Sunday, August 12, 2012

Menjelang Hariraya

Dahulu ayam itik bercempera,
Melarikan diri dari diterpa.

Berlarian berkejaran cuba menangkap,
Mengelakkan diri begitu cekap.

Melarikan diri sambil berkokok,
Lari susup-sasap bengkang-bengkok.

Duduk berpakat cara memerangkap,
Kaedah mana lebih cekap.

Bertenggek ayam malam hari di dahan,
Menyuluh ke matanya pergerakan diperlahan.

Strategi, teknik dan cara diaplikasi,
Memerangkap ayam penuh berseni.

Sauk jaring membelakangi 'mangsa',
Mendapatkan 'mangsa' tersangatlah suka.

Dagingnya pejal terasa enak,
Amboi, sedap sungguh masakan emak!

Rindu memuncak ketemu ayahanda bonda,
Tunggulah kepulangan anakanda dan cunda.

Aidil Fitri akan menjelang tiba,
Memandu di lebuhraya beringat waspada.






Thursday, August 9, 2012

Ops Selamat

Ops Selamat mengganti Ops Sikap,
Berhati memandu kamera 'menangkap'.

Pemanduan berhemah amat dituntut,
Mengelakkan jenazah ahli keluarga menuntut.

Mematuhi had laju penuh yakin,
Usah sebab kemalangan anda ditalkin.

Kemalangan ngeri dan tragis,
Bercucuran air mata meratap tangis.

Kereta terperosok di bawah lori,
Satu contoh kemalangan ngeri.

Lori terbabas dari kawalan,
Laluan termasuk ke seberang jalan.

Brek kenderaan tidak berfungsi,
Sebelum memandu perlu dikenal pasti.

Bawah jambatan, papan tanda dan di persimpangan,
Lokasi kamera perangkap had laju ketahuilah teman.

Kalau memandu mengikut perasaan,
Perangkap had laju memang tak perasan.

Memandu laju mengundang bahaya,
Takut nanti tak sempat beraya.

Kaki tergantung tangan berbalut,
Hospitallah teman buat pemandu 'kalut'.

Coretan sekadar mengingatkan teman,
Mengelakkan diri dari disaman.

Selamat berhariraya ketemu sanak-saudara,
Sesekali balik kampung bertemu sua.






.


Tuesday, August 7, 2012

Masjid Tanah

Dari rumah kenderaan dipandu,
Berjaga-jaga mematuhi had laju.

Tidak perlahan tidak laju,
Menentukan destinasi untuk dituju.

Rumah Adik Hilmi disinggah,
Telah boleh bercakap berjalan gagah.

Dahulu ditimpa Anuresym,
Kini ahli keluarga mengukir senyum.

Perjalanan dituju ke negeri Melaka,
Melihat senibina rumah cantik belaka.

Masjid Tanah turut disinggahi,
Bazar Ramadan di situ dijelajahi.

Berdekatan dengan stesen bas,
Ramainya penjual amatlah jelas.

Kiri kanan dipenuhi penjaja,
Makanan, minuman, pakaian juga ada.

Hampir satu kilometer kaki berjalan,
Begitu banyaknya juadah pilihan.

Sebuah gerai dikerumuni manusia,
Agak menarik dan begitu luar biasa.

Pelbagai kuih dijualnya penjaja,
Rata-rata pelanggan amat menyukainya.

Di dalam loyang dimasak elok,
Loyangnya hampir sebesar pemeluk.

Kuih dipotong mengikut naluri,
Tiada sukatan secara terperinci.

Bubur sum sum rasa dicuba,
Santan berlemak manis terasa.

Ada kesempatan cubalah bertandang,
Bagi memastikan ini bukan cerita sembarang.

Selamat berterawikh dan bertadarus,
Amalan baik biar terus menerus.





Thursday, August 2, 2012

Nostalgia Dahulu

Kalau dahulu anak-anak berlarian,
Padang mainan menjadi tumpuan.

Kalau dahulu main bola disebut,
Berlarian berkejaran sedia merebut.

Kalau dahulu bermain sepak raga,
Dalam 'bulatan' kemahiran menyepak diperaga.

Kalau dahulu gasing buatan sendiri,
Dahan limau diraut buatan asli.

Kalau dahulu wau bulan bergentayangan,
Di udara bergema bunyi dengungan.

Kalau dahulu senapang dan pistol mainan,
Terung pipit peluru bertaburan.

Kalau dahulu bermain keteng-teng,
Lompat bersilang badan berpusing.

Kalau dahulu gelang getah dicampak,
Lemparan bertindan kemenangan menampak.

Kalau dahulu bermain 'police sentri',
Berlarian mengejar mangsa sana sini.

Kalau dahulu bermain upih pinang,
Sampai garisan penamat dahulu dikira pemenang.

Kalau dahulu bermain daun terup,
Memadankan gambar yang jatuh terlungkup.

Kalau dahulu mandi air perigi,
Sejuk menggeletar berlaga gigi.

Kalau dahulu terjun ke dalam sungai,
Seronok sakan mandi beramai-ramai.





Sunday, July 29, 2012

Jualan Di Bulan Ramadan

Bulan Ramadan banyaknya jualan,
Jualan sempena musim perayaan.

Harga ditawar dengan diskaun,
Membeli barangan usah melebihi akaun.

Kuih-muih, lemang dan rendang,
Suara penjual memanggil bertandang.

Makcik, pakcik, kakak, abang,
Bajet berpada usah kewangan 'terbuang'.

Tidak salah cantik berpakaian,
Berbelanjalah kalian ikut kemampuan.

Berkata pepatah pengurusan kendiri,
Ukur baju di badan sendiri.



Wednesday, July 25, 2012

Berbuka Puasa

Waktu berbuka sememangnya ditunggu,
Membilang minit sambil termanggu.

Waktu bersahur sememangnya liat,
Bangkit bangun sambil menggeliat.

Waktu di bazaar Ramadan sememangnya menyesakkan,
Rambang mata dalam membuat pilihan.

Waktu makan sememangnya mengasyikkan,
Mulut mengunyah lauk-pauk disuakan.

Waktu solat sememangnya berat,
Kantung perut masih diisi, duduknya 'lekat'.

Waktu tarawikh sememangnya habis lewat,
Lapan rakaat sahaja sudah 'berangkat'.

Waktu hariraya sememangnya dinanti,
Saling bermaafan peri laku dimaafi. 







 



Sunday, July 22, 2012

Doa Malaikat Jibril

Sempena menyambut awal Ramadan, beberapa orang rakan taulan mengirimi penulis mesej yang berbunyi:

Doa Malaikat Jibril menjelang Ramadan, 
"Ya Allah, tolong abaikan puasa umat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadan jika dia tidak melakukan hal-hal yang berikut: Tidak memohon kemaafan terlebih dahulu daripada orang tua, suami isteri dan orang-orang di sekeliling kita."

Oleh itu, kesempatan yang ada ini saya memohon kemaafan daripada sidang pembaca blog ini jika ada coretan yang mengguris perasaan dan tidak menyenangkan hati.

Semoga 
    puasa kita diberkati 
         dan 
             hidup kita dirahmati-Nya.
Amin Ya Rabbal A'lamin.


 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...