Tuesday, December 4, 2012

Kekasih

Ya Rabbi
terima kasih memberi loronglaluan
untukku sekeluarga dan umi
menjadi calon mengadap-Mu.

Tanggal 30 Oktober 2012
bergantian ringgit dengan kepingan nota cuma
untuk tinggaldiam di perut 
sang raksasa
kan bakal menerbang di angkasa raya
pabila sampai tempoh haulnya.

Oh, menggamit kerinduan 
untuk menjadi tetamu-Mu 
Ya Rahman.
 
Lalu ......
merembas manik-manik mutiara  berkaca
mengenang petahnya luncuran tuturbicara
yang membingitkan kuping 
pabila mendengar
dan bisanya
 mampu menanah di tubir kalbu
begitu jua lakuan 
yang menjengkelkan di sudut mata 
temantaulan, iparduai.

Kini......
 hanya menghitung hari
membilang masa
yang kian mengengsot
dengan sisa-sisa usia
yang makin menginjak ke pinggiran senja
menanti detik 
untuk tinggaldiam di perut
sang raksasa
membawa luncur ke Tanah Haram.

Moga diperkenan-Mu
Ya Latif, Ya Latif, Ya Latif.
 
Imej dari Google


Tuesday, November 6, 2012

Dilema

Semua kerja terkejar-kejar,
Banyaknya kerja berjejar-jejar.

Banyaknya maklumat perlu dicari,
Semuanya ada di hujung jari.

Beberapa maklumat perlu disaring,
Info tak dikehendaki perlu dijaring.

Pencarian maklumat menuntut berfikir,
Ilmu diperoleh usahlah kikir.

Bapak dosen atau para pensyarah,
Suruhan, arahanmu kami memang pasrah.

Fizikal dan mental kami kerah,
Pencarian maklumat sentiasa terarah.

Masa bersama keluarga tetap diluang,
Tak dibiar masa berlalu percuma terbuang.  

Penghasilan tesis mengikut tempoh,
Betapapun sukar kan kami tempuh.

Pahit maung belajar ibarat rasa jadam,
Kesulitan tak meluntur hasrat yang dipendam.  

Ya Rabbi kabulkan hajat insani,
Dipermudah urusan hari-hari yang melewati.













  


Monday, October 8, 2012

Kosa kata dalam Bahasa Bombastik

Penulis rasa terpanggil memenuhi hajat LUKISAN HATI untuk mengetahui maksud kosa kata yang digunakan dalam gurindam BAHASA BOMBASTIK.
Berikut adalah maksud bagi setiap kosa kata yang berkaitan. 

Meditasi      : perbuatan duduk dan sebagainya
                        dgn menumpukan sepenuh fikiran
                        (emosi) ter­hadap sesuatu
                        dengan mendalam
Manifestasi : melahirkan, memperli­hatkan, 
                        menunjukkan, menjadikan nyata
Mazkur        : tertulis, termak­tub, tercatat
Nilamkandi : permata nilam
Khizanatulkitab: perpustakaan, kutub­khanah, 
                              bahan bacaan selain kitab
Meninabobokkan : menyanyi supaya tidur (anak), 
                                  mendodoikan
Terpelengak : tercengang kerana terperanjat (hairan)
Rosyom         : muka masam (kerana marah, sombong)
Keuletan       : ketabahan hati (dalam menghadapi 
                          sesuatu), kecekalan; usaha yang giat, 
                          kecekapan, kegiatan (yang bersungguh-
                          sungguh).
Sambalewa  :  tidak sungguh-sungguh melakukan 
                         sesuatu
Superlatif     : bentuk kata menggam­barkan yang paling 
                         atau ter-, darjah (tingkatan) yang tertinggi.
Mengiri        : menuju ke sebelah kiri. menepi (menuju, 
                         berundur) ke sebelah kiri.
Khudu          :  sifat rendah hati
Prakarsa       : inisiatif, daya usaha, ikhtiar

Imej dari Google


Friday, September 28, 2012

Kesan Tindakan

Buat kerja perlukan ketelitian,
Kelak nanti menghasilkan kepuasan.

Buat kerja menuntut kemahiran,
Kelak nanti dikagumi teman.

Buat kerja perlukan kesabaran,
Kelak nanti kerja tak dibakulsampahkan.

Buat kerja perlukan kesungguhan,
Kelak nanti hasil usaha membanggakan. 

Buat kerja hendaklah penuh keazaman,
Kelak nanti tidak ketinggalan zaman.

Buat kerja elakkan kegopohan,
Kelak nanti tiada sebarang kesilapan.

Buat kerja hendaklah difikir,
Kelak nanti tampak hasil akhir.

Buat kerja perlukan pertimbangan,
Kelak nanti terpamer kebijaksanaan.

Buat kerja hendaklah dibincang,
Kelak nanti perjalanan terancang.

Buat kerja hendaklah dilihat kesan,
Kelak nanti tak sesal berkesudahan.





Wednesday, September 19, 2012

Seloka Buat Pengkarya IOM

Ada orang bilang, otaknya  letak di kepala lutut,
Tapi kukira, otaknya di qubul dan dubur.

Mengapa??
Inilah hikayatnya ......

Ada cerita cuba disensasi, 
ada berani cuba-cuba bermain api,
adalah sedikit cerdik 
sengaja dipinta untuk diherdik.

Taklah bijak pandai,
tapi cuba memandai-mandai,
adalah picisan bijak,
kini lakuan sudah terlajak.

Adalah belajar tapi kini sikap kurang ajar,
adalah mengaji tapi masih tak cukup ulang kaji.

Adalah pamer kuat tapi sengaja dibuat-buat,
adalah ukir senyum tapi takutnya terkulat-kulat.

Ada identiti diri,
tapi sekarang cuba menyembunyi diri,
ibarat tikus menyorok di balik almari.

Ada tangis ..... entah sesal entah tidak,
soroklah diam dalam hati.

Satu dunia,
mengecam lakuannya yang mencolok mata,
karyanya yang kontradik fakta,
meracun minda,
cuba menggoyah fahaman ummah.

Kini hidup tak keruan,
karya dicerna melanggar ketatasusilaan,
dengan masyarakat tak berani berdepan,
tunggulah nanti azab Tuhan.











Wednesday, September 5, 2012

Beraya di Hospital

Menganyam ketupat di bulan puasa,
Membuat persiapan menjelang hari raya.

Ayam, daging, bawang dan rempah kari,
Antara campuran menu di Aidil Fitri.

Hati girang bukan kepalang,
Menyambut kepulangan insan tersayang.

Jauh dekat berhimpun anak dan cucu,
Untuk pengetahuan, ada sebelas orang menantu.

Usia kini menginjak tujuh puluh tahun,
Kudrat digerak ibarat masih empat puluh tahun.

Tak kenal letih mahupun lelah,
Gerakkan tangan pantas minda mengerah.

Pelbagai sajian disaji hidang,
Buat anak cucu malah cicit yang datang.

Setelah seminggu Aidil Fitri berlalu,
Sengal-sengal, bisa tulang-temulang mula ketemu.

Minggu kedua penyakit mula perasan,
Sesak nafas perlukan bantuan pernafasan.

Segera berkejar mendapatkan rawatan,
Menginap di hospital bukanlah permintaan.

Kata pemutus oleh pihak doktor,
Dalam kepayahan terpaksa jua akur.

Berembas mata digenangi air,
Rupanya jantung dipenuhi air.

Ubat dimasukkan pada urat di tangan,
Cairkan darah buang toksin di badan.

Anak cucu berdoa bermunajat,
Semoga segera sembuh itulah hajat.

Jiran tetangga sahabat-handai,
Mengunjung ziarah penuh berdedai.

Selama seminggu berkurangan girang,
Kini dibenar kembali pulang.  

Tampak ceria menerima perkhabaran,
Menyambung saki-baki hari lebaran.

Dinasihat doktor ibuku banyak berehat,
Biar kudrat pulih dengan bekalan ubat.

Pengambilan air diminta kurang,
Untuk memastikan kandungan air seimbang.

Dipanjatkan doa buat bonda,
Hendaknya sihat walafiat seperti sedia kala.



















Monday, August 27, 2012

SMS



Mengirim SMS seronoknya sememang,
Jari digerak sambil menekan butang.

Pelbagai cerita boleh dikongsi,
Ada kalanya baca tak kering gusi.

Ada kisah boleh dirakam,
Pabila dibaca hati bungkam.

Kiriman SMS tanpa mengira masa,
Belum tentu penerimanya suka.

Pabila bertemu kala dan tika,
Muka penerima masam mencuka.

Rupanya SMS dikirim lewat dinihari,
Penerima terkejut dari ulet mimpi.

SMS dibaca setelah terjaga,
Bimbang ahli keluarga ditimpa mara bahaya.

Setelah dibaca barulah diketahui isinya,
Hanya sekadar info biasa.

Waktu tidur telah terganggu,
Dalam hati Tuhan sahaja yang tahu.

Beringatlah wahai saudara saudari,
Kemarahan orang usah dicari.

Nampak seronok tapi awasi,
Usah sampai anda pula disakiti.

Kalam bicara entri ini,
Juga buat pengingat diri sendiri. 


Imej dari Google



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...