalu memilih makan,
Kandungan vitamin biarlah berpadanan.

Jangan makan sambil merokok,
Asyik menghisap makanan tak bertokok.

Jangan makan sambil minum,
Makanan belum habis, perut dah ranum. 

Jangan makan tanpa Bismillah,
Syaitan menumpang makan, MasyaAllah.

Makanlah secara berhemah,
Makan biar mengikut sunnah.


Friday, November 5, 2010

RAP 10 BUDAK NAKAL




10 budak nakal, main lompat-lompat,
  SA...ATU patah kaki, tinggal sembilan.

9 budak nakal, main kejar-kejar,
  SA...ATU masuk longkang, tinggal lapan.

8 budak nakal, main baling-baling,
  SA...ATU kena kepala, tinggal tujuh.

7 budak nakal, main sorok-sorok,
  SA...ATU kena culik, tinggal enam.

6 budak nakal, main tumbuk-tumbuk,
  SA...ATU lebam mata, tinggal lima.

5 budak nakal, main lastik-lastik,
  SA...ATU sakit merana, tinggal empat.

4 budak nakal, main rempit-rempit,
  SA...ATU kena cekup, tinggal tiga.

3 budak nakal, main gusti-gusti,
  SA...ATU patah tangan , tinggal dua.

2 budak nakal, main tepi jalan,
  SA...ATU kena langgar, tinggal satu.

1 budak nakal, sudah tak ada kawan,
  Taubat nasuha akhirnya.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...