Friday, May 27, 2011

Tragis

Khabar yang kuterima 
tika mataku cuba terlena
benar-benar menyentap kalbu.

Angka 2
sudah pasti lebih dari 1
menunjukkan bilangan jamak
apatah lagi 
jika 2 digabung 5
menjadi 25.

Berita yang tersebar
amat benar meruntun kalbu
anak-anak yatim tertimbus 
dalam runtuhan tanah 
mesej tragis
amat benar memilu hati.

Khabarnya dari angka 25
hanya 9
insan yang masih
diberi ruang kesempatan oleh-Nya
untuk menghirup udara
dan melihat cakerawala
alam ciptaan-Nya.
 Apakan daya 
kudrat  yang tak seberapa
tak mampu melolos diri
tak mampu jasmani melepasi
timbunan tanah
untuk
bangkit berdiri
di muka bumi lagi
sepertimana hari-hari
sebelum ini.

Kurafak
kehadrat-Mu Ya Illahi
agar insan-insan 
yang tak berbapa 
mahupun beribu
dan para dai' 
yang turut serta
menujuhadap-Mu
dalam khusnilkhotimah
Amin Ya Rabbal A'lamin.




Thursday, May 19, 2011

Mengimbau Nostalgia (2)

Akuk nyap tahuk cikguk.
Apa yang kamu tak tahu, tu?
Inik. Macam manak mau tulis inik karangan?
Begini... Pertama, kamu perlu bertutur dalam Bahasa Melayu dengan betul.
Kedua, jika kamu terus-terusan berbahasa begini, nanti kamu tulis mengikut apa yang kamu sebut. Contohnya kamu cakap 'bayik'. Apabila ditulis, perkataan yang disebut itulah yang akan kamu tulis. Sepatutnya ejaan yang betul ialah 'b.a.i.k.' Tiada perkataan 'y' sebagaimana yang kamu eja iaitu 'b.a.y.i.k'.
Ketiga, apabila bercakap dengan cikgu, tidak boleh gunakan gantinama diri atau membahasakan diri kamu 'akuk'. Sepatutnya, gunakan gantinama diri 'saya'.'Aku' boleh digunakan ketika bercakap dengan kawan.
Oh, begitu cikgu! Saya ikut apa yang cikgu cakap.
Ya. Itu dikatakan fasa pertama untuk membetulkan ayat-ayat yang kamu bina nanti. Apabila telah betul  sebutan dan ejaan yang ditulis; mudahlah nanti dalam membina ayat.
Baiklah, cikguk! Opps, cikgu!
Ha, begitulah apabila berkomunikasi! Biasakan bercakap dengan sebutan yang betul.
Ya, cikgu!

 Nota: Penulis pernah berkhidmat mengajar murid-murid orang asli yang terdiri daripada suku kaum Semelai, Jahut dan Temuan di SK Sg. Dua, Karak, Pahang (berhampiran daerah Bentong) pada tahun 1993 - 1996.

Saturday, May 14, 2011

AKRONIM (2)


Catatan oleh:

 En. A.Rahman bin Haron (SK Semenyih)
Guru Cemerlang Bahasa Melayu
dan
 Guru Inovatif Peringkat Negeri Selangor 2010



Puan Laila Jaafar (Guru Perdagangan tahun 1980-an) berkata:
"Saya minta kamu hafal akronim ini dan ingat selalu. Apabila dapat kertas soalan, tulis pada kertas tersebut perkataan ini sebelum menjawab soalan iaitu, GIHIWAN. Huraian, terpulang atas kebijaksanaan kamu mengolah ayatnya."
G  = Gudang
I   = Insurans
H  = Hubungan (Perhubungan)
I   = Iklan (Pengiklanan)
W = Wang (Kewangan
A  = Angkutan (Pengangkutan)
N  = Niaga (Perniagaan)

                                                     
Terima kasih Cikgu Laila 
kerana 
mengajarku dan rakan-rakan, mengingat dengan menggunakan akronim.
                                                                  
Kini aku pula mencipta akronim sendiri untuk mata pelajaran Penulisan dan meminta anak didikku, teman dan rakan sejawat  menggunapakainya bagi mempermudah membina ayat. Ayat yang dibina merujuk kepada gambar atau grafik.
Akronim yang diperkenalkan iaitu SALAK.
Ingat buah salak, ingat Membina Ayat Dengan Teknik SALAK.
S = Siapa (nama orang/bilangan orang)
A = Aktiviti (perbuatan yang dilakukan)
L = Lokasi (tempat aktiviti berlangsung)
A = Alatan (barangan yang dipegang/diguna pakai)
K = Keterangan (guna kreativiti bagi melengkapkan ayat)
                                
 S               A
Ali memancing ikan. 
  S              A                    L        
Ali memancing ikan di sungai.  
  S              A                    L                                                A    
Ali memancing  ikan di sungai dengan menggunakan sebatang joran. 
  S              A                     L                      K       
Ali memancing ikan di sungai pada waktu petang. 

Rumusan :
 7 variasi atau bentuk ayat yang boleh dibina dengan SALAK, iaitu:

SAL
SALA
SALK
SALAK
SAA
SAAK
SAK

***********************
Nota : Akronim SALAK ini telah dinobatkan meraih anugerah
Guru Inovatif Peringkat Negeri Selangor pada tahun 2010
dan
mewakili Jabatan Pelajaran Negeri Selangor 
bagi 
Pertandingan Guru Inovatif Peringkat Kebangsaan 2011.
(menang atau kalah, adat pertandingan).

**********************
SELAMAT HARI GURU BUAT SEMUA WARGA PENDIDIK.
(SK Semenyih, PPD Hulu Langat, 
Jabatan Pelajaran Negeri Selangor, 
Majlis Guru Cemerlang, 
Kementerian Pelajaran Malaysia, 
Jemaah Nazir Jaminan Kualiti dll)


Ingat buah Salak, ingat 'Membina Ayat dengan Teknik SALAK'


Kredit kepada En. Bustamam (PKG Semenyih)
 yang telah membuat rakaman video ini pada tahun 2011

Friday, May 13, 2011

Eh, ramainya!




 Ramai orang yang pandai,
Ada juga yang memandai-mandai.

Ramai orang yang bijak,
Ada juga yang dipijak-pijak.

Ramai orang yang cerdik,
Ada juga yang cakap mengherdik.

Ramai orang yang tahu,
Ada juga yang buat tak tahu.

Ramai orang yang hebat,
Ada juga yang tindakan lambat.

Ramai orang yang bestari,
Ada juga yang dipinggiri.

Ramai orang yang berupaya,
Ada juga yang tidak berdaya.

Ramai orang yang cergas,
Ada juga yang lambat bergegas.

Ramai orang yang cekap,
Ada juga yang jatuh terperangkap.

Ramai orang yang bergaya,
Ada juga yang macam tak percaya.

Ramai orang yang bercakap,
Ada juga yang bicara tergagap.

Ramai orang bercakap telus,
Ada juga yang berlagak mulus.

Ramai orang yang bersungguh-sungguh,
Ada juga yang buat tak acuh.

Ramai orang yang jaguh,
Ada juga yang pencapaian tak teguh.

Ramai orang yang bertindak pantas,
Ada juga yang tindakan tidak lekas.

Ramai orang yang bekerja keras,
Ada juga yang bersikap malas.

Ramai orang yang senyum ceria,
Ada juga yang sakit menderita.


Saturday, May 7, 2011

Khazanah Harta

Dalam kudrat saki-baki
menjelang dinihari
tanpa segan-silu
kugagahi bicara bagi mencarigali
harta yang tertancap
harta yang diselubungi 
oleh litupan mata hatiku sendiri
dalam memahami
kedudukan arahnya yang tersembunyi.

Silauan dan kaburan
yang menutupi mata hati
menyesak nafasku 
menilai laluan tatacara
mencungkil pelbagai khazanah harta.

'Ah, mengapa teman-temanku
bisa berada di landasannya
bisa mengutip intan permata
bisa mengutip emas tempawan seenaknya?
Mengapa tidak aku?'

Cemburuku terhadapmu teman
mengikis tebal maluku
menghadap para ilmuan
bagi penunjuk jalan
untukku mendapat habuan
biarpun tak setimbun 
harta yang dikautmu, teman.

Setiap ilmuan yang kukenal
kupinta memanduku
bagi penunjuk arah 
bagi pemberi garis pandu
buat bekalan pemahamanku
dalam menggapai harta
yang banyak berlegar
di ruang mataku selama ini.

Terima kasih para guruku
biarpun dalam kesamaran senja 
berkat ketulusan hati budimu
menitipkan ilmuanmu
yang amat bermakna 
buat penyuluh jalan diriku
mengutip puing-puing 
intan permata dan emas tempawan
yang dikelabui oleh mata hatiku
melihat dan memahaminya selama ini.


Tuesday, May 3, 2011

Persepsi Murid

"Malang betul kita dapat cikgu ni".
"Apasal pulak?"
"Yalah, cuba kau kira, dalam seminggu berapa kali cikgu masuk kelas!"
"Hish, cikgu selalu pergi kursuskan! Semalam pun ada cikgu beritau dia ke Kementerian Pelajaran. Dah pihak kementerian arahkan, takkan cikgu nak bantah dan tak pergi pulak. Emak aku pun cikgu juga. Gitulah gayanya. Kalau pergi kursus kadang-kadang sampai seberang laut, nu pegi Sabahlah, Sarawaklah."
"Memanglah, tak boleh nak bantah arahan."
"Dah tu, apa yang malangnya?"
"Aku kalau boleh... hemm, aku nak tiap-tiap hari cikgu masuk ke kelas kita. Cikgu ajar kita dan beri penerangan dari A sampai Z. Ini tak, bagi kerja hari ni, lusa bila masuk kelas bincang kerja yang diberi."
"Dah cikgu sibuk, sesekali cikgu berpeluang masuk kelas, dapatlah cikgu kenal pasti murid-murid yang tak faham sesuatu soalan. Dari ketidakfahaman soalan tersebut, cikgu bagi kita pula soalan mengikut topik demi topik. Baharulah murid-murid dapat menjawab dengan merujuk kepada klu yang terdapat pada soalan tersebut. Dah faham topik berkenaan, cikgu bagi lagi soalan dari topik lain pula. Pastu, cikgu test kita lagi dengan soalan-soalan yang mencakupi hampir semua topik sebelum menghadapi ujian atau peperiksaan."
"Ewah, panjang lebar pula penerangan kau Milah! Mengalahkan cikgu pula."
"Itu hakikat sebenarnya. Kita kena terima cikgu kita seadanya. Tapi yang bestnya cikgu kita ni, sekali dia terangkan, cepat kita faham."
"Ya, tang tu aku tabik kat cikgu."
"Ha, tadi kau bising-bising, malanglah.... tah apa-apa lagilah pasal cikgu!"
"Sebab dia ajar senang fahamlah, aku nak cikgu sentiasa ada di sekolah, ajar kita tiap-tiap hari. Seronok sangat bila cikgu ada tercegat depan kelas dan beri penerangan tu, penerangan ni."
"Oklah Natasya. Mungkin cikgu kita banyak penglibatan di peringkat kementerian, jabatan dan Pejabat Pelajaran Daerah. Ilmu yang diperoleh disebarkan kepada kita. Teknik-teknik pembelajaran yang mudah, senang nak ingat dan cepat difahami disebarkan kepada kita. Ada untungnya juga pada kitakan."
"Baiklah Cik Milah Nenek Kebayan. Saya akur dan menurut perintah dan menerima apa juga buah fikiran nenek."
"Ke situ pulak dia? Dah, cepat siapkan kerja yang cikgu beri tu. Esok cikgu masuk kelas dan nak buat semakan kerja yang kita buat, ni"
"Yalah Cik Milah Nenek Kebayan."
"Ish, aku ketil juga budak Natasya ni! Baru padan muka dia."
Ini pula kes Cikgu Shaari.
Mari saksikan klip videonya pula.
Masuk ke kelas mengajar, tapi .....

Sunday, May 1, 2011

Mengimbau Nostalgia

"Ha, sapa yang nak air ni?"
Tak ada jawapan. Semua mata terkulat-kulat memandang tuan punya suara tadi.
"Sapa minum air ni, besar nanti boleh jadi cikgu."
'Jadi cikgu'.
Menerawang dalam minda masing-masing kata-kata yang dilontarkan sebentar tadi.
"Saya nak! Saya nak! Saya pun nak!"
Masing-masing memanjangkan tangan menyambar botol yang disua. Ada lima tangan melekat pada botol yang tertera gambar buah limau dibelah dua pada badan botol yang berwarna coklat kehitaman.
Bergilir-gilir lima orang kanak-kanak dalam lingkungan usia 11 tahun menyedut air limau. Ketika air disedut, tak teringat langsung di minda hendak jadi cikgu. Apa yang penting, air limau berkenaan mengalir masuk melalui rekahan kerongkong dan menuju ke kantung perut. Tambahan pula cuaca panas terik hari itu.
'Ah, sedapnya! Nikmat sekali! Bukan senang pula nak dapat air oren ni! Mak ayah belum tentu nak belikan air oren'.
"Hem, tak ada seorang pun yang cakap terima kasih, yaaa! Yalah, sapa yang nak pandang cikgu yang dah kerepot ni!"
Berdesing telinga macam terdengar bunyi bom baru meletup.
Serentak itu juga terpacul ungkapan : "Terima kasih, cikgu."
******
Masih terngiang-ngiang di benakku nostalgia tahun 70-an. Cikgu di kala itu amat dihormati dan disegani.


'Terima kasih, cikgu. Doamu memberkati perjalanan hidupku. Buat semua guru yang pernah mendidik dan mengasuh, SELAMAT HARI GURU. Guru-guru yang telah kembali kerahmatullah, dititipkan Al-Fatihah buat kalian. Moga dicucuri rahmat-Nya'.

16 MEI 2011
Tema Hari Guru: Guru Penjana Transformasi Pendidikan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...