Wednesday, January 19, 2011

Negara China

(Seorang pensyarah bertanya para pelajar yang baharu pertama kali memulakan sesi pengajian di dalam bilik kuliah)

Dr. R        :  Nabi Muhammad s.a.w bersabda,'Tuntutlah 
                    ilmu walau sampai  ke negeri China.' 
                    Persoalannya, mengapa nabi minta umat 
                    Islam  mencari ilmu  di negara China?
                    Mengapa negara China yang disebut dan
                    tidak pula disebut negara lain seperti 
                    Amerika, Russia, Jepun dan negara-
                    negara kuasa besar yang lain?
Pelajar 1  :  Dr., negara China banyak sutera. Jadi 
                    banyak baju sutera boleh diperolehi 
                    di sana. (Menunjukkan baju sutera biru
                    bercorak bunga yang dipakainya).
Pelajar 2   :  Pandangan saya pula Dr., negara China 
                    terletak di laluan jalan perdagangan 
                    antara Timur dengan Barat. Oleh itu 
                    urusan perdagangan boleh dijalin 
                    dengan negara China, Dr.
Dr. Man  :   Ada pandangan lain yang ingin
                    dilontarkan?
Pelajar 3 :   Negara China cantik pemandangannya
                    dan rakyatnya begitu banyak sekali, Dr.
Dr. R       :    Mana pula anda tahu negara China cantik 
                    pemandangannya?
Pelajar 3 :   Dalam tv ada tunjukkannya, Dr.
Dr. R       :   Zaman nabi dahulu agak-agak andalah, 
                    ada ke tv?
Pelajar 3 :   Errr, dah tentu tak ada, Dr.! (Tunduk
                    tersipu malu).
Pelajar 4 :   Orang China pandai kung fu, Dr. 
                    Jadi bolehlah belajar seni bela diri 
                    dan dapat elakkan orang Islam 
                    daripada gangguan pihak musuh. 
                    Mereka boleh mempertahankan diri 
                    nanti daripada serangan orang Quraisy.
                    (Membuat aksi pergerakan tangan 
                    seperti 'tai chi'. Rakan-rakan lain
                    tertawa melihat aksi pelajar 4). 
Dr. R       :   Baiklah, soalan saya seterusnya; 
                   di manakah ayat-ayat suci Al-Quran
                   ditulis oleh para sahabat?
Pelajar  5 : Ditulis pada pelepah tamar dan kulit 
                   binatang, Dr.
Dr. R       :  Bagus, tepat sekali jawapan anda.
                   Sekarang ayat-ayat suci Al-Quran yang
                   kita baca ditulis pada apa pula?
Pelajar 6 : Sudah tentu pada kitab sebagaimana yang
                   ada sekarang, Dr.
Dr. R       :  Ya, jadi jawapan bagi soalan saya yang 
                   awal tadi  ialah negara China maju ke
                   hadapan dalam tamadun 
                   menghasilkan kertas. Mereka  maju 
                   ke hadapan dengan teknologi 
                   menghasilkan kertas. Justeru, nabi 
                   bersabda meminta para sahabat belajar 
                   hingga ke negara China supaya ayat-ayat
                   suci Al-Quran dapat dikumpul dan dijadikan
                   sebuah kitab yang lengkap sebagaimana 
                   yang anda lihat dan baca sekarang. 
                   Itulah di antara rahsianya mengapa nabi 
                   meminta para sahabat menuntut ilmu di 
                   negara China. Sekarang Al-Quran dalam
                   bentuk software dan boleh di download 
                   dalam komputer dan telefon bimbit.
                   Rumusannya, banyak lagi rahsia ilmu yang
                   boleh kita kutip. Rujuklah kepada pakar-
                   pakar yang mempunyai kepakaran 
                   dalam bidang mereka masing-masing.
                   Wallahu a'lam.
                                                 

Monday, January 17, 2011

MALANG PAK RIMAU

Aduhai malang Pak Rimau,
Hasil buruan dibaham dubuk,
Ada makanan dikebas orang,
Awak juga yang melopong.

Pak Rimau, Oi Pak Rimau,
Hebat memburu, kalah membaham,
Mangsa buruan dimamah kemam,
Dubuk berkumpulan bentuk kesatuan.

Pak Rimau, Oi Pak Rimau,
Hidup sendirian tak berteman,
Ditewas dubuk yang kecilan,
Awak pulang kebuluran. 

Pak Rimau duduk termanggu,
Semua dibuat mati kutu,
Air liur berjejehan,
Seorang diri tak betah pertahanan.

Sungguh hebat kau dubuk,
Rezeki Pak Rimau jaya dikebas,
Biar ditampar muka berbekas,
Asal perut kenyang hati puas.

Friday, January 14, 2011

MASA

Bangun pagi mencelik mata,
Terbuka dari 'buta' sementara.

Fikiran difokus ke arah kerja,
Ingat sampai pejabat seberapa segera.

Malam hari pakaian disedia,
Siap siaga kemas diseterika.

Masa kehadiran kerja diamati selia,
Punctual muncul di mesin perakam masa.

Mengelak dari kad bertinta merah,
Biar sederap hitam searah.

Senyum lebar majikan sentiasa,
  Anak buah peka mendahului masa.

Perintah dunia tak lekang dijunjung,
Perintah akhirat belum tentu disanjung.

Ini lensa peneropong peribadi, 
Menelusuri jejak dalaman diri.

Hari minggu memanjang 'Subuh Gajah',
Adik-beradik masa 'Subuh Zirafah'.

Sungguh liat bangkit tidur,
Hari minggu masih berdendang dengkur.

Lewat mengerjakan yang Allah perintah,
Lebih siap siaga lagi setiap majikan arah. 

Sendiri ingat sendirilah tanya,
Takutkan Allah atau majikan anda?






Wednesday, January 12, 2011

Guru Inovatif



Kalau guru asyik kaku,
Murid-murid pasti lesu.

Kalau guru kecindan selalu,
Murid-murid minat ke sekolah bertalu-talu.

Kalau guru bersikap penyayang,
Murid-murid pasti sayang.

Kalau guru bersikap pengasih,
Murid-murid pasti kasih.

Kalau keletah murid dijiwai,
Murid-murid bermasalah diselami.

Kalau pengajaran guru tak terancang,
Murid-murid didendang ulik mayang.


Kalau guru mengajar berpandu,
Murid-murid belajar selesa selalu.


Kalau guru kreatif bijak,
 Murid-murid minda kritis mudah dipasak.

Kalau guru proaktif,
Murid-murid belajar menjadi positif.

Kalau guru menjana berfikir,
Inovasi dilahir daripada otak cair.


Meraih Pingat Emas Pertandingan Inovasi dan Kreativiti
 Peringkat Kebangsaan 
Institut Pendidikan Guru (IPGM) 2015
SALAK: Satu Cetusan Idea




Kredit kepada En. Bustamam (PKG Semenyih)
yang telah membuat rakaman video ini pada tahun 2011

Sunday, January 9, 2011

AJL 25

Anugerah Juara Lagu 25
dipancarsiar TV 3
punggung terpaku mata terbelalak
menyaksi gelagat Ally, Cheryl, Faizal, 
tiga pengacara mengemudi ombak
dan para peserta melontar pita suara
buat mengisi halwa telinga.

Tepukan gemuruh bertali-temali
Stadium Putra Bukit Jalil menjadi saksi
lautan anak muda datang menyaksi
penyanyi kesayangan lincah beraksi.

Hatiku berdetik dan berbicara
andaikata forum, bicara ehwal Islam
yang dicanang dan menempuh 
publisiti besar-besaran
mampukah menggamit 
anak-anak muda ini mengisi penuh
ruang legar surau dan masjid
yang dikunjungi dan didendangi
Raihan, Hijjaz, Rabbani.

Hatiku berdetik dan berbicara lagi
andaikata surau, masjid didatangi
akan pasti 
penuhlah lembaran amal
oleh tarian tinta Raqib
buat anak-anak muda ini
yang bakal pewaris 
juga
peneraju keluarga, 
komuniti, negara
suatu tika nanti.



Saturday, January 8, 2011

Mek Su Jah

7 Januari dipapar kisah,
Ini hikayat Mek Su Jah.

Galeri Nasional TV Satu,
Memapar kisah sendu pilu.

60-an Mek Su Jah berusia,
Mencari nafkah penuh usaha.

Mendapat stroke suami tercinta,
Itulah jantung hati dan permata.

Setahun lebih tidak berupaya,
Mengharap belas kasih isteri tercinta.

Pagi hari menoreh getah,
Biarpun kudrat tidak lagi betah.

Petang hari memanjat pokok kelapa,
Bagi mendapatkan air nira.

Air nira dibuat gula kabung,
Hasil jualan diisi tabung.

Kayu arang diusahakan juga,
Sumber pendapatan sampingan usaha niaga.

Daun mengkuang diambil dari pokok,
Dibuat jualan, hasil pendapatan menokok.

Suami yang stroke kian sembuh,
Biarpun kudrat tidaklah sepenuh.

Syukur alhamdulillah segala puji,
Moga Mek Su Jah diangkat Allah bidadari.





 

Thursday, January 6, 2011

Nilai 5 Sen

(Dua orang pekerja am berhenti rehat melepaskan lelah sambil bersembang)

Mazlan  : Aduh, letih betul hari ni!
Badrul   : Yalah. Cuaca panas dan cepat aje tekak 
                rasa kering.
Mazlan  : Eh, Badrul! Tu, depan mata kau ada duitlah.
Badrul   : Mana? Tak nampak pun?
Mazlan  : Memanglah tak nampak sebab duitnya kau 
               dah pijak. Ada di bawah tapak kasut kau.

(Badrul mengangkat kaki sebelah kanan dengan 
pantas dan melipat kaki seperti bersila lalu 
meninjau-ninjau tapak kasutnya)

Badrul  : Emm, 5 sen aje! Aku ingatkan lima puluh 
               ringgit tadi melekat pada kasut aku.
Mazlan : Kau tahu Badrul, zaman 70-an dulu dengan
              5 sen ni boleh dapat gula-gula kelapa tiga
              biji. Dalam balutan gula-gula tu pula ada 
              5 sen lagi bagi pembeli yang bernasib baik.  
              Selalunya aku kalau beli gula-gula rasa dulu 
              dengan jari. Kalau ada rasa keras-keras dan 
              bulat-bulat lain macam aje baru aku pilih 
              gula-gula tu. Dapat lagi 5 sen dan beli lagi 
              gula-gula kelapa.
Badrul  : Wah, best betullah kau Abang Lan. 
               Banyaklah gula-gula yang abang dapat.
Mazlan : Mana taknya. Zaman tu barang murah aje. 
              Kau nak tau lagi, kalau tauke kedai dah tutup 
              pintu; kita ketuk pintu kedainya cakap 
              nak beli gula-gula walaupun 5 sen gerenti  
              dibuka pintu kedainya. 5 sen aje beli pun 
              tauke tu layan kita. Kau nak tau lagi, kalau 
              beraya di rumah orang, tuan rumah bagi 20 
              sen pun dah cukup besar nilainya. Mewah 
              beli makanan. Nasi lemak masa tu 10 sen 
              aje.
Badrul  : Emm, zaman Abang Lan dah berlalu! 
              Budak-budak sekarang kalau diberi seringgit
              pun dia kata, 'Hem, sehinggit aje pakcik?'.
              Yalah, apa yang ada dengan seringgit
              sekarang. Nasi lemak aje dah seringgit. 
              Hanya sambal dengan lima enam ekor ikan 
              bilis halus, telur rebus sejuring, cinonet pula
              dan adalah dua tiga hiris timun nipis.
Mazlan : Anak-anak zaman sekarang dah tak 
              menghargai 5 sen. Ada sekali tu aku nampak, 
              disepaknya duit 5 sen.Kalau disimpan dalam 
              tabung, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Atau
              didermakan ke dalam tabung masjid atau 
              tabung anak-anak yatim, ada juga
              faedahnya.


                                                     


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...