Tuesday, August 21, 2012

SMS Ucapan Selamat Hari Raya 2012

Hari raya Aidil Fitri tahun ini penulis menerima beberapa SMS ucapan Selamat Hari raya daripada rakan taulan. Antaranya:

a)  Sehening air wuduk, sesuci Al-Quran, semerdu alunan
     zikir, seindah solat, setenang hati yang tiada rasa benci 
     dan dendam.
     Langkah tak semestinya bertemu, ucapan tak semestinya    
     terdengar, tapi .... persaudaraan dan keikhlasan hati 
     tetap terjaga.
   
     Jika tangan tak sempat berjabat,
     Jika wajah tak sempat bertatap,
     Bukalah pintu kemaafan antara kita.

     Selamat menyambut Hari raya Aidil Fitri.
     Maaf zahir dan batin.

b)  Salam Aidil Fitri,
     salah silap pohon dimaafi,
     ada tutur kata yang mengguris hati,
     harap tidak disimpan di dalam hati.

c)  Di pagi raya nampak berseri-seri,
     Senyum simpul terpamer gigi,
     Selamat hari raya Aidil Fitri,
     Tulus ikhlas dari hati.

d)  Barakah Ramadan dirindui,
     Kemeriahan Syawal dirai,
     Taqabbalallahu Minna Waminkum.

e)  Dalam bermesra mungkin terkasar bahasa,
     Dalam bergurau mungkin terlanjur senda,
     Dalam berjanji mungkin ada yang belum dikota,
     Dalam berbicara mungkin menyinggung rasa,
     Jika ada ... kemaafan dipinta.
     Selamat hari raya Aidil Fitri,
     Maaf zahir dan batin.

f)  Satukan tangan.
    Satukan hati,
    Itulah indahnya silaturrahim.

g) Salam lebaran.
    Semoga Allah menjadikan Ramadan yang bakal berlabuh
    ini sebagai detik-detik terindah dalam pembinaan jati diri,
    nilai keimanan kepada kita dan keluarga. 
    Mudah-mudahan kita semua dinaungi rahmat, barakah, 
    hidayah, berjaya dan bahagia dalam kerjaya dan   
    ikhlas dalam ubudiah.
    Selamat Hari raya, maaf zahir dan batin.

h) Sekarang di ambang penghujung Ramadan.
    Esok bermula Syawal.
    Pohon maaf salah silap tutur bicara kiranya ada.

i)  Kata Al-Ghazali:
    Yang jauh itu WAKTU,
    Yang dekat itu MATI,
    Yang besar itu NAFSU,
    Yang berat itu AMANAH,
    Yang mudah itu BERBUAT DOSA,
    Yang panjang itu AMAL SOLEH,
    Yang indah itu SALING MEMAAFKAN.

    Mohon maaf atas segala kekhilafan dan keterlanjuran.
    SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI.
Imej dari Google


Friday, August 17, 2012

Tercungging

Tercungging = Tiada dalam Kamus Dewan Edisi Keempat

Hanya perkataan ini yang ada, iaitu:

Conggang; ~-canggik = ~-canggit = ~-conggek = ~ congget turun naik (punggung dll) sewaktu berjalan dll. 
Tergolek = guling

Terbalik = menjadi songsang, berubah sama sekali duduknya atau letaknya (yg di hadapan menjadi di belakang atau yg di atas menjadi di bawah).

Tiga perkataan tersebut disebut oleh Seniman S.Shamsuddin dalam filem 'Ali Baba Bujang Lapuk' kepada Senawati Normadiah.

Penulis sengaja menimbulkan isu ini kerana tentu ada persamaan dari segi keruwetan situasi anda ketika persiapan terakhir menyambut Hari raya Aidil Fitri.

Ada yang sibuk dengan aktiviti:

menyembelih ayam
melapah daging
memotong sayur
merebus ketupat
membakar lemang
mereneh sup
memasak gulai
menjerang air
menanak nasi
menghias rumah
mengisi kuih-muih ke dalam balang
menyusun atur perabot
memasang lampu warna-warni
menggosok baju
dan sebagainya.

Oh, indah sekali warna-warni dalam menyambut Aidil Fitri!

Dam, dam, dum!
            Bunyi mercun
             JANGAN sampai baju lencun ..... dengan  
                                                                   titisan...
                                                               D..A..R..A..H.



Thursday, August 16, 2012

Kad Raya


Selamat Hari Raya pembaca budiman
Tanpa bersua wajah rakan dan teman
Di alam maya kita berhubungan
Biarpun kalian jauh di seberang perbatasan.

Ada coretan yang mengguris perasaan
Ampun maaf jua dipohonkan.

Beberapa hari lagi Hari Lebaran
Kunjung-mengunjung jadikan amalan
Merapatkan ukhwah salam persaudaraan

Berjabat tangan bermaaf-maafan
Biar sebesar zarah perlakuan kesalahan.

Moga ketemu lagi Ramadan
Dipanjangkan usia ke tahun hadapan
Hanya berharap pada-Mu Ya Tuhan 
Doa hamba-Mu dimakbulkan.


Selamat pulang ke kampung halaman
Ingat, lebuhraya bukan tempat perlumbaan
Jika hendak cuba, mendaftarlah di Formula One.

                                                    Salam hormat daripada:
                                                              RaFaSa sekeluarga 
                                                                   2012/1433 H

Tuesday, August 14, 2012

Puasa dan Hariraya Yang Paling Menggembirakan

Berkatalah teman kepada hamba,
Inilah tahun yang amat bermakna.

Tertanya-tanya penuh musykil,
Bertanyakan rahsia cuba dicungkil.

Akhirnya rahsia berjaya dirungkai,
Permasalahan yang bersarang terlerai rantai.

Awal puasa mendapat bayi,
Montel mungil ceria sekali.

Sebelum ini hanya seorang cahaya mata,
Telah 19 tahun kini berusia.

Mendapat bayi baharu satu rahmat,
Seronok sakan, gembira teramat.

Ibu bayi tidak menghendaki,
Ibu bapa tumpang sememang dicari.

Orang mengantuk bantal disorong,
Mengambil anak angkat hati terdorong.

Minyak yang penuh bayi ditatang,
Seisi keluarga mencurah kasih sayang.

Urusan pengambilan anak angkat usai sudah,
Tiada lagi yang membelenggu masalah.

Mengelakkan pertikaian dakwa-dakwi,
Masa akan datang kemudian hari.

Lebih sedikit wang dibelanja,
Itu bukan persoalan utama.
Hariraya bertambah ahli keluarga,
Menyinari rahmat hidup ceria.
 











Sunday, August 12, 2012

Menjelang Hariraya

Dahulu ayam itik bercempera,
Melarikan diri dari diterpa.

Berlarian berkejaran cuba menangkap,
Mengelakkan diri begitu cekap.

Melarikan diri sambil berkokok,
Lari susup-sasap bengkang-bengkok.

Duduk berpakat cara memerangkap,
Kaedah mana lebih cekap.

Bertenggek ayam malam hari di dahan,
Menyuluh ke matanya pergerakan diperlahan.

Strategi, teknik dan cara diaplikasi,
Memerangkap ayam penuh berseni.

Sauk jaring membelakangi 'mangsa',
Mendapatkan 'mangsa' tersangatlah suka.

Dagingnya pejal terasa enak,
Amboi, sedap sungguh masakan emak!

Rindu memuncak ketemu ayahanda bonda,
Tunggulah kepulangan anakanda dan cunda.

Aidil Fitri akan menjelang tiba,
Memandu di lebuhraya beringat waspada.






Thursday, August 9, 2012

Ops Selamat

Ops Selamat mengganti Ops Sikap,
Berhati memandu kamera 'menangkap'.

Pemanduan berhemah amat dituntut,
Mengelakkan jenazah ahli keluarga menuntut.

Mematuhi had laju penuh yakin,
Usah sebab kemalangan anda ditalkin.

Kemalangan ngeri dan tragis,
Bercucuran air mata meratap tangis.

Kereta terperosok di bawah lori,
Satu contoh kemalangan ngeri.

Lori terbabas dari kawalan,
Laluan termasuk ke seberang jalan.

Brek kenderaan tidak berfungsi,
Sebelum memandu perlu dikenal pasti.

Bawah jambatan, papan tanda dan di persimpangan,
Lokasi kamera perangkap had laju ketahuilah teman.

Kalau memandu mengikut perasaan,
Perangkap had laju memang tak perasan.

Memandu laju mengundang bahaya,
Takut nanti tak sempat beraya.

Kaki tergantung tangan berbalut,
Hospitallah teman buat pemandu 'kalut'.

Coretan sekadar mengingatkan teman,
Mengelakkan diri dari disaman.

Selamat berhariraya ketemu sanak-saudara,
Sesekali balik kampung bertemu sua.






.


Tuesday, August 7, 2012

Masjid Tanah

Dari rumah kenderaan dipandu,
Berjaga-jaga mematuhi had laju.

Tidak perlahan tidak laju,
Menentukan destinasi untuk dituju.

Rumah Adik Hilmi disinggah,
Telah boleh bercakap berjalan gagah.

Dahulu ditimpa Anuresym,
Kini ahli keluarga mengukir senyum.

Perjalanan dituju ke negeri Melaka,
Melihat senibina rumah cantik belaka.

Masjid Tanah turut disinggahi,
Bazar Ramadan di situ dijelajahi.

Berdekatan dengan stesen bas,
Ramainya penjual amatlah jelas.

Kiri kanan dipenuhi penjaja,
Makanan, minuman, pakaian juga ada.

Hampir satu kilometer kaki berjalan,
Begitu banyaknya juadah pilihan.

Sebuah gerai dikerumuni manusia,
Agak menarik dan begitu luar biasa.

Pelbagai kuih dijualnya penjaja,
Rata-rata pelanggan amat menyukainya.

Di dalam loyang dimasak elok,
Loyangnya hampir sebesar pemeluk.

Kuih dipotong mengikut naluri,
Tiada sukatan secara terperinci.

Bubur sum sum rasa dicuba,
Santan berlemak manis terasa.

Ada kesempatan cubalah bertandang,
Bagi memastikan ini bukan cerita sembarang.

Selamat berterawikh dan bertadarus,
Amalan baik biar terus menerus.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...