Thursday, November 17, 2011

Kisah Benar (2)

Anak saudaraku sakit perut akibat gastrik. Ayahnya bergegas bawa ke hospital lalu menuju ke wad kecemasan. Sesampai di sana, doktor yang bertugas meleteri kedua-dua beranak tersebut.
"Kenapa tak diberi makan ubat awal-awal? Ini sudah serius baru nak dibawa ke hospital."
Terkedu kedua-duanya dengan kata-kata doktor berkenaan.
Pada tanda nama tertera nama Dr. Kumar a/l Nathan (bukan nama sebenar) tetapi raut wajahnya seperti orang Melayu. Sambil mulutnya menceceh, tangannya segera menulis nama ubat yang perlu diambil pada preskripsi ubat.
'Kita sedang menahan sakit, doktor ni pula marah-marah kat abah. Kesian abah', getus hati anak saudaraku.
"Terima kasih doktor. Semoga Allah memberkati tugas-tugas yang tuan doktor lakukan, bukan sahaja kepada anak saya tetapi juga pesakit-pesakit lain."
"Hummm!"
Itu sahaja jawapan yang terpacul dari mulut doktor muda itu.

(Beberapa bulan kemudian)
"Abang muazin, bolehkah ajar saya sembahyang, puasa dan apa orang Islam mesti buat?"
"Dengan senang hati, tak ada masalah. Ikut saya mengucap dua kalimah syahadah iaitu tuan doktor mengakui:
Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah."
"Baiklah abang muazin."
(Urusan pendaftaran di pejabat agama diuruskan dan setelah itu doktor muda ini semakin rapat dengan abang muazin. Bimbingan agama diajar di masjid).
"Doktor, apa kata datang ke rumah saya hari ini. Bolehlah doktor tolong lihat-lihatkan keadaan ibu saya yang ada penyakit kencing manis."
"Boleh juga. Kebetulan hari ini saya cuti."
Hubungan yang terjalin semakin intim dan ibu abang muazin dianggap seperti ibu sendiri. Anak-anaknya pula dilayan seperti adik-beradik. Hal ini disebabkan doktor muda ini disisihkan oleh kedua ibu bapanya setelah beliau memeluk agama Islam. 

Tidak lama kemudian, doktor muda ini bertemu jodoh dengan seorang jururawat Melayu dan kini telah dikurniakan seorang zuriat. Isteri dan anaknya kerap dibawa berjumpa keluarga angkat yang juga merupakan ibu mertua penulis.

Sekarang ibu mertua penulis ada dua orang anak angkat lelaki iaitu seorang Cina dan seorang lagi India Muslim.
Menjelang hariraya, kedua-dua anak angkat ini pasti akan menjejakkan kaki untuk turut bersama-sama berhariraya dengan ibu mertua penulis.




Friday, November 11, 2011

Sukarnya

Aku memerhati teliti
mekanik yang membedah motokarku
"Begini susah membuka skrew
dari sekecil hinggalah sebesar-besarnya.
Memasang kembali perlu amatiteliti
kelak semput nafas motokarku."


Aku memerhati amat
tukang yang memasang tiles lantai rumahku
"Begini sukar memotong tiles
membentuk saiz dengan mesin berlagu.
Debu menerawang  pandangan kelabu
kelak tak keruan pernafasan dirimu."

Aku memerhati sangat
pekerja yang menyabit tandan sawit ibuku
"Begini seksa menurunkan buah
membentur galah dengan segenap kudrat.
Kecekalan semangat perlu jitu
kelak habuan semakin menghampirimu."






Monday, November 7, 2011

Ayat Raya (2)

Umat Islam seluruh dunia telah menyambut
Hariraya Aidil Adha 1432 Hijrah/ 2011 Masihi.
Ada sahabat yang mengirimkan SMS sempena
Hariraya Aidil Adha, berbunyi:

Tika menempuh jalan berliku,
moga ALLAH luruskan langkahmu.

Tika langit dunia runtuh,
moga ALLAH teguhkan akidahmu.

Tika kesusahan mendatang,
moga ALLAH kuatkan hatimu.

Tika hati dilanda gelisah,
moga ALLAH curahkan ketenangan dalam dirimu.

Tika kerinduan berkunjung,
Moga kasih-Nya sentiasa bersamamu.

Salam Aidil Adha.

  

Wednesday, November 2, 2011

Salah Siapa

Media massa sering melaporkan berita, iaitu :
               Umur setahun jagung                 


Sudah mula:
1.   Cintan-cintun
2.   Jadi bohsia
3.   Melepak @ ponteng sekolah
4.   Mengandung @ termengandung
5.   Merempit
6.   Mencuri
7.   Menyamun
8.   Merompak
9.   Membuli
10. Bergaduh
11. Merokok
12. Menghidu gam
13. Menghisap dadah @ telan pil khayal
14. Menculik
15. Merogol
16. Membunuh
17. Derhaka kepada ibu bapa @ guru



Tuesday, November 1, 2011

Pantun Semangat

Pejam celik mengunyah betik,
Hati jelik kerap berdetik.

Kiri kanan jalan lekas,
Kena penangan tampak berbekas.

Masam terlalu asam kecut,
Menghindar selalu sikap pengecut.

Daun turi dibuat hiasan,
Hindari diri dari kemurungan.

Burung merpati terbang berkawan,
Cekal hati menempuh dugaan.

Monday, October 24, 2011

Intipatisari Madu

Masih terkapai-kapai
penggeledahan carigali info
bagi memenuhi tahap kesarjanaan
dengan hasrat yang masih berkumal
mengarah gelombang minda merayau
menyusuri tiap jurnal, ensiklopedia, bahan ilmiah
dan naskhah majalah.

Cakerawala minda mengomel sendirian
dengan longgokan info yang ketemu
disaringtapis
mengemam intipatisari madu
buat sorotan literatur
pandangan sarjana terdahulu.



Tuesday, October 18, 2011

Ah, sibuknya!

Bulan Oktober ni ibu bapa memang sibuk. Maklumlah, bulan peperiksaan. Peperiksaan akhir tahun bagi semua peringkat persekolahan. Berdedai ibu bapa mengunjungi kedai alat tulis. Membeli barangan keperluan anak-anak untuk menempuh peperiksaan.
            Pemadam,
            pen,
            pensel,
            pembaris,
            pensel warna,
            alat lukisan,
            liquid paper dan sebagainya adalah di antara barangan yang dibeli.
            Bahang peperiksaanlah, katakan.
Itu bagi ibu bapa yang prihatin dengan anak-anak dan tidak memandang enteng bab peperiksaan.
Apapun, selamat menempuh peperiksaan bagi semua warga pelajar. Pelajar IPT juga tidak terkecuali menduduki peperiksaan dalam bulan Oktober ini.
Selamat berjaya dan selamat atas segalanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...