Monday, March 19, 2012

Syukran

Segala puji dipanjatkan kehadrat Illahi,
Tampak perubahan Adik Mohd Hilmi.

Dahulu terbaring tidak bermaya,
Diangkat dipapah kerap sentiasa.

Diajari melangkah dengan bertongkat,
Moga berjalan dapat dipercepat.

Fisioterapi acapkali dijalani,
Pergerakan otot biar berfungsi.

Akupuntur tidak ketinggalan,
 Pilihan alternatif untuk rawatan.


Melangkah menapak untuk berjalan,
Semakin bertambah tampak kemajuan. 

Dibiar berjalan berseorangan,
Beriring jalan tumbang jangan. 

Kaum keluarga menyorot perubahan,
Tampak perubahan kendatipun perlahan.

Bangkit dari kerusi dan pembaringan,
Itu masih perlukan sokongan.
 
Membaca dan menulis digagahi,
Biar minda terus bercambahi.

Sesekali dipertemu ahli keluarga,
Biar dipercepat mengingat nostalgia.

Ahli keluarga memberi sokongan,
Pembakar semangat dan dorongan.

Munajat dipanjatkan kepada-Mu Illahi,
Moga kehidupan mekar berseri.

Usaha, tawakkal dan doa,
Hanya kepada-Mu kami meminta.

Sihat tubuh badan dan minda,
Tetap iman dan aqidah.





Monday, March 5, 2012

Doa Buat Adik Mohd Hilmi

Hari ini 5 Mac 2012, genap 2 bulan Adik Mohd. Hilmi mengidap penyakit Aneurysm. Adik adalah anak bongsu daripada 7 orang adik-beradik dan baru berusia 38 tahun. 

Pada mulanya, sukar bagi kami adik-beradik untuk mempercayai bahawa di usia yang muda adik jadi begitu. Adik sudah boleh membaca dan menulis, cuma berjalan sahaja belum lagi. Percakapan juga semakin lancar.

Adik, kuatkan semangat untuk berjalan semula. Kasihan anak-anak yang masih kecil dan amat dahagakan kasih sayang daripada seorang bapa. 

Setiap kejadian yang terjadi adalah qada dan qadar daripada ALLAH S.W.T. 

Tentu ada hikmah dan rahmat di sebaliknya.

Hanya ALLAH S.W.T sahaja yang Maha Mengetahui. 


Semoga adik cepat sembuh dan sihat seperti sediakala. Amin.



  


Wednesday, February 29, 2012

Aneurysm

Aneurysm merupakan sejenis penyakit yang berkaitan dengan pendarahan di bahagian otak.
Adik Mohd Hilmi yang dimasukkan ke Hospital Kajang pada 5 Januari 2012 kerana tiba-tiba pengsan dikesan ada pendarahan di otak.
Kemudian ahli keluarga berpakat menghantar ke KPJ Damansara kerana ada doktor pakar dalam bidang tersebut di sana. 

Sesampai di sana, pembedahan pada bahagian kepala dilakukan dan dikesan memang ada pendarahan pada bahagian otak. Setelah beberapa hari, lalui sekali lagi pembedahan pada bahagian kerongkong untuk memudahkan proses membuang kahak dan bernafas. Seterusnya jalani lagi pembedahan untuk memasukkan saluran dari bahagian otak ke saluran pundi kencing bagi memudahkan proses pembuangan air kecil. 

Ini bermakna 3 kali pembedahan yang terpaksa ditempuhi oleh Adik Mohd Hilmi. Hampir sebulan terlantar di KPJ Damansara. Setiap hari, wadnya dikunjungi sanak-saudara dan sahabat-handai. Doa dipanjatkan kepada-Nya agar Adik Mohd Hilmi segera sembuh dari penyakit yang dihidapinya.

Pada 4 Februari 2012, Adik Mohd Hilmi dibenarkan pulang ke rumah. Syukur alhamdulillah. Difahamkan, kos rawatan selama berada di wad mencecah RM111, 000.00. Kos rawatan ini ditanggung oleh majikannya dengan adanya peruntukan medical card. Alhamdulillah kerana membiayai kos rawatan.

Setelah keluar dari hospital, perlu menjalani fisioterapi untuk menggerakkan anggota badan terutama tangan kiri dan kaki kiri akibat komplikasi strok. Selain itu, badan juga tidak mampu diangkat sendiri dan memerlukan sokongan daripada ahli keluarga untuk bangun, duduk ataupun berbaring. Setiap kali melakukan aktiviti fisioterapi, kosnya RM60.00 dan perlu ditanggung oleh keluarga. Seminggu 3 kali fisioterapi yang perlu dilakukan.

Selain fisioterapi, rawatan lain yang diusahakan iaitu akupuntur, urutan tradisional serta menikmati panorama alam bersama-sama ahli keluarga. 

Menampakkan kemajuan dari semasa ke semasa. Percakapan semakin lancar biarpun tidak menjawab persoalan yang ditanya oleh si penyoal. Ada sedikit gangguan pada memori kerana bahagian otak telah 'terusik'. Telah boleh mengangkat jari jemari tangan kiri seperti memegang sudu, buku dan lain-lain objek. Pergerakan kaki kiri masih belum begitu ampuh dan perlu dibantu dengan tolakan kaki orang lain untuk menggerakkannya.

Iringan doa ahli keluarga, sahabat-handai, jiran tetangga dan para pembaca blog ini agar Adik Mohd Hilmi dapat berjalan, menguruskan diri sendiri untuk melakukan aktiviti seharian sebagaimana sebelum ini.




Monday, February 20, 2012

Badminton

Sekarang ini sedang demam Piala Thomas dan Piala Uber.
Kedua-dua piala tersebut yang menjadi rebutan berkaitan dengan pertandingan badminton peringkat antara bangsa.
Ketahui laras bahasa yang diguna pakai oleh pengadil perlawanan badminton.
Bahasanya ringkas, tepat dan padat.
Antaranya:
  Tuan-tuan dan puan-puan,
  Di sebelah kanan saya, Lee Chong Wei,Malaysia
  dan di sebelah kiri saya, Lin Dan, Republik China.

  0 sama, mula.
  dalam , 1-0.
  luar, tukar servis, 1-1.

  mata akhir, 20- 19.
   dalam, 21-19.

 rehat 5 minit untuk game penentuan.
  tukar gelanggang, 10-8.
 mata penamat,
 dalam, 21-15.

Rumusan:
Hanya penggunaan perkataan-perkataan berikut menjadi laras bahasa mengadili pertandingan badminton, iaitu:
 dalam
 luar
 tukar servis
 tukar gelanggang
 (servis pertama dan servis kedua bagi beregu)
 mata
batal
 mata akhir
 game penentuan
 mata penamat.


Wednesday, February 8, 2012

Tabik OKU

Pagi Selasa (2.2.2012) bertemu dengan seorang OKU (Orang Kelainan Upaya) di dalam LRT. Koc LRT tersebut hanya diwarnai oleh suara lelaki tersebut.

"Sila duduk di sini, pakcik". Berkata seorang remaja lelaki budiman memberikan tempat duduknya kepada OKU berkenaan sambil memegang tangannya.
"Terima kasih! Welcome! Xie xie!"

Semua penumpang dengan haluan masing-masing. Ada yang menghantar mesej dengan telefon bimbit, ada yang mendengar lagu menerusi wayar yang dihubungkan ke telefon bimbit dan  ada pula yang berbual-bual lalu gelak-gelak kecil. Ada yang memerhati panorama menerusi jendela koc. 

Mataku mengerling ke arah lelaki OKU. Tangannya memegang telefon bimbit berwarna ungu. Kecil sahaja. Tangannya beralih dari satu butang ke satu butang menekan butang-butang yang terpapar di dada telefon bimbit. Penumpang-penumpang yang lain mengerling dengan ekor mata melihat perlakuan lelaki OKU tersebut.

"Hello!"
"You wait me. I think around 20 minutes I arrived at KL Central."
"You wait me and don't forgot."
 "....................."

Dengan suara yang kuat, lelaki OKU berbicara dengan telefon bimbitnya. Semua mata tertumpu ke arahnya. Terkejut mendengar lelaki OKU yang tidak dapat melihat tetapi mampu mendail dan menelefon seseorang. Kejutan lain apabila mendengar lelaki OKU berbicara dengan fasih dalam Bahasa Inggeris. 

"Aku pun tak selancar lelaki buta tu cakap Bahasa Inggeris," bisik kawan karibku.
"Yalah. Kagum aku lihat dia mendail nombor telefon kawannya dengan hanya teraba-raba. Betul pula nombor yang didailnya tuju kepada kawan lawan bicara. Fasih pulak tu cakap Bahasa Inggeris."
"Itulah kelebihannya yang tak ada pada kita," kataku.

Setelah lelaki OKU selesai berbicara, suasana dalam koc kembali tenang. Semua penumpang dengan dunia mereka sendiri. Tersengguk-sengguk kepala menahan mata yang hampir terkatup. Ada pula yang membaca buku, mengadap laptop yang dibawa. Tersisip pen drive pada sisi laptop dan ada yang membelek akhbar tabloid.

Tiba-tiba ... meluncur lagi suara yang kuat daripada lelaki OKU.
"Anybody can tell me. Now, where are we?"
"Bandar Tasik Selatan, uncle," sahut seorang remaja India.
"Oh, thank you! Boleh tolong maklumkan nanti kepada saya jika telah sampai di KL Central."
"Ok, uncle." 

 Kuat sungguh lelaki OKU itu bercakap. Maklumlah. Dia tak nampak orang di sekelilingnya. Jadi dia berkomunikasi tanpa sedar mata-mata lain melirik ke arahnya mendengar berbicara. 

Kesimpulan:
Biarpun buta tapi hatinya celik.
Fasih berbicara dalam Bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.
Tidak bimbang sesat kerana falsafah yang dipegang, 'Malu bertanya sesat jalan'.
Dapat mengendalikan telefon bimbit dengan mendail sendiri nombor tanpa bantuan orang lain.




Wednesday, January 25, 2012

Buah-Buahan Tempatan

Belimbing, belimbing besi, jambu batu, jambu air,
jambu gelas, jambu bol, betik, nona, ceri.

Langsat, duku, duku langsat, dokong, rambai, tampoi,
buah naga, nanas madu, nanas sarawak, nanas morris.

Ciku, manggis, rambutan, pulasan, mata kucing, laici, longan, bidara, salak.

Nangka, cempedak, markisa, mangga, delima, 
limau nipis, limau sambal, limau purut, limau barli, 

Pisang, pisang kaki, durian, tembikai merah, tembikai kuning, tembikai susu.


Benar-benar menggamit hati ke gerai membeli, 
merasai dan menikmatinya.
Boleh:
a)  Dimakan begitu sahaja
b)  Dibuat jus
c)  Dibuat jeruk
d)  Pencuci mulut
e)  Dibuat halwa
f)  Dibuat jem
g)  Ditinkan
h)  Dieksport
i)  Diwakafkan
j)  Diberikan kepada jiran-jiran
k)  Dibuat hiasan
l)  Barang hantaran pertunangan/perkahwinan

Monday, January 16, 2012

Sinkope

Sinkope bermaksud penyingkatan perkataan. Kebiasaannya kedapatan dalam bahasa perbualan atau tulisan dalam sajak, cerpen, novel, pantun, seloka, nazam, lirik lagu dan lain-lain lagi.
Contohnya seperti:
tidak = tak
hendak = nak 
sahaja = saja

Bagaimanapun, remaja masa kini menggunakan sinkope dalam facebook atau SMS. Setelah disorot, dapatlah diperturunkan beberapa contoh sinkope yang diguna pakai oleh mereka ketika berkomunikasi di alam maya. Antaranya:
aq = aku
ko = kau
ite = kita
bley = boleh
tgk = tengok
x = tidak
thu = tahu
mse = masa
wat = buat
ari = hari
k = ke ataupun ok
jdi = jadi
plk = pula atau pulak
tgh = tengah
bt = buat
kt = dekat
ne = mana
ler = gila
wat = buat







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...