Friday, March 1, 2013

Makkah Al-Mukarramah

Subhanallah
Maha Suci Allah
 mengizinkan kami
menyampaikan hajat 
daku seisi keluarga dan umi
menjejak kaki ke Tanah Haram
menjadi tetamu-Mu.

Alhamdulillah
setelah sekian lama kepingin
mengunjungi Masjidil Haram
akhirnya dapat kulihat
tersergam indah
Kaabah
yang menjadi rindu-rinduan
umat Islam pelosok alam
bertawaf mengelilingi
dengan berjalan 
mahupun berlarian anak
seterusnya bersaie
bagi mengenang lipatan sejarah
Siti Hajar berpergian di padang pasir
mencari punca air
buat penghilang dahaga
putera kesayangannya, Ismail.

Berebutan sekelumit umat
mencari ruang 
mengucup Hajarul Aswad
dan mendakap kelambu Kaabah
untuk mengadu
dan 
bermunajat 
kepada-Mu.

                                  







Sunday, January 20, 2013

Ayat Ruqyah



                                                        

Syaitan merupakan kata sifat bagi menunjukkan sesuatu perkara yang jahat dan buruk. Terdapat Syaitan Jin dan Syaitan Manusia. 

Syaitan Jin adalah salah satu golongan hamba Allah yang paling beriman dan amat taat, pintar, patuh dan kuat beribadah kepada Allah. Bagaimanapun, golongan syaitan ini yang diketuai oleh (Azazel) ingkar dengan perintah Allah dan diperintahkan keluar dari Syurga kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Adam.

Syaitan merupakan golongan penghasut, beranak-pinak dan keturunan kepada iblis laknatullah. Mereka  mempunyai tugas jahat yang berbeza untuk memperdayakan manusia. Anak-anaknya, iaitu:


1.Tsabr:
Menggoda manusia berbuat maksiat ketika manusia sedang dalam kesusahan dan berada dalam kesedihan.Ketika manusia dalam kesusahan dan mendapat musibah, maka datanglah Tsabr dan kuncu-kuncunya membisik manusia agar melakukan segala kejahatan seperti berzina,bunuh diri,menghisap dadah,minum arak dan berjudi supaya manusia itu terus leka dan jangan kembali kepada Allah.

2.A'war:
Menghasut manusia supaya mendekati zina dan terus melakukannya dengan apa cara sekali pun.A'war dan pengikutnya akan menggambarkan keenakan dan keseronokan berzina dalam akal fikiran manusia dan mengobar-ngobarkan nafsu.

3.Miswath:
Menyampaikan berita dusta atau penipuan yang mampu menimbulkan kemarahan dan fitnah besar, agar manusia itu akan kucar-kacir, hilang pertimbangan dan saling menuduh sehinggakan menyebabkan pertempuran yang hebat dan dahsyat.

4.Dasim:
Menyebarkan sifat emosi yang keterlaluan, mudah marah, dan permusuhan. Selalunya dalam kes rumahtangga, Dasim akan cuba meruntuhkan institusi kekeluargaan.

5.Zaknabur:
Memastikan dunia ekonomi dan perniagaan akan tergugat. Menghasut para pedagang agar sentiasa tamak dalam mengaut keuntungan, kecurangan dan penipuan dalam muamalah(perhubungan). Memastikan pengurangan dalam timbangan dan bekalan,kelumpuhan ekonomi melalui sistem inflasi serta merupakan pengajak utama manusia dalam melakukan riba(bunga atau faedah dalam perniagaan).

6.Khanzab:
Menghalangi umat Islam dalam melakukan solat, menggangu umat Islam dalam melakukan solat serta mencari jalan agar dapat menyebabkan manusia tidak akan dapat menyembah Allah dan mengelakkan agar sembahyang menjadi sempurna.

7.Walhan:
Menggangu umat Islam agar sentiasa was-was dalam berwudhuk(bersuci sebelum melakukan sembahyang).Ini akan menyebabkan manusia merasakan tidak sah solatnya kerana wuduk merupakan perkara penting yang amat perlu dititik beratkan sewaktu beribadah kepada Allah.Walhan juga menyebabkan manusia agar sentiasa membazir dalam menggunakan sesuatu perkara atau benda.

(Sumber dipetik dari:  Wikipedia, ensiklopedia bebas)

Wednesday, January 2, 2013

Lidah

Lidah merupakan organ di dalam mulut yang sensitif dengan pelbagai jenis perasa.
Bijak membezakan perasa secara automatik dan dihantar ke otak memaklumkan jenis perasa berkenaan.
Antara rasa yang dapat dibezakan oleh lidah, iaitu:

Manis
Masam
Masin
Pahit
Kelat
Payau
Pedas
Lemak
Tawar
Pedar
Hambar
Sedap
Lazat

Penyalahgunaan lidah boleh mengakibatkan impak yang besar kepada sipenutur. 

Jika antara negara dengan negara, boleh mengakibatkan peperangan.
   Jika antara pekerja dengan majikan, boleh     
      mengakibatkan pembuangan kerja.
          Jika antara rakan dengan rakan, boleh  
             mengakibatkan pergaduhan.
                Jika antara adik dengan abang, boleh  
                   mengakibatkan persengketaan.


Pepatah Melayu mengatakan:
       lidah tidak bertulang, salah petik jiwa hilang
          lidah bercabang
            lidah biawak
              lidah terganjal
                lidah terkalang
                  lidahnya masin


Pepatah Indonesia pula menyebut:
       berjalan pelihara kaki, berkata pelihara lidah

Oleh itu, sipenutur perlu mensyukuri anugerah Illahi yang tidak ternilai ini dengan memperbanyakkan zikrullah mengingati-Nya.

Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah  hati menjadi tenteram. 
                                                                       (Surah Al-Ra'd:28)

Imej dari Google



Tuesday, December 4, 2012

Kekasih

Ya Rabbi
terima kasih memberi loronglaluan
untukku sekeluarga dan umi
menjadi calon mengadap-Mu.

Tanggal 30 Oktober 2012
bergantian ringgit dengan kepingan nota cuma
untuk tinggaldiam di perut 
sang raksasa
kan bakal menerbang di angkasa raya
pabila sampai tempoh haulnya.

Oh, menggamit kerinduan 
untuk menjadi tetamu-Mu 
Ya Rahman.
 
Lalu ......
merembas manik-manik mutiara  berkaca
mengenang petahnya luncuran tuturbicara
yang membingitkan kuping 
pabila mendengar
dan bisanya
 mampu menanah di tubir kalbu
begitu jua lakuan 
yang menjengkelkan di sudut mata 
temantaulan, iparduai.

Kini......
 hanya menghitung hari
membilang masa
yang kian mengengsot
dengan sisa-sisa usia
yang makin menginjak ke pinggiran senja
menanti detik 
untuk tinggaldiam di perut
sang raksasa
membawa luncur ke Tanah Haram.

Moga diperkenan-Mu
Ya Latif, Ya Latif, Ya Latif.
 
Imej dari Google


Tuesday, November 6, 2012

Dilema

Semua kerja terkejar-kejar,
Banyaknya kerja berjejar-jejar.

Banyaknya maklumat perlu dicari,
Semuanya ada di hujung jari.

Beberapa maklumat perlu disaring,
Info tak dikehendaki perlu dijaring.

Pencarian maklumat menuntut berfikir,
Ilmu diperoleh usahlah kikir.

Bapak dosen atau para pensyarah,
Suruhan, arahanmu kami memang pasrah.

Fizikal dan mental kami kerah,
Pencarian maklumat sentiasa terarah.

Masa bersama keluarga tetap diluang,
Tak dibiar masa berlalu percuma terbuang.  

Penghasilan tesis mengikut tempoh,
Betapapun sukar kan kami tempuh.

Pahit maung belajar ibarat rasa jadam,
Kesulitan tak meluntur hasrat yang dipendam.  

Ya Rabbi kabulkan hajat insani,
Dipermudah urusan hari-hari yang melewati.













  


Monday, October 8, 2012

Kosa kata dalam Bahasa Bombastik

Penulis rasa terpanggil memenuhi hajat LUKISAN HATI untuk mengetahui maksud kosa kata yang digunakan dalam gurindam BAHASA BOMBASTIK.
Berikut adalah maksud bagi setiap kosa kata yang berkaitan. 

Meditasi      : perbuatan duduk dan sebagainya
                        dgn menumpukan sepenuh fikiran
                        (emosi) ter­hadap sesuatu
                        dengan mendalam
Manifestasi : melahirkan, memperli­hatkan, 
                        menunjukkan, menjadikan nyata
Mazkur        : tertulis, termak­tub, tercatat
Nilamkandi : permata nilam
Khizanatulkitab: perpustakaan, kutub­khanah, 
                              bahan bacaan selain kitab
Meninabobokkan : menyanyi supaya tidur (anak), 
                                  mendodoikan
Terpelengak : tercengang kerana terperanjat (hairan)
Rosyom         : muka masam (kerana marah, sombong)
Keuletan       : ketabahan hati (dalam menghadapi 
                          sesuatu), kecekalan; usaha yang giat, 
                          kecekapan, kegiatan (yang bersungguh-
                          sungguh).
Sambalewa  :  tidak sungguh-sungguh melakukan 
                         sesuatu
Superlatif     : bentuk kata menggam­barkan yang paling 
                         atau ter-, darjah (tingkatan) yang tertinggi.
Mengiri        : menuju ke sebelah kiri. menepi (menuju, 
                         berundur) ke sebelah kiri.
Khudu          :  sifat rendah hati
Prakarsa       : inisiatif, daya usaha, ikhtiar

Imej dari Google


Friday, September 28, 2012

Kesan Tindakan

Buat kerja perlukan ketelitian,
Kelak nanti menghasilkan kepuasan.

Buat kerja menuntut kemahiran,
Kelak nanti dikagumi teman.

Buat kerja perlukan kesabaran,
Kelak nanti kerja tak dibakulsampahkan.

Buat kerja perlukan kesungguhan,
Kelak nanti hasil usaha membanggakan. 

Buat kerja hendaklah penuh keazaman,
Kelak nanti tidak ketinggalan zaman.

Buat kerja elakkan kegopohan,
Kelak nanti tiada sebarang kesilapan.

Buat kerja hendaklah difikir,
Kelak nanti tampak hasil akhir.

Buat kerja perlukan pertimbangan,
Kelak nanti terpamer kebijaksanaan.

Buat kerja hendaklah dibincang,
Kelak nanti perjalanan terancang.

Buat kerja hendaklah dilihat kesan,
Kelak nanti tak sesal berkesudahan.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...